YB Tuan Haji Ahmad Amzad Hashim, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi hari ini telah merasmikan Program Minggu Angkasa Sedunia (World Space Week) 2020 anjuran Planetarium Negara.
Program yang bermula 4 sehingga 10 Oktober 2020 adalah bertemakan sambutan Minggu Angkasa Sedunia iaitu Satellites Improve life dan tema Minggu Sains Negara iaitu Keajaiban Sains.
Sambutan Minggu Angkasa Sedunia kali menyaksikan satu majlis menandatangi memorandum persefahaman SpaceVIO (Volunteer Involving Organizations for Space) iaitu sebuah konsortium gabungan organisasi-organisasi berkaitan angkasa lepas.
Konsortium ini terdiri daripada badan-badan bukan kerajaan dan tidak berasaskan keuntungan seperti Persatuan Astronautik Malaysia (AstroX), Persekutuan Pengakap Malaysia, UniKL MIAT dan Malaysia Space Initiatives (MiSI) serta syarikat-syarikat yang memfokuskan terhadap pendidikan angkasa seperti Apadilangit, Space.S, GoSTEM, SpaceIn, dan GenerasiMarikh.
Menerusi SpaceVIO industri angkasa di Malaysia boleh diperkasakan lagi dengan membentuk inisiatif melalui usahasama komuniti dan organisasi yang memfokuskan agenda angkasa.
Antara aktiviti-aktiviti menarik pada sambutan kali ini termasuklah bengkel penerokaan angkasa lepas, bengkel sains roket, pelancaran satelit tin (cansat), bengkel teleskop, bengkel astronomi, siri-siri webinar angkasa, kuiz pengetahuan angkasa, lawatan planetarium secara maya dan kursus dalam talian Penerokaan Marikh oleh NASA.
Turut dilancarkan pada majlis ini adalah acara larian Ultramarathon Sputnik 6.3km berasaskan angkasa, Planet Sci-fi, lukisan mural Terukir Di Bintang dan Space Ultramarathon 2020 (SPATRA2020).
Minggu Angkasa Sedunia merupakan sambutan peringkat antarabangsa yang telah diisytiharkan pada tahun 1999 di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (The United Nations General Assembly).











