Setelah mengikuti senario mutakhir politik negara, kepimpinan tertinggi BERSATU dan PAS, diketuai oleh Presiden BERSATU, YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin dan Presiden PAS, YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang, telah mengadakan suatu pertemuan pada 30 Mac 2021 bagi merangka halatuju kerjasama lebih mantap dan berstrategi dalam Perikatan Nasional.
Menginsafi pentingnya kestabilan politik sebagai teras kelangsungan Kerajaan Perikatan Nasional dalam membela kebajikan rakyat dan terutama buat masa ini bagi menangani wabak COVID-19, kepimpinan tertinggi BERSATU dan PAS telah bersetuju dengan ketetapan asas seperti berikut:
- BERSATU dan PAS akan terus mengukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional bagi menghadapi PRU15;
2. BERSATU dan PAS, selaku antara Parti Pengasas Utama Perikatan Nasional, akan menubuhkan suatu Jawatankuasa Permesyuaratan di peringkatan Pusat bagi merangka strategi dan halatuju Parti khusus bagi menghadapi PRU15, termasuk rundingan pengagihan kerusi;
Segala keputusan yang dicapai akan membawa ke Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional untuk dimuktamadkan secara kolektif di kalangan semua parti-parti komponen;
3. BERSATU dan PAS bertegas menolak sebarang bentuk ‘penjajaran baharu’ untuk menubuhkan kerajaan pasca-PRU15, terutama yang melibatkan PH dan sekutunya;
4. BERSATU dan PAS sentiasa komited untuk memperkukuhkan penyatuan ummah dan perpaduanseluruh masyarakat majmuk, bersedia berkerjasama dengan mana-mana pihak yang mendokong konsep tersebut, sekaligus menolak sebarang usaha untuk merungkaikan perpaduan yang telah sedia terjalin dan sebarang percubaan menggugat kerajaan Perikatan Nasional yang dibina secara bersama.
BERSATU dan PAS menyeru semua pertubuhan dan persatuan Melayu, Islam dan Bumiputra terutamanya dan rakyat Malaysia yang cintakan negara agar bersatu hati untuk bersama-sama berjuang dalam saf yang sama demi masa depan Malaysia yang lebih gemilang.