Saya mengikuti perkongsian YB Khairy Jamaluddin di MHI TV3 pagi ini mengenai penilaian MOSTI terhadap pembangunan Vaksin Covid-19.
Ramai orang bertanya pada saya bila kita boleh dapatkan vaksin?
Sebenarnya kita perlu menunggu pengesahan keberkesanan dan keselamatan vaksin oleh badan kelulusan yang dilantik iaitu National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA) sebelum kerajaan membuat pembelian tersebut dan memberikannya kepada rakyat.
Saya, YB KJ dan Ir Siti Hamisah sentiasa berbincang dan berusaha mencari jalan yang terbaik.
Kami telah pun mengambil langkah yang proaktif menjadi ahli Coalition for Epidemic Preparedness Innovations (CEPI), badan antarabangsa yang membuat penyelidikan kepada vaksin, bukan hanya kepada Covid-19, malah untuk jangka masa yang panjang.
Kita juga sudah mengadakan rundingan bersama kerajaan China, syarikat pharmaceutical dan terbaru COVID-19 Vaccine Global Access (COVAX) yang dikendalikan oleh The Global Alliance for Vaccine and Immunisation (GAVI) bagi mendapatkan sebahagian daripada bekalan vaksin COVID-19 yang diperlukan.
Ini bagi memastikan industri vaksin ini dapat dibangunkan dan keselamatan vaksin kepada manusia akan terjamin memandangkan sebelum ini hanya ada vaksin haiwan di Malaysia.
InsyaAllah, jika tiada aral yang melintang, penilaian ujian klinikal fasa ke tiga akan dijalankan pada bulan November dan Disember oleh badan pharmaceutical antarabangsa seperti AstraZaneca (Britain) dan Sinovac Biotech (China).
Setelah mendapat maklumat yang lengkap dan terbukti keberkesanannya, kita akan menyenaraikan penerima vaksin secara berperingkat, terutama kepada golongan berisiko tinggi seperti frontline workers, social workers dan warga emas.
Rakyat tidak perlu khuatir, kerana kerajaan berhasrat untuk memberikan vaksin secara percuma kepada semua dan juga boleh dibeli dari agensi swasta.
Tambahan pula, bagi sesiapa yang sudah mendapatkannya akan diberikan e-health certificate.
Sebagai kerajaan, kita komited untuk memberikan penyelesaian yang terbaik demi keselamatan rakyat.
Semoga semua pihak sama ada pemimpin dan juga rakyat terus mematuhi segala SOP yang diberikan bagi memastikan negara berada dalam keadaan yang selamat.
Haji Ahmad Amzad Hashim
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi