Pemikiran Politik Islam Berkembang

Pemikiran Politik Islam Berkembang

Siri 8 (8 Muharram 1442)

Perkembangan politik Islam secara amali yang berlaku pada zaman Khulafa’ ar-Rasyidin telah membentuk kerangka yang lebih kukuh dalam menterjemahkan pemikiran politik Islam yang dibina oleh Nabi Muhammad SAW.

Kehidupan politik yang lebih kompleks, wilayah kekuasaan yang lebih luas, kepelbagaian budaya dan perubahan sistem perlantikan khalifah telah mendesak kepada keperluan terhadap ilmu politik Islam yang lebih tersusun, terutamanya selepas memasuki abad kedua Hijrah.

Pada 100 tahun pertama, seperti mana ilmu-ilmu lain yang baru berkembang, ilmu politik dan pemikiran politik Islam juga tidak ditulis secara tersusun, sebaliknya diriwayatkan secara berselerak.

Pada peringkat awal, setelah ilmu pemikiran politik berkembang, muncul pula ilmu fiqh dengan kelahiran Imam Abu Hanifah (150H) dan Imam Malik (m. 179H) masing-masing di Baghdad dan Madinah.

Kedudukan ilmu pemikiran politik yang berselerak itu telah mendorong dua ahli hadis terkemuka, al-Bukhari (m. 256H) dan Muslim (m. 261H) untuk menyusun hadis-hadis politik di dalam Sahih mereka masing-masing dengan tajuk Kitab al-Ahkam dan Kitab al-Imarah.

Pada akhir abad keempat Hijrah, seorang ulamak Syiah, Syarif ar-Radhi (m. 406) telah menyusun kitab Nahjul Balaghah yang didakwa oleh mereka merupakan kumpulan khutbah dan syair Saidina Ali bin Abi Talib yang mengandungi pemikiran-pemikiran politik khalifah keempat itu.

Peranan al-Bukhari, Muslim dan Syarif ar-Radhi merupakan langkahan terawal untuk mengumpulkan sumber-sumber pemikiran politik Islam.

Dua lagi tokoh yang menyusun data berselerak sebagai rujukan politik Islam ialah Ibnu Ishak (m. 151H) dan Ibnu Hisyam (m. 219H) yang menulis kitab siirah nabawiyah yang terkenal sebagai Sirah Ibnu Ishak dan Siirah Ibnu Hisyam.

Pemikiran Politik Islam Mulai Terfokus

Sebenarnya, selepas pembentukan Daulah Abbasiyah pada 132H/750M, perkembangan dan pertumbuhan negara Islam telah mendesak kepada sistem pentadbiran yang lebih cekap.

Salah seorang pegawai penting dalam Istana Abu Jaafar al-Mansur ialah Ibnu Muqaffa’ (m. 139H) yang mahir dengan sistem pentadbir Empayar Parsi.

Beliau adalah tokoh pertama menulis tentang kaedah dan akhlak pentadbiran negara di dalam Adab as-Saghir dan Adab al-Kabir, selain Kalilah wa Dimnah yang diterjemahnya dari bahasa Parsi.

Ibnu Muqaffa’ telah menekankan kepentingan undang-undang dikanunkan kerana perbezaan mazhab akan mencelarukan mahkamah.

Setelah itu, dua bidang pentadbiran negara yang mendapat perhatian ialah pengurusan kewangan negara dan hubungan antarabangsa.

Tokoh terawal yang menulis tentang tatakelola kewangan negara ialah Abu Yusof (m. 181H) dan Yahya Adam al-Quraisy (m. 204) dengan kitab mereka yang mempunyai nama yang sama, al-Kharaj.

Sebuah lagi karya yang terkenal ialah al-Amwal tulisan Abu Ubaid al-Qassim (m. 223H).

Di dalam bidang hubungan antarabangsa, muncul as-Syaibani (m. 189H) yang menulis Siyar al-Kabir.

Menuruti jejak Ibnu Muqaffa’ dalam menulis tentang akhlak dan adab politik ialah Ibnu Qutaybah (m. 276H) yang mengarang Uyun al-Akbar.

Serentak dengan zaman ulamak Syiah, Syarif ar-Radhi (m. 406H), muncul pula ulamak-ulamak fiqh siyasi di kalangan Sunni seperti al-Mawardi (m. 450H) dan Abu Ya’la al-Farra’ l (m. 458H) di Baghdad yang kedua-duanya menulis kitab berjudul al-Ahkam as-Sultaniyah.

Di Hijaz, Imam Haramain Al-Juwaini (m. 476H) pula menuliskan Ghiyat al-Umam.

Karya-karya mereka lebih menjurus kepada perbincangan tentang sains politik Islam.

Lebih menarik lagi, apabila dalam era ini lahirnya al-Farabi (m. 339H) dan Ibnu Sina (m. 438H) yang memperkatakan falsafah politik Islam melalui gagasan al-Madinah al-Fadhilah oleh al-Farabi dan al-Madinah al-Hasanah as-Sirah oleh Ibnu Sina.

Kemudian muncul pula al-Ghazali (m. 504H) dengan konsep al-Madinah al-Maslahah.

Selepas Ibnu Ishak dan Ibnu Hisyam menuliskan kitab sirah mereka, perkembangan Daulah Islam dirakamkan pula oleh beberapa tokoh sejarah politik seperti Ali Ibnu Rabban (m. 256H) di dalam Tuhfal al-Muluk dan Kitab ad-Diin wa ad-Dawlah gi Ithbat an-Nubuwah an-Nabi Muhammad, Baladzari (m. 279H) di dalam Futuhul Buldan, at-Tabari (m. 311H) di dalam Tarikh Tabari dan Ibnu Hazm (m. 456H) di dalam Naqt al-Arus fi Tawarikh Khulafa’, sehingga akhirnya muncul al-Bidayah wa an-Nihayah oleh Ibnu Katsir (m. 744H), Kitab al-Ibar oleh Ibnu Khaldun (m. 806H) dan Tarikh Khulafa’ oleh as-Suyuti (m. 911H).

Karya-karya sejarah politik ini mempunyai kedudukan yang hampir sama dengan kepentingan karya berkaitan sirah nabawi di dalam memberikan kefahaman kepada umat Islam tentang hukum kenegaraan Islam, konsep pemerintahan Islam dan amalan-amalan politik Islam yang mengalami perubahan kerana berubahnya politik dunia.

Pada zaman Kesultanan Saljuk menguasai Daulah Abbasiyah, tidak kurang juga dengan kemunculan ulamak-ulamak yang membahaskan akhlak pemerintah atau ‘mirrors for rulers’ seperti at-Turtusi (m. 516H) dengan Kitab Sirajul Muluk, Kai Kavus (m. 480H) dengan Qabusnama, Nizamul Muluk (m. 485H) dengan Siyasatnama atau Siyar al-Muluk.

Al-Ghazali (m. 504H) sendiri menuliskan Nasihat al-Muluk.

Kitab lain dalam genre ini termasuklah Akhlak al-Muhsinin, Akhlak an-Nasiri, Akhlak al-Muluk, Minhaj as-Salatin dan lain-lain.

Setelah jatuhnya Baghdad diserang oleh Hulagu Khan, pemimpin Mongol pada 656H/1258M, karya-karya politik yang lebih bersifat pengislahan telah muncul seperti Siyasah as-Syar’iyah oleh Ibnu Taimiyah (m. 728H), Tahrir al-Ahkam oleh Ibnu Jumaah (m. 749H) dan at-Thuruq al-Hakimiyah oleh Ibnu Qayyim (m. 751H), dan boleh dikatakan berkemuncak dengan kemunculan Muqaddimah Kitab al-Ibar oleh Ibnu Khaldun (m. 806H).

Pemikiran Politik Islam Menjalar

Kerancakan perkembangan ilmu pemikiran politik Islam tidak hanya tertumpu di Baghdad, Parsi dan Hijaz sahaja.

Tetapi ia turut berkembang mengikuti keluasan wilayah politik Islam yang telah berkembang ke Utara Afrika, Anatolia, Asia Tengah, India dan Alam Melayu dewasa itu.

Maka, di setiap wilayah ini telah lahir pemikir-pemikir politik Islam yang menghasilkan karya-karya politik Islam untuk menjadi rujukan kerajaan Islam mengikut bangsa masing-masing.

Contoh terbaik di kalangan pemikir yang bukan dari wilayah tersebut ialah Ibnu Khaldun yang berasal dari Tunis, tetapi berkhidmat di Maghribi, Granada dan Mesir sama sebagai ahli politik, ahli akademik mahu pun hakim.

Karya terbesarnya, Muqaddimah dianggap kitab terbaik di dalam bidang sains sosial sepanjang zaman.

Selain Ibnu Khaldun, penulis ilmu pemikiran politik terkemuka yang lain termasuklah Ibnu Hazm (m. 456H) dari Andalus yang terkenal dengan bukunya, Naqt al-Arus fi Tawarikh Khulafa’; Ziya’uddin Barani (m. 758H) dari India yang terkenal dengan karyanya, Fatawa-e-Jahandari; Yusof Khass Hajib (m. 462H) yang menulis Katadgu Bilig di Anatolia (Turki); Nuruddin ar-Raniri (m. 1068H) dengan Bustanus Salatin di Aceh, Raja Ali Haji (m. 1290H) yang menulis as-Thammarat al-Muhimmah di Riau dan lain-lain.

Kemunculan ulamak-ulamak yang menulis dan mengembangkan ilmu pemikiran politik ke wilayah bukan Arab selepas abad ke-10H ini menunjukkan bagaimana berlakunya penerapan, penyerapan dan penyesuaian sistem politik lokal wilayah baru Islam dengan sistem politik Islam secara berperingkat.

Di Alam Melayu sendiri, perkembangan ilmu pemikiran politik Islam sangat menarik untuk diteliti.

