31 Ogos 2020 merupakan hari yang penuh bersejarah buat seluruh rakyat Malaysia amnya dan juga rakyat di bumi bertuah negeri Terengganu Darul Iman, secara khususnya.
Hari ini, negara kita menyambut Hari Kebangsaan Kali Ke-63, sebagai petanda kita telah mencapai kemerdekaan dan pembebasan dari penjajahan negara barat secara langsung.
Sejak malam Ambang Kemerdekaan (30 Ogos) lagi, saya bersama dengan ribuan rakyat di negeri bertuah ini, telah sama-sama meraikan dan menyambut detik-detik malam kemerdekaan negara kita di Drawbrige, yang menjadi ikon baharu Terengganu Darul Iman.
Seawal jam 7.00 pagi lagi, segala persiapan dan persediaan telah dilakukan oleh pihak panitia sambutan Hari Kebangsaan Kali Ke-63 ini.
Manakala, rakyat pula dari segenap penjuru desa, kampung dan daerah mula datang berbondong-bondong untuk meraikan mengikut norma baharu sambutan kemerdekaan tahun ini.
Acara majlis dimulakan sekitar jam 8.45 pagi dan ketibaan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isterinya, Toh Puan Seri Tuan Faezah Tuan Abdul Rahman, jam 9.05 pagi.
Aturan majlis sambutan Peringkat Negeri Terengganu ini mengikut SOP (Prosedur Operasi Standard) yang ditetapkan pihak berkuasa seperti pemeriksaan suhu, tandatangan buku pelawat dan sebagainya.
Kami semua dibawa melawat Pameran APMM (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia) dan selepas itu dibawa turun ke bawah Jambatan Angkat (Drawbrige).
Selesai tabik hormat kepada pergerakan kapal-kapal APMM dan Kapal Penyelidikan Discovery UMT, saya dan YAB Dato’ Seri Menteri Besar Terengganu dan Exco Kerajaan Terengganu telah dibawa menaiki Kapal OPV KM Pekan.
Dari situ kami menaiki helikopter Agusta APMM bagi meninjau persekitaran perairan Kuala Terengganu dari sudut pandangan di udara.
Terima kasih Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Dato’ Mohd Zubil Mat Som dan semua pegawai kanan, anggota APMM atas kesudian menyambut Kemerdekaan ke-63 ini bersama kami di Kuala Terengganu, Bandaraya Warisan Pesisir Air yang indah ini.
Menteri Besar turut memaklumkan kepada pihak media, acara penglibatan aset maritim (APMM) yang julung kali diadakan di Terengganu seperti hari ini, bakal diteruskan lagi di masa akan datang, Insya’Allah.
Semoga hubungan baik ini terus subur demi kepentingan negara dan rakyat.
Marilah sama-sama kita meraikan Hari Kebangsaan ini dengan laungan keramat.
MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA1! MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!
YB Haji Ahmad Amzad bin Haji Hashim
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Ahli Parlimen Kuala Terengganu.
