“Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.” (13)
“Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: “Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.” (14)
Surah al-Kahfi: 13 – 14
Amat menarik sekali, apabila Allah SWT meletakkan suatu surah di dalam al-Quran yang berkait dengan pemuda.
Ini menunjukkan besarnya peranan pemuda dalam perjuangan Islam.
Itulah yang berlaku di zaman nabi-nabi dan rasul-rasul alaihimussalatul wa salam.
Kebanyakan pengikut mereka adalah dari kalangan pemuda dan hanya segelintir sahaja dari kalangan orang-orang tua.
Itulah juga yang berlaku kepada para sahabat nabi akhir zaman SAW.
Kerana Allah SWT mengetahui betapa besarnya peranan mereka dalam melansungkan perjuangan yang sangat besar ini.
Kita bersyukur kepada Allah SWT yang telah meletakkan kita dalam Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
Kumpulan Islam yang menjadi mata rantai gerakan Islah dan Tajdid meneruskan cahaya obor Islam yang tidak padam dengan kewafatan nabi Muhammad SAW.
Kita menyaksikan di zaman kini, ketika kejatuhan kuasa Islam yang mempengaruhi dunia (kuasa besar).
Tanah air umat Islam dijajah, dipecah-pecah, diratah dan dimamah oleh musuh-musuh mereka.
Namun mereka gagal memadamkan cahaya Islam.
Keadaan ini diakui oleh musuh-musuh Islam sendiri yang telah letih menentang agama ini sejak awal.
Inilah keyakinan kita.
PAS yang menjadi mata rantai perjuangan ini tidak pernah mundur atau surut dalam perjalanan perjuangannya, walaupun surut kerusi pilihan rayanya.
Walaupun kosong kerusinya, malah ada tempat yang tidak boleh bertandingpun, tetapi cahaya kita sampai.
Inilah Islam yang kita yakin.
Siapa menduga perkembangan politik yang berlaku di masa mutaakhir ini.
Saya hanya menembak sahaja pada pilihan raya ke 14 dengan berkata, “In Sya Allah, PAS akan menjadi ‘King Maker’ dalam percaturan politik tanah air”.
Dengan kerusi yang dianggap tidak menjadi penentu kerapa kerajaan memerintah.
Dengan berjumlah hanya 18 kerusi parlimen dan dua buah negeri yang kita menang, tiba-tiba Allah SWT menyerlahkan kita menjadi ‘King Maker’, yang melakukan perubahan politik tanah air.
Yang berlaku sebenarnya bulanlah ‘Langkah Sheraton’ tetapi sebenarnya langkah kita sebenarnya.
Biarlah orang ramai tidak tahu.
Orang cuma nampak langkah sheraton sahaja.
Di PUTIK ini, kami telah merancang.
Saya nak sebut dua orang tokoh yang telah meninggal dunia, iaitu almarhum Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz dan almarhum Tuan Guru Dr. Harun Din.
Kami berbincang untuk membawa satu pendekatan baru dalam politik PAS iaitu pendekatan ‘Taawun Siasi’, bukan lagi ‘Tahaluf Siasi’.
Pendekatan ‘Cooperation’ bukan ‘Coalation’.
Pendekatan yang lebih longgar tetapi fleksibel, tidak memutuskan kita daripada perjuangan Islam.
Ketika semua parti politik dalam keadaan yang bergolak, kita dilamar oleh semua pihak.
Dipinang oleh semua orang.
Kerajaan dan pembangkang.
Kita mengambil jalan tengah dengan mewujudkan kumpulan ketiga gagasan sejahtera.
Dalam pergolakan itu, kedua-dua pihak dalam keadaan letih tetapi kita tidak letih.
Kita saksikan Pakatan Harapan yang berjaya menawan Putrajaya berada dalam keadaan pening, berlaga dan terantuk sesama sendiri.
Kita menyaksikan parti yang tidak boleh pergi ke Putrajaya berada dalam keadaan yang sangat gelabah.
Di masa itu kita memperkenalkan politik Islam, iaitu politik Taawun Siasi.
Melaksanakan apa yang ditunjukkan oleh nabi Muhammad SAW dengan menyatukan umat Islam dahulu kerana mereka yang berhak memimpin.
Seterusnya kita menyatukan masyarakat majmuk yang melibatkan semua kaum.
Itulah mesej kita.
Kedua-duanya dapat dilaksanakan.
Bermula dengan penubuhan Muafakat Nasional dengan pertemuan kita dengan UMNO.
Membuahkan Kongres Perpaduan Melayu dengan pertemuan kita dengan Tun Mahathir.
