Meneliti kenyataan media Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, dan kolum Minda Presiden PAS serta sidang media Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, hari ini maka jelaslah bahawa isu utama yang menjadi persoalan di kalangan pemimpin PAS sekarang ialah:
Mengapa pemimpin UMNO kini menolak BERSATU setelah mereka juga yang asalnya bersetuju menjemput BERSATU menyertai Muafakat Nasional?
Inilah yang terserlah di dalam kata-kata Timbalan Presiden PAS melalui kenyataan media beliau yang berbunyi:
“Dalam pembentukan Muafakat Nasional dinyatakan dengan jelas bahawa PAS dan Umno adalah teras Muafakat Nasional, namun sedia menerima mana-mana parti politik, atau NGO yang ingin bersama dalam usaha memperkukuhkan penyatuan ummah ini…
“Dalam beberapa siri mesyuarat Muafakat Nasional, kita sedia menerima BERSATU menjadi rakan dalam Muafakat Nasional.
“Kedua-dua Presiden telah mengutus surat menjemput BERSATU menyertai gabungan ini, dan BERSATU telah menyatakan persetujuan ke arah itu.”
“Sayangnya surat persetujuan itu tidak disambut sehingga kini.”
Inilah juga yang terserlah di dalam kata-kata Presiden PAS melalui kolum Minda Presiden beliau yang berbunyi:
“PAS menolak muafakat yang berpecah dan menyeleweng daripada matlamat Muafakat Nasional yang asal.
“Matlamat untuk masuk ke medan perjuangan bagi membela umat dalam satu negara dengan melibatkan semua golongan atas asas Perlembagaan yang merdeka dan berdaulat.”
Inilah juga yang terserlah di dalam kata-kata Presiden PAS melalui sidang media beliau yang berbunyi:
“Kita sudah bersetuju, sudah tandatangani, saya sign, Zahid Hamidi sign, jemput Tan Sri Muhyiddin dalam Muafakat Nasional.
“Itu yang perlu dilaksanakan.
“Kita sudah tandatangan, saya boleh tunjuk surat.”
Besarlah harapan kita semoga akan ada jawapan yang tuntas daripada Presiden dan Timbalan Presiden UMNO ke atas persoalan yang ditimbulkan oleh Presiden dan Timbalan Presiden PAS ini.
Kamarul Yusoff

1 thought on “Mengapa Tolak Bersatu Setelah Setuju Jemputnya Sertai Muafakat?”