Sesudah kisah politik yang menggegarkan Perak sehingga gegaran itu menjatuhkan Menteri Besar mereka, tiadalah siri itu berakhir dengan segera.
Bertalu-talu pula serangan yang tiba-tiba dilancarkan kepada PAS.
Entah dari mana, mereka seperti sepakat menyerang PAS.
Kita amat maklum dalam zaman media sosial berkuasa sekarang, pemilik akaun-akaun palsu berkeliaran.
Orang lain yang cipta isu, PAS pula yang dihentam.
Mungkin agak mengecewakan bagi sesetengah orang bilamana PAS dilihat sedikit lambat dalam memberikan respon.
Tidak sebagaimana lawan, sepertinya mereka lebih cepat dan tersusun menyerang PAS.
Oleh itu, keadaan menjadi agak kelam kabut kerana kelewatan dan menyebabkan ahli PAS menjadi tertanya-tanya.
Harus difahami, terkadang, mereka sudah mendapat berita dalaman, kemudian mereka mula menyebarkan hal itu.
Apabila berita sudah disebar awal oleh mereka dan kemudiannya pihak berkenaan bertindak sebagaimana kehendak mereka, maka menjadi wiralah mereka di mata rakyat.
Sedangkan isu itu sudahpun diputuskan begitu.
Beginilah antara cara membina persepsi.
Kadang kala perlu memburukkan orang lain, termasuk mereka yang baik.
Boleh sahaja jika media PAS mahu bertindak seperti tindakan yang diambil oleh pihak lawan.
Tulis sahaja apa yang mahu ditulis asalkan menjawab, tidaklah dilihat terlopong, menganga, seperti terkejut diserang setiap kali ada isu.
Media PAS juga boleh mencuba yang baharu seperti menyiarkan berita menyalahi konteks, letakkan tajuk, kemudian tukar semula tajuk dan meminta maaf sebagaimana perangai musuh.
Manakala tajuk itu sudah ditangkap layar, disebarkan oleh Mujahid Siber PAS.
Kalau tidak sekarang, pada masa akan datang nanti, boleh dijadikan sebagai bahan kempen.
Kita guna tajuk yang salah itu untuk menyerang lawan, tanpa isi berita, hanya tangkap layar.
Rasanya cara ini sudah meluas digunakan dalam perang siber sekarang ini bukan?
Tetapi PAS tidak sebegitu.
PAS terikat dengan dosa dan pahala.
Kita menerangkan dengan benar apa yang berlaku samada bila menyerang, atau bertahan.
Kita akan menunggu pimpinan agar keterangan kita tidaklah menjadi peluru kembali kepada musuh.
Namun tidak dinafikan ada juga terjadi kesilapan yang bertembung sesama PAS.
Pun begitu, jika tiada kesilapan pun, dicari-carinya juga.
PAS tidak dilahirkan untuk menipu.
PAS tiada bakat untuk berbohong.
Lihat sahaja, jika PAS memberikan laporan salah, maka dikata orang, lihatlah, parti yang mendakwa sebagai pembawa ajaran Islam, mereka menipu.
Serangan akan dilipat gandakan.
Ia akan menjadi lebih parah kepada PAS.
Berbeza dengan pihak musuh pula, jika tidak menipu, tidak menang.
Jika ada ahli PAS yang bernoda, mereka akan gunakannya sebagai tohmahan sebagai inilah keseluruhan PAS sebenarnya, walaupun tidak sampai beberapa kerat yang melakukannya.
Ironinya, mereka juga amat marah jika ada seorang dua muslim yang jahat, lalu Barat mendakwa inilah ajaran Islam sebenarnya.
Islam mengajar kejahatan dengan bukti seorang dua muslim telah melakukan kejahatan.
Kata mereka menafikan Barat, jangan dilihat Islam itu kepada satu dua orang.
Mesti dilihat Islam itu pada dasarnya.
