Nampaknya isu kerjasama antara UMNO dan DAP berbangkit lagi semalam dengan dua pemimpin senior UMNO dan DAP, iaitu Tengku Razaleigh Hamzah dan Chong Chieng Jen, memberikan komentar masing-masing mengenainya.
Tengku Razaleigh, dalam program ‘Bicara Negarawan’ anjuran Majlis Profesor Negara, semalam menasihatkan UMNO supaya tidak mengetepikan kerjasama dengan DAP kerana UMNO dikatakan akan boleh menguasai dan mengawal DAP.
Ujar Tengku Razaleigh: “Soal kita dengan DAP, kita sebagai pemimpin mesti bijak, bijak menguruskan, bijak membahagikan kuasa, bijak menentukan dan memantau apakah yang boleh diberi dan dilakukan oleh partner kita.
“Jadi kalau kita menguasai keadaan, saya rasa itu tak menjadi perhitungan, pentingnya rakyat.”
Chong Chieng Jen, dalam wawancara dengan portal Malaysia Kini, pula menyebut mengenai bagaimana DAP yakin akan mampu menguasai dan mengawal UMNO jika ia bekerjasama dengan parti itu kerana DAP bukan MCA dan SUPP.
Kata Chong Chieng Jen: “Ini (prinsip layanan sama rata untuk semua kumpulan kaum) adalah prinsip asas DAP. Jika mereka (UMNO) setuju, tidakkah kita akan menerimanya?”
(“This (principle of equal treatment for all ethnic groups) is the basic principle of DAP. If they (UMNO) agree, shouldn’t we accept it?”)
Kedua-dua pemimpin UMNO dan DAP ini nampaknya begitu yakin bahawa parti mereka akan mampu menguasai dan mengawal parti rakan mereka jika UMNO dan DAP bekerjasama.
Keyakinan Tengku Razaleigh ini mengingatkan saya kepada keyakinan, malah keangkuhan, sama yang ditunjukkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad ke atas kemampuan beliau untuk menguasai dan mengawal DAP kerana beliau kononnya “sudah lama hidup” dan “sudah banyak pengalaman” bila saya menanya beliau mengenainya dalam Wacana Sinar Harian Ke-53, “Apakah Tun M Terlalu Tua Untuk Jadi PM”, pada 22 Mac 2018.
Saya tidak merasa ragu-ragu untuk menyatakan bahawa jika UMNO bekerjasama dengan DAP maka UMNO juga akan gagal menguasai dan mengawal DAP sepertimana Tun Dr Mahathir gagal menguasai dan mengawal DAP sewaktu mereka bekerjasama dalam Kerajaan PH dahulu walaupun sebelum itu beliau bercakap besar mengenainya.
Jika UMNO setuju menerima prinsip layanan sama rata untuk semua kumpulan kaum yang diperjuangkan oleh DAP maka akan berakhirlah perjuangan UMNO kerana menerima prinsip layanan sama rata untuk semua kumpulan kaum adalah sama ertinya dengan menolak Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan mengenai “kedudukan istimewa orang Melayu”.
Sanggupkah UMNO menolak “kedudukan istimewa orang Melayu” ini?