PETIKAN EMPAT KERTAS KERJA EKONOMI DI DALAM KONVENSYEN “SETENGAH TAHUN PENTADBIRAN PN: PENCAPAIAN, HARAPAN DAN CABARAN ANJURAN PINTAR DI PAUM PADA 1 SEPTEMBER 2020
Dalam keadaan kesempitan kewangan sektor awam, tepat sekali tindakan kerajaan memilih untuk melebarkan sedikit defisit fiskal demi mengutamakan kebajikan rakyat.
Matlamat kerajaan untuk mewujudkan akaun fiskal Kerajaan Persekutuan yang seimbang dikorbankan buat seketika untuk memberikan keutamaan menyelamatkan kebajikan rakyat.
Kerajaan PN sekarang sedang merancang untuk mengemukakan pelan jangka panjang pembangunan ekonomi yang akan dapat mengubah struktur asas ekonomi.
Buat setakat ini, dalam jangka pendek, kelihatan masalah gangguan kepada sistem pengeluaran negara yang terpaksa ditutup sewaktu PKP telah sebahagian besarnya dapat dipulihkan apabila ekonomi telah dapat dibuka semula.
Kilang-kilang telah kembali beroperasi, para pekerja telah dapat kembali bekerja dan peniaga telah dapat menyambung kembali perniagaan mereka.
Pekerja, pengguna, isi rumah, sektor awam dan sektor swasta serta para majikan, walaupun terjejas dengan penutupan dan gangguan pandemik ini, gaji pekerja dan kadar pengangguran telah dapat diselamatkan dengan kadar penurunan yang boleh diterima.
Sebaik sahaja ekonomi dibuka semula, kadar pengangguran (bulanan) turun dan kegiatan ekonomi kembali cergas.
Kemelesetan KDNK berlaku pada kadar yang boleh diterima dan buat setakat ini adalah lebih baik daripada kebanyakan negara di dunia.
Ini menandakan buat setakat ini pakej mitigasi rangsangan ekonomi telah menampakkan kejayaannya.
Dalam tempoh singkat pentadbiran Kerajaan PN sehingga ke hari ini, ia tentunya tidak berupaya untuk mengubah struktur ekonomi sedia ada, tetapi pendekatan yang ditunjukkan oleh pentadbiran baharu ini dalam pelan mitigasi ekonomi jangka pendek di dalam menangani wabak Covid-19 boleh dijadikan panduan, di mana ia menumpukan kepada masalah golongan isi rumah bawahan dan peniaga kecil-kecilan.
Ini adalah pendekatan yang tepat sekali memandangkan setiap mereka bukan sahaja merupakan masing-masing dari keseluruhan isi rumah dan badan perniagaan adalah golongan yang paling rapuh tetapi juga peratusan yang paling tinggi.
Kerajaan PN telah memutuskan untuk menyemak kembali penunjuk kemiskinan agar ia kelihatan lebih praktikal dan sesuai dengan tahap pembangunan ekonomi negara masa kini.
Semakan ini melibatkan penentuan PGK baharu yang dibina dengan menggunakan Survei HIS 2019, menggantikan yang lama yang menggunakan Survei HIS 2005.
Berikutan dengan tindakan itu, insiden kemiskinan pada sesuatu tahun kelihatan jauh lebih besar daripada apa yang digambarkan dahulu.
Misalnya, pada tahun 2016 insiden kemiskinan sebenarnya bukanlah 0.4% seperti yang diumumkan dahulu tetapi ia adalah jauh lebih tinggi, yakni 7.6%.
Ini adalah tindakan berani Kerajaan PN atas keinsafan bahawa gambaran kemiskinan perlu bukan sahaja lebih praktikal tetapi lebih telus dan tulus kepada rakyat.
Ciri isi rumah Malaysia yang dikatakan rata-rata mempunyai pendapatan yang rendah adalah berpunca daripada kerendahan, kepada yang pasif, pemberian wang tunai dan, kepada yang aktif pula, keupayaan menjana gaji dan dalam lebihan operasi.
Ini telah mengakibatkan mereka menghadapi masalah dalam memenuhi kos sara hidup dan seterusnya suasana kemiskinan mutlak yang agak serius.
Masalah ini ditambah pula dengan agihan pendapatan isi rumah yang semakin kurang memuaskan sehingga mengakibatkan insiden kemiskinan relatif menjadi isu yang sangat genting serta kemiskinan bukan pendapatan (multi-dimensional poverty index, MPI).
Harapan untuk memperbaiki keadaan ini memang ada sebagaimana yang telah ditunjukkan dalam pendekatan program PERIHATIN dan PENJANA.
Namun masalah yang sedang dihadapi oleh isi rumah Malaysia adalah berpunca daripada struktur dan sistem yang mendokongnya yang kelihatan lemah menyebabkan ia tidak boleh diselesaikan melalui program tersebut.
Harapan di masa depan untuk mencapai isi rumah yang berkebajikan tinggi terletak, dengan kaedah dan pendekatan yang sama, kepada pelan pembangunan sosio-ekonomi jangka panjang.
Ketiga-tiga golongan isi rumah ini memerlukan sokongan untuk dinaikkan paras kewangan mereka.
Tentunya ia memerlukan dasar yang berbeza untuk setiap mereka tetapi dalam satu pelan yang bersepadu.
Golongan yang pertama, yang pasif, memerlukan dasar bantuan kebajikan sosial sedangkan yang aktif, pekerja, memerlukan dasar perburuhan yang mantap manakala pengusaha pula memerlukan dasar perdagangan dan pelaburan yang dapat meningkatkan produktiviti.
Pendekatan yang diambil oleh Kerajaan PN kelihatan sangat tepat dalam memenuhi tuntutan yang mendesak ini.
Jika inilah yang dikatakan sebagai norma baharu pasca Covid-19, harapan terbentang luas untuk kehidupan yang lebih cerah untuk rakyat Malaysia.
Kamarul Yusoff