Solat Witir 3 Rakaat Satu Salam

Solat Witir 3 Rakaat Satu Salam

SOALAN:

Soalan saya pasal sembahyang witir adakah boleh kita buat macam sembahyang maghrib tiga rakaat dengan satu salam?

JAWAPAN:

Harus hukumnya mengerjakan solat witir tiga rakaat dengan satu salam tetapi yang afdhal ialah dikerjakan dengan dua salam yaitu dua rakaat pertama dipisahkan dengan satu rakaat yang akhir.

Tersebut pada Kitab Fiqhul Ibadah ‘ala Al-Mazhab As-Syafie:

يجوز لمن أوتر بما زاد على ركعة أن يؤدي الصلاة على إحدى صور ثلاث، أفضلها الفصل، بأن يفرد الركعة الأخيرة بعد ركعتين أو أكثر، لما روى ابن عمر رضي الله عنهما قال: “كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يفصل بين الوتر والشفع بتسليمة ويسمعناها”

Artinya: “Harus bagi siapa yang hendak mengerjakan witir dengan lebih dari satu rakaat bahawa menunaikan akan solat atas salah satu dari tiga rupa. Rupa yang paling afdhal ialah selepas mengerjakan dua rakaat atau lebih dikerjakan pula serakaat yang akhir kerana hadith riwayat Ibnu Umar r.a. kata beliau: Adalah Rasulullah saw memisahkan antara rakaat yang ganjil dengan rakaat yang genap dengan memberi salam dan memperdengarkannya akan kami.
Hadith riwayat Imam Ahmad.”

Maka sudah terjawab bahawa mengerjakan solat witir sebanyak tiga rakaat dengan satu salam itu hukumnya adalah harus dan sah cuma sebahagian fuqahak menghukumkannya dengan makruh.

Tersebut pada Kitab I’anah At-Talibin:

ويكره الوصل عند الاتيان بثلاث ركعات، فان زاد ووصل فخلاف الاولى.

Artinya: “Dan dimakruhkan wasal (yakni bersambung dengan satu salam) ketika menunaikan witir sebanyak tiga rakaat. Maka jika lebih dan dibuat dengan wasal maka hukumnya menyalahi yang lebih utama.”

Wallahua’lam

Ustaz Azhar Idrus

Soal Jawab