Adat Berkawan

Adat Berkawan

Kalau berkawan, kita kena memahami asal usul dan susur galur kawan kita.

Baru boleh berkawan dalam erti kata sebenar.

Dalam PAS, sebahagian tarbiyah mereka kepada ahli adalah tentang ketaatan dan wala’.

Ahli tidak mempersoalkan strategi dan kaedah pemimpin selagi mana ia tidak bertentangan dengan agama.

Tetapi UMNO berbeza.

Selepas PRU14 terutamanya, UMNO perlahan-lahan telah kembali kepada fitrah asalnya sebagai parti rakyat.

Mereka mahu mendengar suara akar umbi walaupun politik warlord masih bersisa dalam parti.

Dalam kedua-dua kaedah, tidak ada satupun yang salah.

PAS tidak salah.

Kerana Khalid Al Walid pun tak berbahas dengan setiap tentera tentang strateginya ketika sedang berperang menentang ketumbukan Rome.

Kalau dia sibuk berbahas, separuh tentera akan syahid sebelum sempat mengangkat pedang.

Hanya panglima atasan sahaja yang perlu tahu strateginya.

UMNO juga tidak salah.

Kerana mana-mana parti politik sangat sukar bertahan dalam sistem demokrasi jika sekadar bergantung kepada populariti pemimpin.

Winston Churchill yang dianggap sebagai wira Perang Dunia ke 2 juga tumbang dalam pilihanraya Britain kepada Clement Atlee walaupun ketika itu dia sangat popular.

Puncanya kerana parti beliau tiada jentera dan terlalu bergantung kepada individu

Jadi jangan sama sekali cuba mem-PAS-kan UMNO atau cuba meng-UMNO-kan PAS.

Tak perlu mengatakan pemimpin UMNO bacul kerana terikut-ikut dengan kehendak rakyat dan tak sesuai mengatakan pemimpin PAS diktator kerana mengetepikan suara akar umbi.

Setiap parti mempunyai kekuatan dan keunikan tersendiri yang akhirnya menyempurnakan satu sama lain.

Kerana ketaatan ahli PAS kepada pimpinan akan membolehkan UMNO memperoleh undi ‘fix deposit’ yang solid daripada mereka selagi mana MN terus kukuh.

Dan PAS akan menerima manfaat sokongan daripada pengundi atas pagar selagi mana UMNO memilih untuk menjadi pendengar rakyat yang setia

Yang perlu diambil berat adalah bagaimana dua parti ini mahu menguasai pakatan politik mereka.

Jika UMNO gagal mengawal parti-parti komponen dalam BN dan PAS sekadar menjadi ahli biasa dalam PN, maka itulah kerugian besar bagi anak bangsa.

 Inilah keutamaan kita

 Abdul Rahim Hilmi Zakariya

Politik