Sabasun Lambang Kejayaan Anak Melayu Tempatan

Sabasun Lambang Kejayaan Anak Melayu Tempatan

Siapa yang tak kenal sabasun yang merupakan salah satu pasaraya hyperuncit terbesar milik anak melayu di Terengganu.

Namun setiap kejayaan pasti ada pengorbanan serta cabaran tersendiri dan bagi setiap yang di atas, pasti bermula dari bawah.

Begitu juga Sabasun, bermodalkan lebih RM100 ribu hasil simpanan keluarga, dengan ruang jualan berkeluasan 3,000 kaki persegi dan dua unit kaunter pembayaran KONSEP HALALAN TAYYIBA pasaraya anak tempatan ini mampu mengembangkan perniagaan sehingga memiliki lima cawangan di seluruh negeri.

Pemilik rangkaian Pasaraya Sabasun Hyperruncit Sdn Bhd, Che Salmi Ibrahim, 52, berkata segala kejayaan ini bermula dari bawah dengan hasil usahasama dan kesepakatan keluarga yang telah melakukan pengorbanan wang ringgit dan juga masa.

“Pasaraya ini mula beroperasi pada 2 April 1995, dimana usia Sabasun sekarang menjangkau lebih dari 25 tahun dan pada waktu itu, kami bermula dengan tiga orang pekerja dengan dibantu oleh ahli keluarga yang lain.

Perkataan Sabasun Hyperuncit bermakna sabasun tu akronim daripada dua perkataan iaitu sabar dan bersungguh-sungguh, manakala hyperruncit pula merupakan satu konsep yang berpaksikan pada glocal iaitu ‘’global technology local application’.

“Secara amnya, Sabasun masih lagi mengekalkan 100 peratus tenaga kerja yang terdiri dari anak tempatan, menjadikannya satu-satunya Peruncit berskala besar yang tidak menggunakan tenaga pekerja asing dan memakai resepi utama iaitu ‘ Pelanggan Adalah Majikan’.

“Sebenarnya, di sini kami tidak ada gelaran khusus untuk apa-apa jawatan, kita hanya menggunakan gelaran abang dan kakak malah semua kakitangan dan semua pembekal-pembekal panggil saya Abang Long sebab nak kurangkan barrier, tembok, pemisah antara pekerja dengan kita,” ujarnya.

Bapa kepada tujuh orang anak yang juga merupakan lulusan Ijazah Sarjana daripada California State Universiti dalam bidang Psycho Linguistik berkata, pasaraya Sabasun membuka peluang pekerjaan kepada hampir 500 penduduk setempat.

350 orang usahawan muslim tempatan dengan 2200 produk industri kecil sederhana (IKS) dan mempunyai pilihan hampir 30,000 barangan yang menjana pendapatan lebih RM2.5 juta sebulan.

Tidak kedekut ilmu dan mengamalkan konsep sentiasa membantu anak melayu, Sabasun telah menubuhkan Unit Pembangunan Usahawan Sabasun Hyperuncit (UPUSH) bagi memperkasakan perniagaan anak tempatan .

“UPUSH adalah antara bentuk bantuan untuk anak-anak tempatan yang ingin menceburkan diri dalam bidang peruncitan/pembekalan yang mana mereka mempunyai modal tetapi tidak mempunyai ilmu atau pengetahuan dan disitu unit ini mengambil penekanan untuk sama-sama membantu, beri ilmu, sokongan dan tunjuk ajar serta adakan seminar untuk peserta-peserta bawah bimbingan kita ni, dua hingga tiga bulan sekali secara percuma.

“Sebab untuk pastikan suatu program berjaya kepada Islam, anak melayu, Malaysia kita, kita jangan letakkan kepentingan duit didepan.

“Kalau yang baru nak mula ini, kebanyakan anak melayu bukan datang dari keluarga yang berada jadi, dalam bisnes biar tak bergaya asal tak papa.

Fokus pada bisnes, tolak kepentingan diri kerana ada dua perkara disini apabila kita buat bisnes samada nak bina bisnes atau nak buat bisnes.

Kalau buat bisnes, rumah semakin besar, kereta semakin banyak tapi perniagaan kekal macam tu je, tapi yang bina bisnes, bisnes dia berkembang walaupun kereta tak besar,” tambah Che Salmi lagi.

Menurutnya, untuk meningkatkan lagi kedudukan Sabasun sebagai pusat jualan untuk orang melayu dan IKS, beliau berhasrat dalam tempoh dua tahun akan datang untuk memastikan bahawa semua cawangan Sabasun berada di seluruh daerah di negeri Terengganu dan perancangan masa sederhana diantara dua hingga lima tahun untuk berkembang keluar ke negeri lain.

“Ini termasuk perancangan jangka panjang lima tahun keatas untuk mengadakan outlet Sabasun di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

“Di luar Terengganu, boleh dikatakan pesaing-pesaing majoritinya terdiri daripada yang bukan Islam dan disitulah kami nampak ada ruang dan peluang kerana apabila Sabasun dapat menawarkan produk-produk halal dan toiyiba yang belum pernah ditekankan oleh mana-mana supermarket bukan Islam sebelum ini.

Alhamdulillah, insyaAllah pengguna Islam akan dapat membuat pembelian yang lebih meyakinkan,” ujarnya.

Ekonomi