Dan mereka melayan PAS sama seperti Barat melayan Islam.
Ajaibkan?
Bukti lagi PAS bukan diciptakan untuk melakukan kejahatan ialah, PAS sering diugut untuk didakwa di mahkamah jika ada kesalahan dalam berurusan.
Tetapi amat jarang bila kena kepada pihak lain melakukan hal yang sama.
Oleh kerana ugutan-ugutan sebegini, maka PAS amat berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang tuduhan.
Memang ada berlaku secara tidak sengaja, tetapi PAS tidak menjadikan fitnah itu sebagai senjata.
Nanti Islam juga yang hodoh dipandang kerana dasar PAS, Islam.
Pernah ketika kempen PRU14 ada kalangan JK Penerangan tidak tahan dengan fitnah-fitnah jahat yang dilemparkan kepada PAS.
Lantas meminta izin Presiden PAS untuk membalasnya.
Presiden PAS tenang berpesan, kalau boleh, yang makruh pun jangan dibuat, apalagi yang haram.
Sabarlah, lakukan kerja dengan betul.
Begitu tinggi kesabaran Presiden PAS, kerana yang banyak kena fitnah, adalah beliau, bukan ahli.
Amat munasabah jika beliau mengarahkan serangan balas.
Tetapi beliau tidak mengambil jalan itu.
Jauh dengan sikap kita yang sentiasa membaca FB dan percaya, dengan beliau yang selalu baca al-Quran, bertadabbur dan menyakininya.
Ahli PAS perlu mengikut tauladan ini.
Masalah paling besar bila ahli PAS sentiasa membaca tulisan musuh, untuk mengetahui hal PAS sendiri, yang akhirnya ia mengubah kepercayaan mereka kepada pimpinan hanya kerana mahu mendapatkan berita awal yang kemudiannya mendapatinya hanyalah fitnah.
Walaupun terkadang kita sebagai manusia biasa terlajak, hilang sabar, dengan fitnah, tetapi mesti segera kembali kepada tujuan kita.
Fitnah bukanlah sesuatu yang mudah dibuang.
Apatah lagi sememangnya kerja mereka itu membuat fitnah.
Maka sabar adalah sebaik-baik pegangan, ditambah pada zaman fitnah yang menggila ini.
Nabi Musa ditolak doanya untuk dihilangkan fitnah manusia atas dirinya.
Allah memujuk baginda dengan menyatakan, sedangkan fitnah ke atasNya, tidak dihilangkan, walaupun Allah berkuasa atas segala-galanya.
Mereka memfitnah Allah mempunyai anak dan banyak lagi.
Sabar inilah antara jalan pahala kita yang insyaAllah membawa kita ke syurga.
Sudah banyak kali dibuktikan, setelah fitnah bertalu-talu, akhirnya PAS tidak didapati bersalah.
Bukan sekali dua, malah sudah puluhan tahun kejadian yang sama.
Sepatutnya ia lebih mengukuhkan lagi keyakinan kepada perjuangan PAS, namun, hati mereka sudah dijangkiti virus kebencian termasuk yang mengaku kononnya ahli PAS.
Sedikitpun kebaikan PAS tidak dilihat walaupun ia jelas untuk rakyat.
Dicipta cerekarama supaya bertambah kebencian manusia kepada PAS.
Jelas dan nyata, kita tidak memerlukan sangat semua perkara itu cepat dibalas.
Ada kemungkinan jika terlalu cepat, kebenaran dari kita itu akan larut dan tenggelam dalam fitnah.
Sia-sia kita menerang pada waktu yang tidak sesuai.
Maka biarkan dahulu gelora ombak fitnah yang sedang menggila itu tenang.
Kemudian kita sama-sama berkayuh tenang menuju destinasi kita.
Apa yang utama ialah ahli memberikan kepercayaan penuh kepada pimpinan.
Mohd Nasir Abdullah
13 Disember 2020