Ketika artikel ini ditulis iaitu pada hari Khamis, 31 Disember 2020, ia adalah hari terakhir untuk tahun 2020 sebelum memasuki tahun baru 2021.
Tahun 2021 dikatakan adalah tahun yang penuh cabaran dan dugaan buat umat dan dunia Islam.
Di samping mendepani isu dan konflik terbaru yang membabitkan umat dan Dunia Islam, deretan konflik dan isu lama yang berlangsung masih lagi tidak nampak jalan penyelesaiannya walau pelbagai usaha dan keadah dijalankan untuk menamatkan mahupun menyelesaikannya.
Isu Palestin, satu-satunya isu yang paling lama diperjuangkan oleh umat dan dunia Islam bukan sahaja tidak nampak jalan penyelesaiannya malah keadaannya sekarang bertambah sukar apabila beberapa negara Dunia Islam telah menormalisasikan hubungan diplomatik dengan Israel akhir tahun ini.
Tindakan UAE, Bahrain, Sudan dan Maghribi yang telah menormalisasikan hubungan dengan Israel menyukarkan lagi keadaan rakyat Palestin dalam perjuangan menuntut tanah air mereka.
Tindakan tersebut juga menjadi duri dalam daging kepada umat dan Dunia Islam yang selama ini memperjuangkan pembebasan Palestin dari cengkaman regim Zionis Israel.
Saat ini dikhabarkan beberapa lagi negara Dunia Islam sedang dalam proses untuk menormalisasikan hubungan dengan Israel.
Samada benar atau tidak, tindakan normalisasi ini juga sebenarnya meningkatkan lagi permusuhan dan perseteruan di kalangan negara-negara Dunia Islam yang menyukarkan lagi perpaduan mahupun perdamaian sesama negara-negara Islam.
Keadaan ini sebenarnya memudahkan lagi musuh-musuh Islam untuk memecah-belahkan perpaduan dan meningkatkan lagi permusuhan sesama sendiri di kalangan negara Dunia Islam kerana kehancuran perpaduan negara Dunia Islam adalah hadiah hasil dari usaha mereka musuh-musuh Islam yang selama ini tidak pernah putus asa memecah-belahkan Dunia Islam.
Yaman, satu lagi isu besar yang membabitkan Dunia Islam.
Keadaan di Yaman cukup membimbangkan kerana akibat daripada peperangan, rakyat Yaman dikategorikan oleh PBB dalam keadaan amat daif dan memasuki era kebuluran yang dianggap krisis kemanusiaan terburuk dekad ini di mana ia amat memerlukan perhatian daripada seluruh dunia terutamanya dari Dunia Islam.
Dengan kemusnahan infrastruktur asas akibat peperangan seperti bekalan air bersih, sanitasi, eletrik serta kemusnahan rumah kediaman dan perniagaan, rakyat Yaman menempuhi keadaan yang cukup sukar untuk meneruskan kelangsungan hidup di tanah air mereka sendiri.
Ini tidak termasuk jumlah korban yang cukup besar akibat daripada peperangan tersebut yang mencecah puluhan ribu orang.
Namun keadaan mungkin berubah apabila beberapa hari lalu di Riyadh, Arab Saudi mengumumkan penubuhan kerajaan baharu Yaman yang turut mendapat sokongan Turki.
Namun semuanya mungkin hanya harapan apabila pada Rabu 30 Disember, berlaku satu letupan besar di lapangan terbang di Aden, Yaman yang mengorbankan 22 orang di kala pesawat yang membawa anggota kabinet baharu Yaman mendarat di lapangan terbang tersebut.
Iraq, selepas kejatuhan Saddam Hussien dan penaklukan Amerika Syarikat pada Mei 2003 dipenuhi dengan konflik mahupun perang saudara.
Pembunuhan Qasem Soleimani oleh tentera Amerika Syarikat pada 3 Januari 2020 di lapangan terbang Baghdad meranapkan lagi harapan rakyat Iraq untuk melihat keamanan dan kemakmuran di negara mereka.
Keadaan bertambah tegang di Iraq apabila berlaku serangan roket ke atas Kedutaan Amerika Syarikat di Baghdad baru-baru ini sehingga Donald Trump menjanjikan serangan balas ke atas pihak yang bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.
Keadaan tersebut semestinya mempunyai hubungkait dengan perseteruan Amerika Syarikat dan Iran kerana Amerika Syarikat percaya serangan tersebut dilakukan oleh pasukan separa tentera Iran yang mempunyai pengaruh yang besar di Iraq.
Syria, sebuah lagi negara Dunia Islam yang sedang hebat dilanda konflik baik dalam bentuk perseteruan geopolitk serantau serta antarabangsa mahupun perang saudara.
Konflik yang telah memasuki tahun ke sembilan ini masih gagal ditangani dan tidak menampakkan jalan penyelesaiannya.
Konflik di Syria dilihat sebagai konflik terbesar dekad ini di Asia Barat kerana ia melibatkan banyak pihak seperti Amerika Syarikat, Rusia, Iran, Israel dan Turki disamping Basyar Al-Assad sendiri.
