Kerajaan negeri Pahang tidak pernah berniat untuk menindas pekebun durian Musang King yang mengusahakan tanaman itu secara haram di sekitar daerah Raub, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Sebaliknya, Wan Rosdy berkata tindakan yang dibuat oleh kerajaan negeri itu adalah berdasarkan kepada peruntukan yang dibenarkan di bawah undang-undang.
“Pekebun terlibat sewajarnya menjadi warga yang patuh kepada undang-undang dengan mengosongkan tanah kerajaan yang mereka duduki secara haram selama ini dan kerajaan negeri berharap mendapat kerjasama daripada pihak terlibat.
“Kerajaan negeri juga mengulangi pendirian akan terus bertegas tanpa kompromi dalam isu tanah yang diusahakan secara haram oleh pekebun terbabit,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.
Wan Rosdy berkata kerajaan negeri buat masa ini terpaksa menangguhkan sementara tindakan penguatkuasaan notis pengosongan terhadap pekebun terbabit sehingga permohonan 111 pekebun bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap notis itu diputuskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 28 Oktober ini.
Pada 28 Ogos lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan Datuk Zainal Azman Ab Aziz membenarkan permohonan pekebun berkenaan bagi mendapatkan perintah penggantungan sementara terhadap notis pengosongan yang dikeluarkan Pejabat Daerah dan Tanah Raub dan Jabatan Perhutanan Pahang sehingga permohonan itu didengar.
Permohonan itu dibuat selepas kerajaan negeri mula mengambil tindakan terhadap pekebun yang didakwa mengusahakan kebun durian secara haram di sekitar Raub pada awal Ogos sehingga menyebabkan kerugian kepada kerajaan negeri selain isu pencemaran air.
Bernama