Dikemukakan di sini sebab-sebab mengapa rakyat patut memilih PH, PN dan BN dalam PRU 15 sepertimana yang diutarakan oleh Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin, Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Moderator (Luqman Hariz):
Datuk Seri Shamsul, mengapa PKR dan PH-lah yang sebenarnya bercakap bagi pihak rakyat dan mengapa rakyat patut pilih PH sekali lagi pada PRU 15?
Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin:
Saya ingin nyatakan bahawa prinsip parti itu adalah keadilan dan reform, perubahan, dan kita diberikan amanah hanya sekadar 22 bulan, jadi kita tidak sempat untuk melakukan agenda perubahan ini dan melaksanakan beberapa perkara teras yang berkait dengan keadilan.
Saya bagi pihak parti memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia bahawa ada kalangan Anggota-Anggota Parlimen kita yang tidak kuat dari segi menghadapi tekanan dan umpan ini, dan ini membantu kita untuk memastikan bagi pilihan raya akan datang kita akan kemukakan calon yang baik yang punya integriti yang punya komitmen untuk membantu rakyat.
Jadi pada saya, ini jaminan PKR, bagi kita peluang sekali lagi untuk terus memimpin dan menjadikan agenda reform, perubahan, itu sebagai teras utama bagi memastikan Malaysia lebih harmoni, sesuai untuk semua kaum, Melayu, Cina, India, Sabah dan juga Sarawak.
Moderator (Luqman Hariz):
Datuk Wan Saiful, mengapa PN cerminan terbaik rakyat yang mewakili suara rakyat on the ground di sana dan mengapa rakyat perlu memilih BERSATU dan PN dalam PRU 15?
Datuk Wan Saiful Wan Jan:
Sebab saya rasa kita membuktikan bahawa di tengah-tengah kemelut politik yang melanda, di tengah-tengah perbahasan politik yang melanda negara sekarang, kita jelas bahawa kita nak teruskan berkhidmat untuk rakyat, kita tak terlibat sangat dalam perbahasan yang pelbagai ini.
Kalau dilihat Tan Sri Muhyiddin amat jarang mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang bersifat politik kepartian dan pemimpin-pemimpin politik dalam BERSATU sekalipun jarang-jarang sekali mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang nak melibatkan diri dalam polemik-polemik ini dan jauh sekali daripada kami yang mencipta polemik yang menyebabkan rakyat duk pening kepala mengenai isu-isu politik ini.
Komitmen kita jelas, kita sedar bahawa rakyat memerlukan bantuan, kita sedar bahawa ekonomi perlu dijana, kita sedar bahawa peluang pekerjaan perlu dicipta, dan ini adalah fokus kita, kita akan teruskan selepas PRU 15.
Sebab itulah bagi saya rakyat akan melihat, rakyat akan menghakimi, semua ahli-ahli politik yang ada.
Kalau sekiranya kita berterusan begini kebimbangan saya, satu, mungkin rakyat rasa meluat dengan ahli-ahli politik.
Saya duk ulang banyak kali benda yang sama, ayat yang sama, jadi macam burung kakak tua pula kadang-kadang.
Kalau kita berterusan begini yang bencinya nanti ialah rakyat akan benci kepada semua ahli politik.
Sebab itulah bagi kita dalam BERSATU kita nak teruskan agenda memperjuangkan nasib rakyat dan kita bukan setakat bercakap, bukan sekadar bercakap, tapi kita buktikan sehari-harian, kita teruskan perkhidmatan kita dan ini yang kita tawarkan kepada rakyat.
Moderator (Luqman Hariz):
Datuk Dr Asyraf, mengapa rakyat perlu pilih UMNO dan BN dalam PRU 15 dan apa yang membuatkan UMNO dan BN yakin akan diterima kembali oleh rakyat selepas ditolak pada PRU lepas?
Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki:
Apa yang rakyat nak?
Rakyat nakkan sebuah negara yang aman, stabil, harmoni.
Semua dambakan sedemikian.
Kerajaan PH 22 bulan rakyat telah rasai.
Hari ini setahun Kerajaan PN dengan pelbagai asam garam yang ada.
Tetapi satu perkara yang UMNO dan BN boleh tawarkan ialah track record kita 60 tahun yang pastinya tiada siapa yang boleh menafikan bahawa kita mampu menawarkan kestabilan yang nyata yang menjadi asas kepada kesejahteraan rakyat pelbagai kaum dan agama, keharmoniannya yang kita pasakkan berpandukan Perlembagaan Persekutuan, tidak ada supremacy mana-mana kaum mana-mana agama, tetapi induknya sebagai akar yang tidak boleh kita cabut, dalam realiti kemajmukan Cina, India, Kadazan Dusun, Iban dan sebagainya, dan semua dapat laluinya sepanjang 60 tahun sebelum itu.
Ya, UMNO BN bukannya sempurna, kita ada kelemahan, kita juga manusia biasa yang melakukan kesilapan, dosa dan noda.
22 bulan mengajar kita, Alhamdulillah, ujian yang mengajar kita erti sebenar bagaimana kita hilang kuasa dan kita diminta dan diarahkan diuji oleh Tuhan supaya kita bermuhasabah dan melakukan koreksi, dan saya yakin apa yang kita lalui ini sebagai satu proses untuk mematangkan kita untuk menjadi yang lebih baik, dan apa yang kita boleh tawarkan adalah pengalaman yang panjang dan track record inilah sebagai bukti supaya rakyat dapat melihat bahawa asas-asas ini akan kita kembalikan dengan citra yang baru, dengan wajah yang baru, dengan satu budaya yang baru, mengekalkan juga sifat kedinamikan Malaysia yang asal, Islam Melayu Bumiputera sebagai induk dalam kemajmukan yang ada, ekonomi yang berkembang maju, yang adil, saksama, yang semua dapat nikmati kesejahteraannya.
Akhirnya, apa yang rakyat nak?
Rakyat nak hidup dengan aman, stabil, harmoni, itu yang rakyat mahukan.