Walaupun pelbagai inisiatif dan usaha dilakukan untuk meredakan keadaan, ia dilihat gagal dan langsung tidak nampak tanda-tanda bahawa konflik di Syria akan tamat dalam masa terdekat.
Menurut penganalisa geopolitik antarabangsa, jika keadaan di Syria berjaya diredakan serta dikawal ianya bergantung juga kepada siapa yang menjadi kuasa dominan yang mengawal Syria.
Peperangan di Syria saat ini bukan hanya sekadar mahu memegang tampuk kekuasaan di Syria semata-mata tetapi juga untuk menjadi kuasa penentu kepada geopolitik di rantau Asia Barat.
Lubnan, sebuah lagi negara Islam yang sedang dilanda konflik ketika ini.
Di saat Lubnan sedang berhadapan dengan krisis ekonomi yang hampir melumpuhkan pembangunan dan pentadbiran negaranya, berlaku letupan besar pada 4 Ogos lalu di pelabuhan di pinggir Beirut yang telah mengakibatkan tidak kurang daripada 204 nyawa terkorban dan kerugian lebih USD15 billion dalam bentuk harta benda.
Letupan tersebut mencetuskan pelbagai spekulasi terhadap masa depan Lubnan termasuk juga hubungan Hizbullah dengan kerajaan Lubnan.
Tambahan pula selepas berlakunya letupan tersebut, Mahkamah Tribunal PBB telah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap anggota Hizbullah yang dikatakan terbabit dalam pembunuhan bekas Perdana Menteri Lubnan Rafik Hariri.
Pada Februari 2005, Iran sudah tentunya termasuk dalam senarai negara Dunia Islam yang mendapat perhatian meluas di seluruh dunia akibat perseteruannya dengan Amerika Syarikat dan Israel.
Konflik Iran dengan kedua-dua negara terbabit senantiasa menjadi isu sensasi terutamanya apabila membabitkan geopolitik Asia Barat.
Hubungan Iran dan Amerika Syarikat sedikit tenang ketika Barrack Obama menjadi Presiden Amerika Syarikat namun kembali tegang apabila Donald Trump mengambil alih Rumah Putih.
Tindakan Trump menarik diri dari perjanjian nuklear Iran atau JCPOA pada May 2018 menjadi titik tolak perseteruan yang kembali memuncak antara kedua-dua negara.
Pembabitan Iran di Syria, Lubnan, Iraq dan juga Yaman memburukkan perseteruan antara kedua-dua negara.
Pembunuhan Qasem Solemani pada 3 Januari 2020 di Baghdad telah mencetuskan kemarahan Iran sambil berjanji akan bertindakbalas terhadap Amerika Syarikat dan kepentingannya di Asia Barat.
Terbaharu, pembunuhan saintis nuklear ternama Iran Mohsen Fakhrizadeh pada 27 November lalu di pinggir Tehran yang dipercayai dilakukan oleh Israel menambahkan lagi kemarahan Iran terhadap Amerika Syarikat.
Ini adalah kerana bagi Iran, segala tindakan Israel adalah sama seperti tindakan Amerika Syarikat kerana kedua-dua negara tersebut mempunyai kepentingan yang sama di Asia Barat, mempunyai hubungan yang cukup akrab serta Amerika Syarikat adalah penjamin keselamatan tunggal Israel di dunia.
Tambahan pula Israel kerapkali menyerang kepentingan dan aset ketenteraan Iran di Syria mahupun Lubnan hingga ke saat ini yang dilihat sebagai usaha mengekang pengaruh dan kekuatan Iran di kedua-dua negara tersebut.
Apa yang kelihatan oleh masyarakat dunia, Israel menggangap Iran adalah ancaman kepada kewujudannya dan juga ancaman kepada Amerika Syarikat dalam mengekalkan pengaruh serta dominasi geopolitiknya di Asia Barat.
Qatar, sebuah lagi negara Dunia Islam yang berdepan dengan konflik namun ia datang dengan konflik daripada negara-negara Dunia Islam sendiri yang terdiri daripada Arab Saudi, Mesir, UAE dan Bahrain.
Krisis bermula apabila pada 5 Jun 2017, empat negara tersebut memulakan pemulauan terhadap Qatar dengan menyekat laluan udara, darat dan lautan yang menghubungkan negara mereka dengan Qatar.
Semuanya adalah kerana hubungan Qatar dengan Iran dan Ikhwanul Muslimin serta tuduhan bahawa Qatar menjalinkan hubungan dengan kumpulan militan seperti Al Qaeda yang dikatakan melanggar perjanjian negara-negara teluk ( GCC ) yang di tandatangani pada 2014.
Semenjak daripada itu hubungan antara Qatar dan empat negara tersebut menjadi tegang sehinggalah baru-baru ini terdapat usaha yang dimulakan oleh Arab Saudi untuk menyelesaikan krisis tersebut yang berkemungkinan besar disebabkan oleh berakhirnya era Donald Trump di Amerika Syarikat tidak lama lagi.
Kashmir, satu lagi isu yang menyayat hati umat Islam masih lagi tidak nampak jalan penyelesaiannya.
