Wanita Solat Jumaat

Wanita Solat Jumaat

SOALAN:

Apakah hukumnya orang perempuan mengerjakan solat jumaat?

Adakah dia masih wajib mengerjakan solat zuhur jika sudah buat jumaat?

JAWAPAN:

Tidak wajib solat jumaat atas kaum perempuan akan tetapi jika kaum perempuan mengerjakan solat jumaat maka solatnya itu sah dengan ijmak ulamak.

Telah berkata olih Imam Nawawi:

ونقل ابن المنذر وغيره الإجماع على أنها ـ أي المرأة ـ لو حضرت وصلّت الجمعة جاز

Artinya: “Telah menaqal oleh Imam Ibnu Al-Munzir dan lainnya akan ijmak atas bahwasanya perempuan itu jikalau dia hadir solat jumaat nescaya harus yakni sah ia.”
(Kitab Al-Majmu’)

Berkata Imam Ibnu Quddamah:

ولكنها تصح منها – أي الجمعة – ؛ لصحة الجماعة منها، فإن النساء كن يصلين مع النبي صلى الله عليه وسلم في الجماعة “

Artinya: “Dan tetapi sah jumaat daripada perempuan kerana sah solat berjemaah daripadanya maka sungguhnya kaum perempuan telah solat berjemaah bersama Nabi saw.”
(Kitab Al-Mughni)

Apabila sah solat jumaat yang dikerjakan oleh orang perempuan maka gugur daripadanya kewajipan solat zuhur pada hari itu.

Berkata Syeikh Abdul Rahman Ba’lawi:

يَجُوْزُ لِمَنْ لاَ تَلْزَمُهُ الْجُمُعَةُ كَعَبْدٍ وَمُسَافِرٍ وَامْرَأَةٍ أَنْ يُصَلِّيَ الْجُمُعَةَ بَدَلاً عَنِ الظُّهْرِ وَتُجْزِئُهُ

Artinya: “Harus bagi orang yang tidak wajib atasnya solat jumaat seperti hamba sahaya dan orang musafir dan perempuan bahawa solat ia akan jumaat sebagai ganti daripada solat zuhur dan memadai akan dia.”
(Kitab Bughyah Al-Murtassyidin)

Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus

Soal Jawab