Cadangan Keenam Pemuda PAS Untuk Mengurangkan Pengangguran:

Cadangan Keenam Pemuda PAS Untuk Mengurangkan Pengangguran:

Pembinaan Ekosistem Latihan Dalam Industri Yang Lengkap

Kerjasama industri dengan institusi pendidikan perlu diperkasakan agar satu ekosistem latihan dalam industri yang lengkap dapat diwujudkan.

DPPM ingin mencadangkan agar program latihan dalam industri sekurang-kurang 9 bulan diwajibkan untuk semua mahasiswa agar mereka mendapat pendedahan awal tentang alam pekerjaan sebenar dan dalam masa yang sama, mampu meningkatkan kemahiran teknikal dan ‘soft skills’ yang lain secara praktikal.

Program ini boleh dijadikan sebahagian daripada inisiatif ‘Structured Internship Porgramme’ (SIP) yang telah diperkenalkan oleh kerajaan sejak 2014 tetapi terlalu bergantung kepada komitmen pihak swasta dan majikan.

Pengalaman 9 bulan mereka dalam industri harus diiktiraf sebagai pekerjaan sebenar dengan mewujudkan satu panduan jelas dalam menjalankan program latihan dalam industri ini.

Program ini seharusnya diwujudkan dengan kerjasama majikan dan universiti secara berstruktur dan tersusun serta mempunyai sistem penilaian pencapaian yang jelas bagi mengukur keberkesanannya dalam meningkatkan kebolehpasaran pelajar terlibat.

Program ini tidak hanya wajib untuk mereka dalam jurusan STEM tetapi untuk semua jurusan agar semua mahasiswa mendapat manfaat daripada pendedahan dan pengalaman di alam pekerjaan sebenar.

Aspek elaun dalam latihan boleh dirunding antara pihak kerajaan dan industri agar satu konsensus dicapai supaya situasi menang-menang antara pelatih dan majikan dapat dicapai.

Elemen pencapaian sumbangan pelatih kepada industri harus diberi fokus agar aspek elaun ini menjadi lebih mudah untuk dilaksanakan.

Konsep ‘performance-linked wage system’ (PLWS) boleh digunakan sebagai asas kepada penilaian elaun latihan dalam industri ini.

Program latihan dalam industri juga harus dilebarkan kepada para pelajar peringkat menengah khususnya bagi mereka yang berada dalam aliran teknikal dan vokasional agar pembelajaran mereka lebih praktikal dan memberi nilai tambah kepada kebolehpasaran mereka kelak.

Model ‘apprenticeship’ yang diamalkan di Jerman yang menggabungkan pembelajaran teknikal dan vokasional di dalam kelas dan pembelajaran secara latihan di perusahaan dan industri di luar sekolah boleh diharmonikan untuk perlaksanaannya di Malaysia.

Cadangan ini dianggarkan bernilai RM 540 juta setahun dan bakal membantu hampir 200,000 bakal graduan di semua universiti tempatan dalam meningkatkan kemahiran, pengalaman industri dan tahap kebolehpasaran mereka yang seterusnya akan memberi kesan berganda kepada sektor ekonomi negara secara keseluruhannya.

Ekonomi