Ketika ini keadaan di Kashmir dilihat semakin buruk apabila selepas diadakan pilihanraya tempatan baru-baru ini dan dimenangi oleh parti-parti tempatan Kashmir, Kerajaan India telah melakukan penangkapan besar-besaran ke atas ahli-ahli politik tempatan Kashmir.
Namun yang menjadi bualan hangat dan isu besar dunia terhadap Kashmir ialah apabila Kerajaan India pada Ogos 2019 menghapuskan atau melucutkan status istimewa atau status separa autonomi Kashmir yang bersangkutan dengan Artikel 370 Perlembagaan India.
Perlucutan Artikel 370 oleh Kerajaan India bukan sahaja menimbulkan kemarahan rakyat Kashmir malah boleh dikatakan menimbulkan kemarahan majoriti negara di dunia.
Dalam satu keadaan, boleh dikatakan tindakan India mampu menyebabkan Kashmir akan menerima nasib yang sama dengan Palestin.
Tindakan Kerajaan India tersebut meningkatkan lagi perseteruannya dengan Pakistan yang sememangnya turut memperjuangkan nasib rakyat Kashmir di mana sebahagian dari wilayah asal Kashmir dikawal oleh Pakistan manakala baki kecil daripada wilayah asal Kashmir dikawal oleh China.
Di samping konflik yang berlaku di negara Dunia Islam, terdapat juga konflik ataupun penindasan serta kekejaman terhadap etnik Islam yang menjadi minoriti di sesebuah negara seperti Rohingya di Rakhine, Myanmar dan Uighur di Xinjiang, China.
Penindasan dan kekejaman terhadap dua etnik minoriti Islam ini mendapat liputan meluas di seluruh dunia dan telah berlanjutan bertahun lamanya namun sehingga ke hari ini, tiada penyelesaian yang konkrit dan menyeluruh untuk menyelesaikan permasalahan ini termasuk dari PBB dan badan tunggal organisasi Islam terbesar dunia seperti OIC.
Ini adalah catatan serba ringkas tentang apa yang berlaku kepada umat dan Dunia Islam saat ini samada dalam bentuk konflik, peperangan mahupun penindasan terhadap minoriti umat Islam dalam sesebuah negara.
Jika dilihat hasil daripada semua ini, wujud jutaan pelarian umat Islam yang bertebaran di seluruh dunia saat ini terutamanya di Eropah mahupun Asia yang langsung tidak mendapat pembelaan dan perhatian.
Mereka, pelarian umat Islam ini dizalimi, ditindas dan tidak diperdulikan di kem-kem sementara yang menempatkan mereka di serata dunia.
Ini tidak termasuk lagi kesengsaraan umat Islam yang masih berada di negara-negara yang dilanda konflik mahupun negara asal mereka di mana mereka adalah minoriti.
Jika didalami masalah ini hingga ke akar umbi, kita akan dapati bahawa permasalahan utamanya adalah berpunca dari kelemahan umat dan Dunia Islam itu sendiri serta tiada perpaduan yang jelas dan nyata sesama umat mahupun Dunia Islam.
Kelonggaran mahupun ketidakpatuhan terhadap ajaran Islam yang sebenar yang berpandukan Al Quran dan Hadis turut juga menjadi penyebab utama perpecahan dan perseteruan di kalangan umat dan Dunia Islam.
Akibat daripada ini, tiada langsung ukhuwah dan persaudaraan terjalin diantara sesama umat dan Dunia Islam.
Maka di sini terpaparlah kelemahan dan kelesuan umat dan Dunia Islam dan sewajarnya umat dan Dunia Islam mengakuinya untuk memperbaiki serta memulihkan kembali imej dan kesucian Islam yang sememangnaya sudah cukup tercalar di mata dunia.
Ketika Islam dan umatnya lemah, Islamofobia bermaharajalela menyebabkan Islam dan umatnya serta Dunia Islam dipandang jijik, buruk dan tidak bertamaddun.
Sewajarnya akibat daripada semua ini, ia seharusnya menjadi titik permulaan kepada perubahan menyeluruh yang mampu menguatkan serta menyatupadukan seluruh umat dan Dunia Islam.
Kelemahan ini wajar diakui adalah punca utama perpecahan dan perseteruan dikalangan umat dan Dunia Islam.
Oleh itu umat dan Dunia Islam digesa berubah untuk mengembalikan kesucian serta keagungan Islam, menguatkan lagi perpaduan dan ukhuwah agar Islam dipandang tinggi dan umatnya dihormati.
Selagi mana perbalahan dan perseteruan berterusan, Islam dan umatnya serta Dunia Islam akan mudah dimanipulasi dan diperdaya oleh musuh-musuh Islam hingga akhirnya mampu menghancur ketamadunan dan keluhuran yang dijaga dan dipelihara selama ini.
Sedarlah wahai umat dan Dunia Islam.
Semoga Allah SWT membuka pintu-pintu hati kita semua dan memberkati serta merahmati seluruh umat dan Dunia Islam.
Islam Memperkukuh Perpaduan.
YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk