SOALAN:
Selalu kita ucap amin selepas berdoa dan selepas membaca fatihah.
Apakah makna amin yang sebenar?
JAWAPAN:
Para ulamak menyebut beberapa makna bacaan amin itu di dalam kitab-kitab mereka.
Makna yang paling mahsyur bagi perkataan amin ialah perkenankanlah.
Berkata Imam Nawawi:
ومعناه اللهم استجب وقيل كذلك فليكن وقيل افعل وقيل معناه لا يقدر على هذا أحد سواك وقيل معناه لا تخيب رجاءنا وقيل معناه اللهم أمنا بخير
Artinya: “Dan makna amin ialah Ya Allah perkenankanlah. Dan kata setengah ulamak seperti demikian itu hendaknya. Dan kata setengahnya makna amin itu lakukanlah. Dan kata setengah maknanya ialah tiada seorang yang berkuasa atas ini selain dari Mu ya Allah. Dan kata setengahnya jangan Kamu persiakan permintaan kami. Dan kata setengahnya maknanya amankan kami dengan kebaikkan.”
(Kitab At-Tibyan Fi Adabil Hamalatil Quran)
Berkatan Syeikh Khazin:
ومعنى آمين اللّهم اسمع واستجب. وقال ابن عباس : معناه كذلك يكون.
Artinya: “Dan makna amin itu ialah Ya Allah dengarkanlah dan perkenankanlah. Dan berkata Ibnu Abbas r.a. maknanya ialah seperti demikian itu hendaknya.”
(Tafsir Al-Khazin)
Dan kata Imam Al-Baghawi:
ومعناه اللّهم اسمع واستجب. وقال ابن عباس و قتادة معناه كذلك يكون.
Artinya: “Dan maknanya ialah Ya Allah dengarkanlah dan perkenankanlah. Dan kata Ibnu Abbas r.a dan Qatadah maknanya ialah seperti demikian itu hendaknya.”
(Tafsir Al-Baghawi)
KESIMPULAN
Amin yang diucapkan ketika berdoa dan ketika selesai dari membaca surah Al-Fatihah itu maknanya ialah Ya Allah perkenankanlah.
Jadi apabila kita berdoa misalnya Ya Allah Murahkan bagi kami akan rezeki kami maka bila diucapkan amin maka jadilah keselurahan doa itu Ya Allah murahkan bagi kami akan rezeki Ya Allah perkenankanlah permintaan kami ini.
Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus