Saya telah mengikuti perbahasan berkaitan cadangan penutupan sekolah vernakular yang ditimbulkan di peringkat nasional sekarang ini.
Gesaan penutupan timbul kerana sekolah vernakular yang menggunakan bahasa ibunda masing-masing sebagai pengantar dilihat menyukarkan perpaduan nasional serta integrasi antara kaum dan melemahkan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi komunikasi utama antara rakyat.
Saya berpandangan, perbahasan berkaitan isu ini perlu dilaksanakan dengan harmoni dan objektif, mengambilkira pandangan pakar-pakar, melibatkan semua pemegang taruh dan meraikan kepelbagaian serta perasaan rakyat berbilang bangsa di negara ini.
Ia juga wajib dirujuk kepada Perlembagaan Negara yang dipersetujui dan diterima oleh semua warganegara Malaysia yang cintakan perpaduan dan keamanan.
Kepelbagaian agama, bahasa dan bangsa adalah keistimewaan negara kita.
Namun, jika tidak diuruskan dengan baik dan tidak mengambilkira nilai-nilai yang dipersetujui bersama sewaktu menuntut kemerdekaan seperti penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi boleh menatijahkan kerapuhan perpaduan nasional yang akan menjerumuskan negara ke dalam konflik.
Nauzubillah.
Sama-samalah kita menguruskan perbezaan pandangan di dalam perkara yang penting ini dengan baik serta memahami asas kepelbagaian bangsa dan warna kulit adalah untuk taaruf yakni untuk saling kenal mengenal sebagaimana firman Allah SWT di dalam Al-Quran.
Proses interaksi kenal mengenal ini boleh terjadi menerusi satu bahasa dan sistem pendidikan yang dilalui bersama.
Teknologi pula adalah pelaksana yang berkesan hanya sekiranya kita mempunyai aspirasi yang sama.
Sekian
YB HAJI AHMAD AMZAD BIN HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu