SOALAN:
Saya mahu bertanya tentang satu proses mendapatkan zuriat yang dilakukan dengan teknik moden di hospital yaitu benih suami dan benih isteri dicantumkan di luar rahim kemudian dimasukkan semula dalam rahim sampai dilahirkan.
Adakah harus proses seperti ini di sisi agama?
Bagaimana pula jika menggunakan rahim perempuan yang lain sebagai ibu tumpang?
JAWAPAN:
Para ulamak telah menetapkan jika benih tersebut diambil dari suami isteri yang sah kemudian dicantumkan di luar rahim kemudian di masukkan ke dalam rahim isteri yang sama sampai hari melahirkan nescaya hukumnya adalah harus dan anak tersebut adalah sah.
Dalam satu muktamar Islam yang diadakan di ‘Aaman pada Safar 1407H telah menetapkan:
أن تؤخذ نطفة من الزوج وبويضة من زوجته ويتم التلقيح خارجيًا ثم تزرع اللقيحة في رحم الزوجة. ( وهذه صورة مباحة بالشروط السّابقة
Artinya:
“Bahawasanya diambil akan benih dari suami dan benih dari isterinya dan disempurnakan cantumannya diluar rahim kemudian dibiakkan di dalam rahim isteri tersebut maka cara ini adalah diharuskan dengan segala syarat yang telah lalu.”
Manakala kaedah menggunakan rahim ibu tumpang yakni setelah benih bercantum di luar rahim lalu dimasukkan ke dalam rahim perempuan yang bukan isterinya yang sama maka hukumnya adalah haram.
Antara ulamak yang mengharamkan penggunaan rahim ibu tumpang ini ialah Syeikh Ali Jadul Haq dan Syeikh Sayyid Wafa dan Dr Ali Juma’ah dan Dr Sayyid Tanthowi dan Dr Yusuf Qardhawi dan Dr Mustafa Zarqa.
KESIMPULAN
Kaedah mencantumkan benih suami isteri yang sah di luar rahim kemudian dibiakkan didalam rahim isteri yang sama sehingga melahirkan adalah harus hukumnya dan anak tersebut adalah anak yang sah bagi pasangan suami isteri itu.
Kaedah membiakkan benih suami isteri yang sah di dalam rahim perempuan yang lain adalah haram tidak dibenarkan di sisi syarak.
Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus