Program Penugasan Semula Pekerjaan Dalam Sektor Terpilih
Pandemik Covid-19 secara tidak langsung mendedahkan ‘vulnerability’ negara kita kepada kejutan rantaian bekalan global khususnya dalam aspek keselamatan makanan dan juga keperluan perubatan serta teknologi diagnostik penyakit.
DPPM memandang serius permasalahan ini yang berpotensi mengganggu-gugat kesejahteraan rakyat Malaysia.
Selain itu, aspek kebergantungan melampau kepada tenaga kerja asing dalam sektor-sektor tertentu dalam negara juga harus diselesaikan segera demi memastikan peluang yang lebih saksama untuk para pekerja belia tempatan.
Untuk itu, kami ingin mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan satu skim khas ‘Program Penugasan Semula Pekerjaan’ untuk sektor-sektor terpilih negara.
Program ini boleh dilaksanakan dengan mendaftarkan semua majikan dan syarikat yang telah menerima bantuan kerajaan melalui pakej-pakej rangsangan ekonomi yang telah dilaksanakan selain penyertaan sukarela bagi majikan dan syarikat yang layak untuk menyenaraikan terlebih dahulu pekerja-pekerja yang terpaksa dilepaskan disebabkan sebab-sebab yang wajar (bukan kes disiplin) ke dalam portal Program Penugasan Semula Pekerjaan ini.
Portal khas ini adalah sebahagian daripada platform Pemadanan Kerjaya Bersepadu Nasional yang dicadangkan sebelum ini agar keberkesanan ekosistem perkhidmatan pemadananan pekerjaan negara menjadi lebih baik dan bersasar.
Melalui portal khas ini, para pekerja yang terkesan ini khususnya dari kalangan pekerja belia akan ditawarkan penugasan semula dan penempatan baharu dalam sektor-sektor terpilih baik melalui tawaran pekerjaan baharu oleh pihak swasta mahupun tawaran peluang menjadi usahawan dan pengusaha dalam sektor-sektor penting dan ‘labour-intensive’ negara yang tersenarai termasuklah:
a. Sektor pertanian & agro-makanan
b. Sektor pembuatan peralatan berkaitan kesihatan
c. Sektor farmaseutikal
d. Sektor perladangan
e. Sektor pemborongan
f. Sektor perkhidmatan khususnya berkaitan ‘gig economy’, ‘last-mile logistics’ dan ‘e-commerce’
Mekanisme ‘clearing house’ ini penting bagi memastikan transisi yang lancar, bersasar dan berkesan untuk para pekerja yang kehilangan pekerjaan khususnya golongan pekerja belia akibat kesan penguncupan ekonomi negara.Syarat peluang penugasan semula pekerjaan melalui portal khas ini harus dijadikan syarat mandatori untuk semua majikan dan syarikat sebelum notis pemberhentian kerja diberikan kepada para pekerja terlibat.
Ini akan memastikan kebajikan pekerja dan situasi menang-menang antara pekerja dan majikan dapat dilaksanakan dengan lebih adil dan saksama.
Dalam masa yang sama, peluang yang serupa untuk sektor-sektor yang disenaraikan seperti di atas adalah terbuka untuk pencari-pencari kerja belia pertama kali melalui Platform Pemadanan Kerjaya Bersepadu Nasional seperti yang dicadangkan sebelum ini.
Bagi mereka yang lebih berminat untuk menjadi usahawan dalam sektor-sektor di atas, integrasi dan pemadananan dengan program-program pembangunan usahawan anjuran agensi-agensi kerajaan seperti MAGIC, MTDC, INSKEN, PUNB, SMECorp dan yang seumpamanya harus digembleng bagi memastikan ekosistem pembangunan usahawan yang lengkap untuk golongan belia.
Untuk tujuan ini, beberapa akta berkaitan pekerjaan dan data peribadi mungkin perlu ditambah-baik untuk membolehkan proses ‘clearing house’ ini berlaku secara sah dan tanpa pertikaian.
Pendekatan ini dijangka bakal memberi manfaat kepada sekitar 100,000 sehingga 200,000 pekerja yang berkemungkinan diberhentikan kerja sekiranya situasi ekonomi negara kekal suram sehingga akhir 2020.
