Ini merupakan cadangan dasar pertama bagi tempoh jangka pendek yang saya bentangkan semasa pertemuan kami bersama YAB Perdana Menteri.
Pihak kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia dicadangkan untuk mentransformasi dua platform pemadanan kerjaya sedia ada iaitu MyFutureJobs di bawah PERKESO dan JobsMalaysia di bawah Kementerian Sumber Manusia menjadi sebuah platform pemadanan kerjaya bersepadu nasional yang boleh diakses dengan mudah oleh semua peringkat umur pekerja termasuklah graduan baru dan pekerja belia.
Portal ini seharusnya menggabungkan peluang pekerjaan baik di sektor awam dan swasta serta meliputi pelbagai jenis pekerjaan termasuklah, pekerja sementara, pekerja informal, pekerja kontrak dan pekerja tetap.
Setakat ini, kedua-dua portal ini bergerak secara berasingan dan proses pemadanan kerjaya masih berlaku secara tradisional.
Konsolidasi kedua-dua platform dan transformasinya kepada sebuah pusat sehenti pemadanan kerjaya nasional bersepadu yang berteraskan teknologi harus diusahakan untuk memudahkan proses ‘hiring’ mereka yang ingin bekerja dalam sektor-sektor yang terlibat merangkumi keseluruhan proses pengambilan pekerja termasuklah ‘prospecting’, ‘shortlisting’, ‘interview’ dan ‘onboarding’.
Antara pendekatan yang boleh dgunapakai untuk memudahkan proses pemadanan kerjaya ialah dengan menggunakan pendekatan ‘competency matrix’ di mana para pencari kerja perlu memuat-naik tahap kemahiran mereka berdasarkan kompetensi-kompetensi tertentu yang diperlukan oleh majikan.
Proses pemadanan kerjaya akan menjadi lebih telus dan tepat berbanding pendekatan biasa yang terlalu bergantung kepada resume, CV dan proses temuduga.
Pendekatan ini sebenarnya sudahpun diadaptasi oleh Kementerian Sumber Manusia melalui program NOSS (National Occupational Skills Standard) yang tertumpu kepada sektor-sektor pekerjaan berteraskan kemahiran selain digunapakai secara meluas oleh syarikat-syarikat besar dalam bidang minyak dan gas.
Platform pemadanan kerjaya bersepadu ini juga perlu dilengkapkan dengan fasiliti temuduga maya (virtual interview) bagi memudahkan proses pengambilan pekerja-pekerja baru.
Selain itu, bagi memudahkan capaian pencari-pencari kerja belia di kawasan luar bandar ataupun kawasan di luar Lembah Klang, kerajaan boleh menggunakan fasiliti kerajaan sedia-ada yang mempunyai akses internet yang stabil untuk dijadikan Pusat Khidmat Kerjaya untuk dikunjungi oleh pencari-pencari kerja belia bagi mengakses platform di atas ataupun menjalani temuduga maya dengan lebih selesa.
Konsep ‘virtual careers fair’ juga harus diperluaskan melalui platform ini secara berkala dan meluas agar pekerja-pekerja dapat mengakses peluang-peluang pekerjaan ini dengan lebih cepat dan mudah.
Cadangan transformasi ini dianggarkan sekitar RM20 – 30 juta dan dijangka akan memberi manfaat kepada sekitar 300,000 pencari kerja yang kini berada di dalam kedua-dua platform dalam meningkatkan keberkesanan pemadanan kerjaya.
Ir. Khairil Nizam