Selesainya PRN Sabah dan perlantikan Ketua Menteri Sabah nampaknya tidak menghentikan kehangatan politik.
Di sebalik kegagalan Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri dan kegagalan PH/Warisan Plus mempertahankan kerajaan di Sabah, perhatian rakyat sekarang tertumpu kepada persoalan siapakah punca merebaknya semula Covid 19.
Pengumuman Dr Hisham Abdullah tentang kekudukan terkini pendemik ini sehingga memungkinkan kuarantin di rumah diadakan semula telah menimbulkan kemarahan para netizen.
Mereka bertanyakan siapakah yang ampunya angkara?
Adakah ahli-ahli politik yang berulang-alik di antara Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu atau siapa sebenarnya?
Yang pasti ia adalah berpunca daripada pergerakan besar-besaran ahli-ahli politik Semenanjung untuk berkempen dan menggerak jentera pilihan raya parti masing-masing di Sabah.
Kita tidak boleh menyalahkan ahli-ahli politik yang menjalankan tugas-tugas mereka dalam pilihan raya, walaupun pada hakikatnya mereka wajib mematuhi SOP.
Jika mereka tidak mematuhinya, ia adalah satu kesalahan yang mesti dikenakan tindakan.
Parti-parti politik juga tidak boleh dipersalahkan.
Mereka mempunyai hak dalam sistem demokrasi untuk menyertai pilihan raya apabila SPR menetapkan tarikh pilihan raya.
Jika parti-parti politik tidak menyertainya, rakyat tidak boleh mengundi dan kerajaan tidak dapat dibentuk.
Krisis politik akan berpanjangan.
SPR sebagai badan yang bertanggungjawab untuk melaksanakan pilihan raya juga tidak boleh dipersalahkan.
Mereka terpaksa mengadakan pilihan raya dalam tempoh yang ditetapkan oleh Perlembagaan apabila berlaku kekosongan atau pembubaran dewan perundangan.
Sebelum ini, siri-siri pilihan raya kecil telah diadakan dengan selamat dan mematuhi SOP.
Adakah TYT Yang Dipertua Negeri Sabah patut dipersalahkan?
Beliau memang boleh menerima atau menolak permintaan Ketua Menteri Sabah untuk membubarkan DUN.
Tetapi sudah pasti beliau telah mengambil kira faktor kestabilan politik negeri sebelum beliau membubarkan DUN tersebut.
Dengan kegawatan politik Sabah itu, banyak pihak bersetuju dengan tindakan pembubaran itu untuk mewujudkan kestabilan di negeri di bawah bayu itu.
Sudah pasti tindakan TYT Yang Dipertua Negeri Sabah adalah berpunca dari percakaran pemimpin-pemimpin politik.
Ia bermula dengan tindakan Shafie Apdal yang tidak mahu menyerah kalah, setelah kehilangan majoriti di DUN Sabah.
Semua pemerhati politik tahu, Kerajaan Sabah asalnya dikuasai oleh BN dengan majoriti tipis pada 2018 dan Musa Aman telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah.
Tetapi dalam masa yang singkat, PH yang diwakili oleh Warisan dan sekutu mereka yang lain telah merampas kerajaan setelah wakil rakyat BN melompat parti.
Shafie Apdal mengetuai kerajaan baru.
Ketika isu Covid 19 mulai reda, Shafie Apdal mula kehilangan kepercayaan dari para ADUN dan beberapa dari mereka telah komit untuk menyeberang kepada BN.
Musa Aman telah mengatur untuk mengadap TYT Yang Dipertua Negeri bagi membentuk kerajaan baru.
Shafie Apdal yang tidak boleh menerima hakikat kejatuhan kerajaannya, telah memohon kepada TYT Yang Dipertua Negeri supaya DUN dibubarkan.
Atas permohonan Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri itulah yang membuatkan DUN Sabah dibubarkan.
Pemimpin BN Sabah, termasuk Musa Aman tidak bersetuju dengan pembubaran DUN itu sehingga membawanya ke mahkamah.
Faktornya, kerana kerajaan baru boleh dibentuk tanpa pembubaran DUN dan pilihan raya negeri mesti dielakkan bagi mengelakkan risiko penularan Covid 19.
Shafie Apdal pula bukan sahaja tidak mempedulikan risiko tersebut, tetapi turut bertegas bahawa pesakit positif Covid 19 juga mesti dibenarkan mengundi.
Gerakan kempen pilihan raya berjalan lancar tanpa kawalan ketat dan pematuhan SOP diabaikan.
Sebahagian pemimpin Warisan telah sedar risiko ini, dan menuduh Kerajaan Pusat bermain wayang dalam hal ini.
Dalam hal penularan Covid 19 ‘Kluster PRN Sabah’ ini, ternyata berpunca dari kegelojohan pemimpin PH/Warisan Plus yang berkeras supaya DUN dibubarkan dan diadakan pilihan raya.
Jika Shafie Apdal mengalah setelah kehilangan sokongan di DUN Sabah dan menyerahkan kerajaan kepada pemimpin BN, pilihan raya ini tidak perlu diadakan.
Jika DUN tidak dibubarkan, pasti seluruh isu penularan Covid 19 tidak timbul sama sekali.
Ulang-alik ahli-ahli politik memang tidak dapat dielakkan apabila pilihan raya diadakan.
Dan ia menjadi sebab tersebarnya Covid 19 di Semenanjung sekarang ini.
Warisan Plus dan PH mesti bertanggungjawab dalam hal ini!
Mohd Fadli Ghani