Hukum Tanding Lumba Haiwan

Hukum Tanding Lumba Haiwan

SOALAN:

Saya ingin bertanya satu soalan berkenaan lumba kuda yang selalu di adakan di tempat saya di negeri Kelantan.

Apakah hukumnya perlumbaan kuda seperti itu?

JAWAPAN:

Bermula hukum asal bagi berlumba itu adalah harus ia samada yang berlumba itu manusia atau haiwan.

Akan tetapi jika ada perjudian ketika berlumba itu maka hukumnya menjadi haram.

Dan setengah ulamak berkata perlumbaan haiwan tanpa ada perjudian itu makruh.

Berkata Syeikh Zakaria Al-Ansari:


اتخاذ الحمام للبيض أو الفرخ أو الانس أو حمل الكتب أي على أجنحتها مباح ويكره اللعب به بالتطيير والمسابقة

Artinya: “Membela burung merpati kerana telurnya atau kerana anaknya atau kerana suka-suka atau kerana membawa surat atas sayapnya adalah harus.

Dan dimakruhkan buat main-main dengannya dan terbangkannya dan berlumba.”

(Kitab Asnal Matalib)

Ada pun jika ada perjudian dalam perlumbaan seperti terbang paling cepat atau perjudian dalam pertandingan seperti burung paling cantik maka hukumnya haram tanpa khilaf.

Berkata Imam Ibnu Quddamah:


وَالْمُسَابَقَةُ عَلَى ضَرْبَيْنِ ؛ مُسَابَقَةٌ بِغَيْرِ عِوَضٍ ، وَمُسَابَقَةٌ بِعِوَضٍ . فَأَمَّا الْمُسَابَقَةُ بِغَيْرِ عِوَضٍ ، فَتَجُوزُ مُطْلَقًا مِنْ غَيْرِ تَقْيِيدٍ بِشَيْءٍ مُعَييَّنٍ

Artinya: “Dan perlumbaan itu ada dua bahagi. Pertama ialah perlumbaan tanpa bertaruh dan keduanya perlumbaan dengan bertaruh.

Maka adapun perlumbaan tanpa bertaruh maka harus hukumnya dengan mutlak tanpa ada sebarang kaitan dengan suatu yang tertentu.”

(Kitab Al-Mughni)

Walhasilnya jawapan bagi hukum berlumba kuda sebagaimana datang dalam soalan adalah harus tidak haram selagi tidak ada berlaku perjudian.

Maksud pertaruhan yang diharamkan itu ialah pertaruhan yang menepati syarat perjudian.

Wallahua’lam

Ustaz Azhar Idrus

Soal Jawab