Petikan Kertas Kerja Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai (UNIRAZAK)

Petikan Kertas Kerja Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai (UNIRAZAK)

KERTAS KERJA EKONOMI DI DALAM KONVENSYEN “SETENGAH TAHUN PENTADBIRAN PN: PENCAPAIAN, HARAPAN DAN CABARAN ANJURAN PINTAR DI PAUM PADA 1 SEPTEMBER 2020

Dari segi kepimpinan, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah dilihat sebagai model kepimpinan Islam yang agak mengkagumkan, bukan sahaja kepada umat Islam tetapi juga kepada seluruh umat Malaysia.

Pertamanya, beliau mengisytiharkan bahawa beliau bukan berniat untuk menjadi Perdana Menteri sangat.

Beliau melihat jawatannya sebagai satu tanggungjawab yang besar.

Pada 27 Mac 2020, dunia menyaksikan buat pertama kali bagaimana Perdana Menteri Malaysia melafazkan doa secara formal sebagai seorang khalifah memohon perlindungan dan penyelesaian di dalam kes Covid-19 sambil menangis.

Ini tercatit di dalam lembaran sejarah sehingga ditonjolkan di dalam media massa, termasuk di dalam Wikipedia.

Ini menonjolkan watak beliau sebagai bibit-bibit pemimpin unggul model Islam.

Melihat kepada tindakan ahli Kabinet dan ketua perkhidmatan kerajaan di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin, terpapar bahawa pembaharuan yang dilakukan berbanding dengan Perdana Menteri sebelumnya ialah sikap dan gaya kepimpinannya yang memberikan delegasi kuasa yang besar dan penuh kepada ahli Kabinet dan ketua jabatan kerajaan untuk mentadbir dan membuat tindakan.

Amat jelas dilihat bagaimana beliau memberi kuasa kepada setiap Menterinya untuk membuat keputusan dan bertindak secara agak bebas asalkan ia tidak bercanggah dengan prinsip asas kerajaan dan matlamatnya.

Hasilnya beberapa orang Menteri dan ketua jabatan kerajaan menjadi lebih menonjol di dalam tindak tanduk mereka tanpa mendapat reaksi negatif beliau yang merupakan satu lagi semangat kepimpinan Islam yang penting.

Beliau dilihat sebagai orang di belakang semua tindakan Menteri Kabinet dan ketua-ketua jabatannya tanpa cuba menonjolkan dirinya sendiri.

Di dalam gaya pemerintahan konvensional, ia pastinya dilihat sebagai menonjolkan risiko untuk kehilangan pengaruh di dalam politik.

Satu lagi yang mungkin boleh ditonjolkan ialah, sebagai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin jarang menonjolkan dirinya sebagai pemimpin dan wakil BERSATU di dalam kerajaan.

Beliau sering menekankan peranannya sebagai ketua kerajaan yang berusaha keras untuk membawa keluar ekonomi negara dari pusingan ganas kemelesetan ekonomi disebabkan oleh Covid-19.

Kerajaan baru ini terus menerus menekankan slogan ‘kerajaan prihatin’ sebagai prinsip pentadbirannya.

Kerajaan ini dengan berani membuat pilihan untuk menyelamatkan nyawa warganya berbanding dengan usaha untuk cuba menyelamatkan ekonomi dari kesan kegawatan.

Apabila mengumumkan Skim Bantuan Sosial, kerajaan terus-menerus menonjolkan kepentingan memastikan ada cukup makanan di atas meja untuk semua keluarga di dalam negara.

Ini mengingatkan kita dengan usaha gigih Khalifah Umar Abdul Aziz yang memikul bekalan untuk mencari keluarga yang memerlukan bantuan dan layak memperolehi zakat.

Dengan jumlah RM290 bilion yang dibelanjakan di dalam tempoh 3 bulan untuk menangani kesan wabak Covid-19 maka Kerajaan PN dilihat sudah menunjukkan pertanggungjawaban dan keprihatinan terhadap warganegara Malaysia di dalam menangani kesan wabak Covid-19.

Sebenarnya apa yang ditawarkan kepada semua warganegara Malaysia termasuk isi rumah dan perniagaan adalah dilihat amat pemurah memandangkan ia adalah bersamaan dengan belanjawan negara untuk satu tahun (pada tahun 2020 jumlah belanjawan untuk seluruh negara bagi membiayai semua kementerian dan memberi faedah terus kepada warganegara Malaysia termasuk membayar wang pencen adalah sebanyak RM297 billion).

Pembentangan pakej rangsangan yang meliputi usaha memastikan kesejahteraan rakyat berasaskan kepada tema ‘Kerajaan Prihatin’ sebenarnya melihat satu perubahan penting di dalam semangat dan prinsip kerajaan dari menekankan prinsip ‘Pasaran Bebas’ dan ‘Kebebasan Perniagaan’ yang diamalkan di bawah model ‘Anglo-Saxon’ kepada sistem di bawah ‘Model Sosial Eropah’ (European Social Model).

Jika arah ini berterusan, ia memberi prospek kepada kewujudan sebuah kerajaan yang menekankan kepada kesejahteraan rakyat secara melata berbanding dengan prinsip memacu pembangunan ekonomi yang pesat.

Kamarul Yusoff

Isu Semasa