Yang terawal muncul di Alam Melayu ialah Taj as-Salatin tulisan Bukhari al-Jauhari pada 1603M di Aceh, kemudian ditulis pula Bustanus Salatin oleh ar-Raniri dan As-Thammarat al-Muhimmah oleh Raja Ali Haji.

Pemikiran politik Islam turut berkembang dalam hikayat-hikayat Melayu seperti Hikayat Isma Yatim dan Hikayat Luqman al-Hakim.

Di istana-istana Melayu muncul pula kitab Muqaddimah fi Intizam di Istana Riau oleh Raja Ali Haji, Kitab Nasihat Raja-raja di Istana Terengganu oleh Tok Sheikh Duyung, Liqaza al-Ghafilin wa Nasihat as-Salatin oleh Muhammad Taib al-Banjari di Istana Kedah, Kitab Safinat al-Hukkam di Istana Aceh oleh Jaluluddin Aceh, Kitab Undang-undang Raja Natu di Istana Kutai oleh Syarif Sukma Wira, Kitab Kumpulan Ringkas Berbetulan Lekas oleh Raja Ali Kelana di Istana Riau dan lain-lain.

Berkembang Dan Berubah

Jika diteliti perkembangan ilmu pemikiran politik Islam ini, kita dapati ia berkembang dalam empat bidang.

Pertama, falsafah politik Islam yang diwakili oleh karya-karya al-Farabi, Ibnu Sina dan al-Ghazali.

Kedua, fiqh siyasi yang diwakili oleh karya al-Mawardi, Abu Ya’la al-Farra’ dan Ibnu Taimiyah.

Ketiga, akhlak politik atau mirrors for rulers yang diwakili oleh Ibnu Muqaffa’, Kai Kavus dan Nizam al-Muluk.

Dan keempat, sirah dan sejarah daulah yang diwakili oleh Ibnu Ishak, at-Tabari dan Ali Ibnu Rabban.

Perkembangan ini juga berlaku secara bertahap, iaitu bermula dengan pengumpulan sumber-sumber yang berselerak oleh al-Bukhari, Muslim dan Syarif ar-Radhi, kemudian diikuti oleh tumbuhnya ilmu fiqh pentadbiran melibatkan perkauman undang-undang, pengurusan Kewangan, hubungan antarabangsa dan lain-lain.

Setelah itu, muncul ilmu fiqh siyasi secara berkaitan syarat-syarat kelayakan khalifah, hak dan tanggungjawab pemerintah, sistem kerajaan, kedudukan orang bukan Islam dan seumpamanya.

Kemudian lahir pula ilmu adab dan akhlak raja-raja, termasuk falsafah pembentukan negara ideal.

Di Alam Melayu, perkembangan ilmu pemikiran politik Islam di pengaruhi oleh latar sejarah politiknya.

Ketika orang Melayu belum beragama Islam, tiga karya rujukan politik mereka iaitu Pancatantra (Hindu), Negarakartagama (Majapahit) dan Pararaton (Jawa).

Bila kerajaan-kerajaan Islam terbentuk mulai abad kesembilan Masehi (abad ketiga Hijrah), orang Melayu merujuk kitab-kitab Arab untuk mentadbir negara sehingga muncul dalam Kerajaan Aceh kitab nasihat, akhlak dan adab raja-raja.

Kitab-kitab ini berfungsi untuk memandu pentadbiran negara dengan acuan Islam.

Pada abad ke-15M, Alam Melayu didatangi penjajah dan negeri-negeri Melayu mulai terancam, maka terdapat karya-karya ulamak yang menekankan tentang kewajipan mempertahankan negara Islam seperti karya-karya Sheikh Daud al-Fathani meliputi Furu’ul Masa’il, Jum’ul Fawa’id, Tuhfatul Gharibin dan juga Munyat Musoli.

Selepas kejatuhan khalifah pada 1924, ulamak-ulamak menghasilkan pula kitab-kitab tentang kewajipan menegakkan semula negara Islam.

Dan sesudah zaman kemerdekaan, muncul pula kitab-kitab yang menjelaskan sistem pemerintahan negara Islam.

Secara umumnya, pemikiran politik yang muncul pada peringkat awal Islam, iaitu zaman Khulafa’ ar-Rasyidin yang diwarnai oleh konflik-konflik telah membentuk kefahaman dan pemikiran yang tersusun sehingga ilmu fiqh politik, siyasah syar’iyah, fiqh daulah dan sebagainya berkembang dengan baik dan mempengaruhi perubahan politik dunia, termasuk reformasi di Eropah.

Kemudian ilmu yang tumbuh dan berkembang di Asia Barat turut menjalar dan berkembang di negara-negara baru yang dibuka oleh Islam dari Moroko di barat Afrika hingga ke Marauke di tenggara Asia.

Cuma, agak malang, apabila berlaku penjajahan Barat, umat Islam mengalami kekeliruan tentang kedudukan politik di dalam Islam kerana digerhanakan oleh pemikiran sekular Barat.

Mohd Fadli Ghani

Islam