Perbezaan Sikap Antara Abu Talib Dan Abu Lahab

Perbezaan Sikap Antara Abu Talib Dan Abu Lahab

Menurut Syaikh Muhammad Abu Zahrah RH sikap yang ditunjukkan oleh Abu Talib tidak perlu dijelaskan lagi kerana ayahandanya, ‘Abdul Muttalib memberi kepercayaan kepadanya untuk menjaga Nabi Muhammad SAW selepas wafatnya.

Walaupun dia bukan anak yang paling tua, tetapi sifat sayangkan keluarga yang ada pada dirinya, menjadikannya bersungguh-sungguh menunaikan wasiat ayahnya dengan menjaga dan mempertahankan Baginda SAW.

Tugas menjaga Rasulullah SAW mulai usia kanak-kanak sehingga masa muda dan dewasa Baginda SAW.

Sesungguhnya Abu Talib benar-benar menunaikan wasiat ayahandanya dengan penuh tanggungjawab sekalipun tidak beriman kepada Allah.

Begitu juga dengan ahli keluarga yang lain seperti Hamzah dan ‘Abbas, mereka berdua tetap mempertahankan Rasulullah SAW walaupun masih belum memeluk Islam.

Sebaliknya Abu Lahab tidaklah bersikap begitu terhadap anak saudaranya itu, Rasulullah SAW.

Sikapnya sangat berlainan dengan anggota keluarga yang lain termasuk dengan kalangan yang belum memeluk Islam.

Hal yang demikian mungkin disebabkan kepentingan harta dan pangkat yang menguasai diri Abu Lahab (‘Abdul ‘Uzza) menyebabkan dirinya tidak mahu memperoleh kesusahan.

Dia beranggapan sekiranya dia menyokong perjuangan anak saudaranya itu, maka sudah pasti akan mengorbankan harta dan menjatuhkan martabatnya dalam kalangan Musyrikin.

Kelompok yang menjadi golongan terbesar dan masih memerintah Makkah.

Sifat ini menjadikan Abu Lahab tidak memikirkan tentang kebenaran Islam dan tidak berpendirian untuk melindungi anak saudaranya.

Bahkan dia fikir lebih beruntung dan terjamin kepentingan dengan bersungguh-sungguh menentang Rasulullah SAW.

Ummu Jamil, isteri Abu Lahab juga memainkan peranan yang besar dalam memusuhi Rasulullah SAW.

Dia bersungguh-sungguh membenci Rasulullah dan isteri Baginda iaitu Ummul Mu’minin, Khadijah RA.

Mereka berdua, suami dan isteri menentang Rasulullah SAW yang merupakan suatu kejahatan yang tidak terhingga di saat orang menyanjunginya di langit dan di bumi.

Namun demikian, Abu Lahab ialah seorang penakut.

Ketika puak Quraisy keluar berperang, dia tidak ikut serta keluar berperang.

Adapun sikap Abu Talib juga hendaklah dinilai dari segi Islam.

Sikap menyokong atas dasar kekeluargaan tanpa beriman dengan ajaran yang dibawa Rasulullah SAW, sebaliknya hanya berpegang dengan ajaran pusaka nenek moyang adalah sikap yang sia-sia di sisi Allah SWT.

Betapa sayang sekalipun Rasulullah SAW terhadap Abu Talib, namun bapa saudaranya tetap dalam keadaan begitu adalah satu ujian kepada Baginda SAW.

Perkara tersebut menjadi iktibar yang sangat mendalam kepada kita.

Kita sendiri tidak mengetahui apakah hikmah di sisi Allah yang Maha Mengetahui dan Bijaksana dalam segala urusanNya.

Wallahu a’lam.

Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Islam