Khutbah Jumaat: Hijrah Dan Janji Allah

Khutbah Jumaat: Hijrah Dan Janji Allah

ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ ٱلَّذِي خَلَقَ فَسَوَّىٰ وَقَدَّرَ فَهَدَىٰ. أَشۡهَدُ أَن لَّا إِلَـٰهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحۡدَهُۥ لَا شَرِيكَ لَهُۥ، لَهُ الۡأَسۡمَاءُ الۡحُسۡنَىٰ وَالصِّفَاتُ الۡعُلَى. وَأَشۡهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبۡدُهُۥ وَرَسُولُهُۥ، الرَّحۡمَةُ الۡمُهۡدَاةُ وَالۡبَدۡرُ الدُّجَىٰ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمۡ وَبَارِكۡ عَلَىٰ حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدۡوَتِنَا مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِهِ وَأَصۡحَابِهِ وَمَنِ اهۡتَدَٰى. أَمَّا بَعۡدُ: فَيَا عِبَادَ ٱللَّهِ، ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ. وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيۡرَ ٱلزَّادِ ٱلتَّقۡوَى. فَقَدۡ فَازَ ٱلۡمُتَّقُونَ.

Wahai hamba-hamba Allah, bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa kepada Allah.

Maka sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Saudaraku Muslimin yang dirahmati Allah.

Seterusnya marilah kita mengambil pengajaran daripada peristiwa hijrah yang sangat besar dalam sejarah Islam yang dinyatakan oleh Allah di dalam al-Quran dan dihuraikan oleh Rasulullah SAW.

Firman Allah Ta’ala:

إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَٱلَّذِينَ هَاجَرُواْ وَجَٰهَدُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ أُوْلَٰٓئِكَ يَرۡجُونَ رَحۡمَتَ ٱللَّهِۚ وَٱللَّهُ غَفُورٞ رَّحِيمٞ ٢١٨ [سورة البقرة : ٢١٨] )

Maksudnya): Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Yang dihuraikan oleh hadis-hadis yang banyak.

Di antaranya sabda Rasulullah SAW:

وَالۡمُهَاجِرُ مَنۡ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنۡهُ. – [رواه البخاري وأبو دأود والنسائي]

(Maksudnya): Dan seorang yang berhijrah ialah sesiapa yang berhijrah daripada perkara yang ditegah oleh Allah daripadanya.

Hijrah dengan makna meninggalkan, yakni meninggalkan syirik menuju kepada aqidah tauhid; meninggalkan kufur kepada iman; dan meninggalkan jahiliyyah kepada Islam.

Itulah makna hijrah yang dihuraikan oleh Rasulullah SAW dengan pelaksanaan dan perjuangan setelah menjadi orang-orang beriman yang sebenarnya yang mengucap لا إله إلا الله (Tidak ada Tuhan yang sebenar melainkan Allah), menegakkan tauhid, kepercayaan kepada Allah SWT sahaja, meninggalkan segala kufur dan jahiliyyah, sama ada dalam perkara ibadat dan seluruh cara hidup, meninggalkan ibadat orang-orang jahiliyyah yang menyembah patung dan berhala, bertuhan lain daripada Allah SWT, mengajak manusia hanya bertuhan kepada Allah SWT sahaja, tiada Tuhan yang lain daripada-Nya, beribadat kepada-Nya sahaja, meninggalkan perkara-perkara haram yang diamalkan oleh orang-orang jahiliyyah yang merosakkan diri manusia menuju kepada petunjuk Allah SWT.

Ajaran yang memberi kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dengan hati yang ikhlas kerana Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW:

إِنَّمَا الۡأَعۡمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امۡرِئٍ مَا نَوَى فَمَنۡ كَانَتۡ هِجۡرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ فَهِجۡرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ، وَمَنۡ كَانَتۡ هِجۡرَتُهُ لِدُنۡيَا يُصِيبُهَا أَوِ امۡرَأَةٍ يَنۡكِحُهَا فَهِجۡرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيۡهِ. [رواه متفق عليه]

(Maksudnya): “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut yang dia niat.