Kedua-duanya telah menunjukkan minat terhadap Islam.
UMNO sanggup meminda undang-undang tubuhnya dengan meletakan Islam di hadapan.
Tun Mahathir menegaskan kepada saya bahawa beliau nampak hanya Islam sahaja yang boleh menyelesaikan masalah.
Beliau cuma berkhilaf dalam masalah pendekatannya sahaja.
Akhirnya kita berjaya mewujudkan Perikatan Nasional.
Menawan Putrajaya dalam keadaan tenang.
Suatu pertukaran kuasa secara demokratik, bukan melalui pintu belakang atau menebuk atap.
Melalui ahli-ahli parlimen yang dipilih oleh rakyat.
Melalui Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Agong.
Bukan dengan cara menebuk atap tetapi ianya mengikut perlembagaan.
Kita telah berjaya mengambil alih Putrajaya.
Dengan langkah yang diambil, walaupun kita berkhilaf (berbeza pendapat) dalam pendekatan yang menyebabkan sedikit kerosakan dan perpecahan berlaku.
Tetapi perancangan kita telah berjaya.
PAS telah mendapat tempat dalam kerajaan pusat dan berjaya menambah satu lagi negeri yang dapat kita perintah iaitu Kedah.
Kita berjaya memimpin dengan cara yang tidak gopoh seperti orang lain.
Alhamdulillah, ahli-ahli PAS setia kepada parti.
Mereka tidak mengelabah, kerana golongan yang mengelabah itu sudah tiada dalam parti kita.
Kita selamat.
Apa yang penting ialah kita mahu mengukuhkan lagi kedudukan perjuangan kita ini untuk mendapat mandat rakyat secara langsung melalui pilihan raya umum yang ke 15 nanti.
Oleh kerana undi pemuda adalah undi penentu yang sangat besar jumlahnya diseluruh negara, maka peranan pemuda sangat besar.
Kita merasa sedih kerana kefahaman umat Islam sangat lemah berbanding dengan kaum lain.
Padahal Islam mewajibkan politik dalam perjuangannya.
Kerana jahil agama, kita telah meninggalkan kewajiban yang besar ini.
Tidakkah semua nabi-nabi dan rasul-rasul alaihimussalatu wa salam tidak memisahkan politik daripada dakwah?
Nabi-nabi bukan sahaja berdakwa mengajak orang ramai sahaja tetapi mereka juga mengajak kerajaan di zaman masing-masing.
Bahkan nabi-nabi juga memimpin negara.
Berjuang sehingga dapat memimpin negara.
Ramai dari kalangan nabi dan rasul tidak sempat melihat kemenangan kerana mereka telah wafat dahlulu.
Tetapi ada nabi dan rasul yang telah dapat memimpin negara dengan mencapai kemenangan yang telah dijanjikan oleh Allah SWT.
Apa yang penting ialah politik tidak boleh dipisahkan daripada Islam.
Ia merupakan satu kewajiban yang besar dalam Islam.
Tetapi ia telah dilupakan oleh umat Islam sehingga menyebabkan undi umat Islam sangat lemah kerana lemahnya kesedaran politik ini, khususnya dari kalangan anak-anak muda yang menjadi sasaran kepada musuh-musuh Islam dengan diherek mereka dengan kelekaan.
Oleh itu peranan pemuda sangat besar dan penting.
Pemuda mesti bergerak dengan keyakinan dan keimanan Ashalbul Kahfi yang disebut di dalam al-Quran.
Walaupun tujuh orang dan asalnya berasingan.
Mereka menyaksikan kemungkaran jahiliyyah yang berlaku, mereka duduk di bawah pokok di tempat masing-masing, tidak mengenali antara satu sama lain.
Ahklirnya mereka berkumpul dan mereka diketahui oleh musuh setelah mereka bangun mengatakan kebenaran.
Mereka terpaksa menghadapi cabaran.
Untuk menyelamatkan akidah mereka, mereka telah bersembunyi di dalam sebuah gua.
Kita masih belum sampai kepada peringkat bersembunyi di dalam gua lagi.
Kita masih berada di tengah-tengah masyarakat.
Allah SWT telah melarang nabi Muhammad SAW berada selama-lamanya di dalam gua hira’.
Setelah pulang dari mendapat wahyu di gua Hira’, di rumah baginda, Jibrail turun membawa ayat:
“Wahai orang yang berselimut!” (1)
“Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia).” (2)
al-Muddaththir: 1 – 2
Inilah mesej yang wajib kita tunaikan.