Mesyuarat bersama YB Menteri Alam Sekitar dan Air adalah amat memuaskan dengan penyelesaian serta kemajuan isu-isu membabitkan Negeri Pulau Pinang.
Antaranya, YB Menteri bakal membawa Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) ke tahap rundingan seterusnya dengan Kerajaan Negeri Perak.
Dalam pada itu, isu penyerahan Empangan Mengkuang dianggap selesai dan YB Menteri akan merasmikan majlis berkenaan pada hujung Oktober ini.
Serentak itu, Kementerian juga mengesahkan bahawa projek pembentungan di Clan Jetties, Weld Quay akan dikemukakan untuk peruntukan RMK12.
Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) juga akan memudahcara inisiatif penggunaan air dikitar semula membabitkan zon industri Bayan Lepas.
Sebagai tambahan, perbincangan turut memutuskan bahawa masalah pencemaran sungai di Kampung Selamat akan diambil tindakan sewajarnya.
Pada masa sama, Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan memudahcara pengoperasian Fasa 3 tapak pelupusan Pulau Burung.
Ini merupakan antara isu yang mencapai keputusan baik pada pertemuan pada hari ini.
Terima kasih YB Menteri dan pasukan kerja beliau.
Chow Kon Yeow 曹觀友
Ketua Menteri Pulau Pinang