Berubat Dengan Kencing Unta

Berubat Dengan Kencing Unta

SOALAN:
Saya hendak tanya berkenaan air kencing unta kerana ada orang kata boleh diminum sebab ada khasiatnya.
Tapi ada pula saya dengar seorang ustaz mengatakan tidak boleh diminum hanya dibuat ubat bagi penyakit tertentu sahaja.
Mohon penjelasannnya. Terima kasih.
JAWAPAN:
Air kencing hukumnya adalah najis oleh itu haram hukumnya seorang yang sengaja minum air kencing samada air kencing unta atau manusia atau haiwan lainnya.
Telah berkata oleh Al-Hafiz Imam Ibnu Hajar:


وذھب الشافعي والجمھور اﻟﻰاﻟﻘﻮﻝ بنجاسة الأبوال والأرواث كلھا من مأكول اللحم وغیره
 

Artinya: “Dan berjalan oleh Imam Syafie dan majority ulamak kepada pendapat dengan najisnya segala air kencing dan tahi sekeliannya samada dari haiwan yang dimakan atau tiada dimakan.” (Kitab Fathul Baari Syarah Sahih Al-Bukhari)
Dan sabit dalah hadith Rasulullah saw ada menyuruh satu kaum yang terkena sakit di dalam perut berubat dengan cara meminum susu unta yang dicampur dengan kencingnya tetapi maksudnya ialah sebagai rawatan ketika sakit bukannya minum sesuka hati sebagimana yang disalah fahami.
Berkata Syeikh Khatib Syarbini:


واما امره صلى الله عليه وسلم العرنيين بشرب ابوال الابل فكان للتداوى والتداوى النجس جائز عند فقد الطاهر الذي يقوم مقامه.
 

Artinya: “Ada pun suruhan Nabi saw kepada kaum Urainah dengan minum kencing unta adalah ia kerana berubat. Dan berubat dengan najis itu harus ketika tiada ubat yang suci yang menempati tempatnya.” (Kitab Mughni Al-Muhtaj)
Kesimpulannya haram minum air kencing unta atau lainnya kerana ia adalah najis.
Jika berada dalam keadaan darurat seperti ditimpa penyakit dan tiada ubat yang halal dan suci melainkan suatu yang najis maka harus digunakannya untuk berubat tetapi selain daripada arak.
Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus

Soal Jawab