Maka sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan siapa yang hijrahnya kerana dunia untuk dia dapatinya atau perempuan untuk dikahwininya, maka hijrahnya mengikut apa yang dia hijrah kepadanya”.

Berpindah daripada Mekah ke Madinah kerana Allah SWT, maka dia mendapat kelebihan kerana Allah dan Rasul-Nya.

Sesiapa yang berhijrah kerana ikut-ikut untuk mendapat habuan dunia seperti mengikut perempuan yang hendak dikahwininya, maka hijrah itu mengikut niatnya.

Ini menunjukkan bahawa semua amalan seorang yang beriman sebenar-benar beriman mestilah kerana Allah.

Hijrah menjadi ujian yang sangat dahsyat apabila mereka meninggalkan tanah air yang disayangi, meninggalkan keluarga yang dikasihi, meninggalkan harta yang dicari sementara waktu apabila mereka tidak diizinkan untuk beramal dengan ajaran Islam.

Di sana ada bumi yang penduduknya beriman yang mengizinkan Islam dilaksanakan, maka mereka berhijrah, meninggalkan Mekah pergi ke Madinah untuk menegakkan Islam itu; ditegakkan di dalam diri mereka, ditegakkan di dalam keluarga mereka, ditegakkan di dalam kerajaan yang didirikan dan mengajak manusia kepada Islam sehingga mendapat tentangan daripada musuh yang datang daripada segenap penjuru.

Maka mereka berjihad dengan harta mereka, nyawa mereka, dengan segala nikmat yang diberi oleh Allah SWT.

Mereka buktikan hijrah itu kerana Allah SWT sehingga mereka berjaya mengalahkan kekufuran, berjaya dalam peristiwa Fathu Makkah, membebaskan Mekah daripada jahiliyyah.

Mekah yang menjadi kiblat kepada umat Islam dibebaskan dan diperintah oleh Islam sepenuhnya. Itulah tujuan hijrah yang dilakukan oleh Nabi SAW yang yakin kepada Islam dan yakin kepada janji Allah SWT.

وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ٤٠ ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّٰهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ ٤١ [سورة الحج :40 – 41]

(Maksudnya): Sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya (Islam), sesungguhnya Allah Maha Kuat Lagi Maha Kuasa.

Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan kejahatan dan perkara mungkar dan (ingatlah) bagi Allah jua kesudahan segala urusan.

Percaya kepada balasan hari akhirat yang dijanjikan oleh Allah SWT, sama ada menang menegakkan Islam di atas dunia, atau mati syahid tidak sempat dengan kemenangan itu mendapat janji syurga daripada Allah SWT.

Itulah pelaksanaan hijrah yang dilakukan oleh Nabi kita Muhammad SAW yang diikut oleh para sahabat RA.

أَعُوذُ بِٱللَّهِ مِنَ ٱلشَّيۡطَانِ ٱلرَّجِيمِ. يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن تَنصُرُواْ ٱللَّهَ يَنصُرۡكُمۡ وَيُثَبِّتۡ أَقۡدَامَكُمۡ ٧ [سورة محمّـد : ٧]

(Maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman, kalu kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kami (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.

بَارَكَ ٱللَّهُ لِي وَلَكُمۡ بِٱلۡكِتَابِ وَٱلسُّنَةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمۡ بِٱلۡآيَاتِ وَٱلۡحِكۡمَةِ. أَقُولُ قَوۡلِى هَٰذَا وَاَسۡتَغۡفِرُ ٱللَّهَ ٱلۡعَظِيمَ لِي وَلَكُمۡ وَلِسَائِرِ ٱلۡمُسۡلِمِينَ وَٱلۡمُسۡلِمَاتِ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلۡغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ.

Khutbah