Saya membaca satu petikan di Malaysiakini tentang kenyataan Tengku Razaliegh Hamzah (Ku Li), 83 tahun, yang mencadangkan supaya ‘kerakyatan Melayu’ diwujudkan untuk semua kaum.
Saya tidak peduli dengan cadangan songsang beliau dalam mencari tapak politik setelah ‘dikencing’ oleh Tun Mahathir beberapa minggu lepas.
Tapi saya tahu, kenyataan itu dibuat setelah generasi baru Umno tidak lagi boleh menerima pendekatan feudalnya yang tidak mahu mendengar kehendak akar umbi.
Yang saya nak tekankan ialah kenyataan beliau yang mendakwa bekas Yang Dipertua Agung PAS, Prof Dr Burhanuddin al-Helmy sebagai pernah mencadangkan supaya semua rakyat Malaya pelbagai kaum dinamakan Melayu.
Ia adalah satu penipuan, manupilasi dan salah petik dengan tujuan untuk mengelirukan rakyat negara ini, supaya pemainan politiknya sentiasa nampak up-to-date.
Ia adalah satu tindakan untuk kepentingan politik sempit.
Sesiapa yang pernah membaca, mengkaji dan menganalisis pemikiran Dr Burhanuddin, pasti menyedari berlalunya manipulasi ke atas kedudukan sebenar pejuang kemerdekaan itu.
Saya melihat Ku Li cuba menangguk di air keruh dengan menjual nama Dr Burhanuddin.
Sedangkan tindakan ini akan memberikan nama buruk kepada Putera Terbesar Tanah Air itu, sekali gus turut memberi nama buruk kepada PAS, kononnya seperti pernah mengkhianati perjuangan orang Melayu.
Saya berharap ada pemimpin PAS yang bangkit membersihkan nama bekas pemimpin tertinggi mereka, yang telah dicemarkan oleh pemimpin feudal ini.
Rakyat perlu diberitahu apakah sebenarnya yang dinyatakan oleh Dr Burhanuddin itu.
Jika pemimpin PAS tidak membela bekas pemimpin mereka, maka siapa lagi?