Siri 2 (2 Muharram 1442)
Selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW pada tahun 10H/632M, kepemimpinan umat telah diambil alih oleh para khalifah, bermula dengan Saidina Abu Bakar as-Siddiq RA.
Para Sahabat RA yang memahami Islam secara langsung dari Nabi SAW telah melihat peri penting umat mempunyai kepemimpinan dan kewajipan tersebut telah diberikan keutamaan oleh mereka.
Dengan meninggalkan urusan jenazah Rasulullah SAW kepada keluarganya, para Sahabat RA yang kanan, baik dari kaum Muhajirin mahupun Ansar, mereka telah bermesyuarat di Saqifah Bani Saadah untuk melantik Khalifah Nabi, sehingga terlantiknya Abu Bakar.
Tindakan ini dijadikan asas kepada perlantikan khalifah pada generasi berikutnya.
Namun begitu, setelah 1342 tahun umat Islam berkerajaan dengan 1332 tahun dipimpin oleh para khalifah (10 tahun oleh Nabi SAW), akhirnya sistem kekhalifahan ini tumbang.
Kejatuhan Daulah Othmaniyah yang berpusat di Istanbul pada 1342H/1924M, membuatkan umat Islam telah menjadi bangsa yang tidak memiliki penjaga.
Mereka dijajah di mana-mana dan kembali menjadi seperti masyarakat jahiliyah kerana menganut pelbagai ideologi moden, dengan meninggalkan Islam sebagai sistem hidup.
Dalam tempoh 100 tahun ini, gerakan Islam telah memainkan peranan besar untuk membangkitkan semula gagasan kekhalifahan ini.
Hasilnya, telah berlaku kesedaran Islam di mana-mana sehingga gerakan Islam dilihat begitu berpotensi untuk melakukan tajdid.
Apakah Khalifah?
Khalifah dari segi bahasa adalah berasal dari kata “khalafa” yang bermaksud pengganti atau wakil.
Dalam sebutan biasa, khalifah selalu difahami sebagai pemimpin politik atau ketua (imam).
Namun, dari sudut syarak, khalifah bermaksud pengganti Nabi SAW.
Menurut al-Mawardi, khilafah membawa maksud “niyabah” iaitu pengganti kepada penguat kuasa hukum syarak, iaitu Nabi SAW dalam menjaga agama dan mentadbir urusan dunia.
Abu al-A’la al-Maududi juga sependapat dengan al-Mawardi sebagaimana katanya bahawa makna khilafah ini boleh disamakan dengan amanah dan keduanya tidak boleh dipisahkan.
Dr Abdul Aziz Salim pula menghuraikan bahawa jawatan khalifah ini memegang dua tugas yang utama iaitu berkuasa penuh di dalam urusan agama Islam dan yang keduanya berkuasa penuh dalam urusan dunia dengan melihat kepada maslahat umum.
Berdasarkan takrif tersebut, para ulamak menyebutkan tiga maksud khalifah sebagai pengganti, iaitu:
I. Manusia menggantikan makhluk sebelumnya (mungkin jin) untuk mentadbir bumi, setelah makhluk sebelumnya melakukan pelbagai kerosakan.
II. Para Nabi AS adalah pengganti Allah SWT dalam memakmurkan dunia dengan agama Allah SWT sehingga akhirnya zahir nabi terakhir, iaitu Nabi Muhammad SAW.
III. Selepas kewafatan Nabi SAW, semua orang beriman, khususnya ketua negara adalah menggantikan Rasulullah SAW dalam kerja-kerja kenabian.
Ia bermula dengan Saidina Abu Bakar.
Manusia Dicipta Dengan Matlamat Sebagai Khalifah
Al-Quran memberitahu bahawa ketika manusia hendak diciptakan oleh Allah SWT, para malaikat telah diberitahu tentang apakah tujuan manusia diciptakan.
Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah (2: 30).
(وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَـٰۤىِٕكَةِ إِنِّی جَاعِلࣱ فِی ٱلۡأَرۡضِ خَلِیفَةࣰۖ قَالُوۤا۟ أَتَجۡعَلُ فِیهَا مَن یُفۡسِدُ فِیهَا وَیَسۡفِكُ ٱلدِّمَاۤءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَۖ قَالَ إِنِّیۤ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ)
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”.
Menurut Abdul Hadi Awang, Negara Islam adalah berdiri kerana hendak mencapai tujuan manusia sebagai khalifah, selain matlamat ibadat dan amanah.
Dua fungsi utama manusia sebagai khalifah ialah untuk menjaga agama dan mentadbir urusan dunia dengan agama.
Hal ini selari dengan takrifan khalifah yang disebutkan oleh para ulamak.
Dalam maksud melaksanakan matlamat sebagai khalifah, para khalifah berperanan untuk:
I. Menjaga agama.
Iaitu dengan menegakkan Islam dan segala isi hukumnya ke atas manusia dan menyampaikan dakwah Islam kepada manusia.
Sebagai khalifah, orang beriman mesti membuktikan kebaikan Islam dan menunjukkan kesesatan cara hidup yang lain.
Khalifah mempunyai dua mekanisme dalam menegakkan agama iaitu melalui jihad dan dakwah.
II. Melaksanakan perintah-perintah agama dalam semua urusan dunia, yakni mentadbir dunia dengan menggunakan agama.
Ia adalah meliputi tanggungjawab untuk menegakkan keadilan di kalangan manusia, membentuk pandangan yang mulia dan kebebasan pendapat yang bermaruah, menghormati taraf kemanusiaan, serta menegakkan keamanan dan kestabilan.
Dalam mencapai kestabilan ini, Negara Islam berkewajipan untuk menjaga kemaslahatan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda.
Adakah Matlamat Ini Terlaksana Pada Hari Ini?
Setelah umat Islam kehilangan khalifah pada 1342H, mereka tidak lagi melaksanakan tugasnya untuk menjaga agama dan mentadbir urusan dunia dengan agama.
Selain daripada jihad, kegiatan dakwah juga turut terhenti.
Sedangkan hukum-hukum syariat telah dilucutkan dan mahkamah syariah pula dilumpuhkan.
Seluruh kegiatan ekonomi, politik dan sosial telah dipisahkan dari agama atau berlaku sekularisasi.
Umat Islam telah melihat Islam dari sudut pandang ibadat semata-mata, sehingga iman mereka hanya berada di antara hati dan masjid sahaja.
Fahaman sekular yang menolak politik berasaskan agama telah menjadikan seluruh amal, selain ibadat khusus, sebagai urusan keduniaan, yang mesti ditadbir tanpa campur tangan agama.
Orang yang berkuasa tidak melaksanakan hukum agama, sebaliknya mereka telah menjadikan agama sebagai kosmetik politik untuk mengabui mata rakyat sahaja.
Akibatnya, umat Islam telah mengalami kemerosotan teruk dalam urusan mereka.
Mereka tertindas dari sudut ekonomi, mereka terpinggir dalam politik dan mereka terancam dari sudut sosial.
Orang Islam sudah tidak mempunyai jati diri sebagai orang beriman, sebaliknya menjadi pengikut kepada trend dunia.
Hal ini secara jelas menunjukkan bahawa umat Islam gagal mencapai objektif penciptaannya.
Kerana itu, dalam konteks hari ini, umat Islam berkewajipan melakukan tajdid dengan mengembalikan kekuasaan politik Islam.
Tujuannya, supaya selepas ini Islam dapat ditegakkan semula, termasuk melaksanakan seluruh hukum syariatnya dan mengurus tadbir seluruh urusan dunia dengan agama.
Sama ada melalui jalan demokrasi atau cara selainnya, umat Islam berkewajipan untuk berjihad bagi menegakkan semula kekhalifahan Islam.
Mohd Fadli Ghani