“Kenapa, mak?” Tanya jururawat saya yang sedang menyukat suhu badan kanak-kanak yang ditahan diward kerana jangkitan paru-paru.
Aku pekakkan telinga.
Aku teruskan belek buku kecil yang saiznya tak lebih besar daripada kebanyakan telefon pintar zaman ini.
“Misi, you tak nampak ka?
“Ni doktor, bodoh punya tau.
“Sudah jadi doktor, kena buka buku.
“Dulu masa belajar, mesti dia tak pernah baca, tak tau macam mana boleh jadi doktor.
“Maybe, itu certificate beli punya.”
Aku keluarkan kalkulator dari poket labcoat aku.
Housemen (HO) di Jabatan Pediatrik memang bawa kalkulator ke mana-mana.
Kalau tertinggal menggagau cari.
Walaupun dalam telefon pintar masing-masing ada perisian kalkulator, ia tak boleh tanding kepuasan guna kalkulator.
Setelah aku kira dosej untuk pesakit tu, baru aku bersuara.
“Maaf, puan. Ini kalkulator.
“Puan tahu tak kenapa pakar matematik juga guna kalkulator?
“Saya pasti bukan kerana mereka tak pandai mengira.
“Mereka guna kalkulator untuk jimat masa dan kurangkan human error apabila melakukan pengiraan yang rumit”
Aku sua pula buku kecil berwarna putih dengan jalur ungu.
“Ini pula buku Frank Shann.
“Pakar Pediatrik dan farmasis pun rujuk buku ni.
“Dos ubat untuk kanak-kanak berbeza-beza ikut umur mereka.
“Buku ini ada tulis semua tu.
” Jadi saya perlu semak dos ubat anak puan untuk pastikan kami beri dos yang cukup dan selamat.
“Konsepnya sama untuk kurangkan error” sambung aku lagi.
Dia tak berpuas hati dengan kenyataan saya, lalu mengarahkan jururawat tadi untuk memanggil doktor pakar.
“Dahlah BODOH, kurang ajar some more. You keluar!” Pekik si emak menghalau aku.
Aku akui, jawapan aku padanya mungkin sedikit keterlaluan.
Apakan daya, aku pun manusia, ada hati dan perasaan, ada tahap kesabaran.
Lewat petang itu, aku dipanggil oleh Ketua Jabatan untuk beri penjelasan dan diarah kemukakan surat tunjuk sebab.
Aku akur sahaja.
Aku cuma mahukan yang terbaik untuk pesakit, tapi perkara tak baik pula jadinya.
Ini pengalaman aku semasa posting pertama sebagai HO, tapi aku takkan pernah lupa.
Sekarang sebagai Medical Officer (MO), aku masih lagi semak rujukan jika aku ada keraguan.
Aku tak pernah rasa bodoh berbuat demikian.
Membaca bukan budaya orang kita sehingga wujud stigma orang yang perlu buka buku ni hanya orang bodoh sahaja.
Ini persepsi yang kita perlu ubah.
Bagi aku, orang yang kurang ilmu tapi mengambil inisiatif untuk buka buku (belajar) tak layak dipanggil bodoh.
Orang bodoh adalah orang yang cetek ilmu tapi membiarkan dirinya terus tak berilmu.
Tiada inisiatif.
Selepas ini aku harap, kalau anda nampak doktor atau sesiapa sahaja yang semak buku/nota/rujukan untuk melakukan sesuatu, berilah sokongan dan dorongan padanya.
Kalau tak tahu, rujuklah, cuma pastikan pada yang arif.
Jangan pula memandai-mandai.
Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan