Dakwah Jalanan Ambang Merdeka, Didik Masyarakat Jauhi Maksiat

Dakwah Jalanan Ambang Merdeka, Didik Masyarakat Jauhi Maksiat

Satu pendekatan berkonsepkan dakwah jalanan berkaitan ‘Anda Bijak Jauhi Zina’ telah diadakan di daerah ini sempena sambutan malam ambang kemerdekaan Malaysia kali ke-63 semalam.

Program yang dilakukan Pertubuhan Amar Maaruf Nahi Mungkar Marang (Skuad Amar) tersebut mensasarkan golongan belia dalam isu bahaya zina, perkara maksiat dan anak luar nikah yang berlaku pada masa kini.

Ketua Skuad Amar, Nasaruddin Samsudeng berkata, dalam waktu terluang itu pihaknya mengambil inisiatif untuk mendekati golongan belia bagi menyampaikan risalah dan penerangan berkaitan perkara tidak bermoral.

“Seperti yang kita sedia maklum, umumnya pada malam ambang kemerdekaan sering terjadi perkara yang menyalahi hukum syarak, tidak bermoral dan perkara yang mengundang kemurkaan Allah SWT.

“Kaedah turun ke lapangan untuk bertemu mata dengan anak muda ini juga menghidupkan suasana masyarakat di dalam kita memberi peringatan antara satu sama lain,” katanya kepada pemberita semasa aktiviti tersebut semalam.

Menurutnya, melalui aktiviti dakwah dan pengedaran risalah jauhi zina yang dilakukan, rata-rata orang awam dan golongan muda menerima dengan terbuka dan menunjukkan reaksi positif.

Kata Nasaruddin lagi, dengan usaha itu, mereka berharap kawasan setempat malah negeri ini akan terus subur dan sejahtera tanpa perbuatan tidak berakhlak.

“Skuad Amar akan terus melakukan aktiviti dakwah ini secara berkala agar golongan belia dan juga ibu bapa lebih terbuka terhadap masalah kerosakan akhlak kerana mereka ini merupakan penyambung generasi kita akan datang.

“Pada malam ini, kita mendapat kerjasama dengan Dewan Pemuda PAS Kawasan Marang, dan kami juga membuka ruang kerjasama dengan semua agensi, jabatan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) tanpa mengira latar belakang politik,” tambahnya.

Dakwah jalanan yang bermula pada jam 11.00 malam itu disertai seramai 25 orang sukarelawan Skuad Amar termasuk daripada kalangan wanita.

Dalam Negeri