Pada 30 Mac lalu, Naib Presiden MIC, Datuk Sivarrajh Chandran, telah mengemukakan 10 soalan kepada pemimpin tertinggi UMNO yang malangnya sehingga hari ini tidak berjawab.
Salah satu daripada soalan Datuk Sivarrajh ini adalah berbunyi:
“Bolehkah kamu menafikan bahawa semasa pembentukan kabinet di bawah Perikatan Nasional tahun lalu kamu tidak membawa nama MIC untuk Timbalan Menteri dan Senator, dan hanya mencadangkan pemimpin kamu untuk dilantik sebagai ahli Kabinet dan Senator?”
Hari ini, dalam ucapan secara maya beliau dalam Perhimpunan Agung MIC Kebangsaan Kali ke-74, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, juga menyebut begini:
“Sumbangan MIC dalam memajukan masyarakat India baik dalam bidang pendidikan, ekonomi, sosial, budaya dan lain-lain, telah berjaya meningkatkan taraf hidup masyarakat India di negara ini.
“Tidak keterlaluan jika saya katakan dalam setiap kejayaan yang dicapai oleh masyarakat India, terdapat sumbangan MIC di sebaliknya.
“Oleh sebab itu, saya telah melantik wakil MIC dalam kabinet saya, iaitu YB Datuk Seri M Saravanan, Timbalan Presiden MIC.
“Pelantikan ini saya buat bukan atas dasar perwakilan daripada Barisan Nasional tetapi MIC yang mewakili masyarakat India untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa Perikatan Nasional mengiktiraf peranan semua kaum.”
Turut disebut oleh Tan Sri Muhyiddin adalah komitmen beliau untuk tidak mengenepikan masyarakat India di negara ini dalam proses pembangunan negara:
“Dengan unjuran pertumbuhan ekonomi yang lebih baik, saya percaya nasib masyarakat India juga dapat terus dibela dengan lebih banyak peluang dapat disediakan oleh kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup masayarakat India di negara ini.
“Dalam Belanjawan 2021, peruntukan sebanyak RM100 juta telah disediakan kepada MITRA untuk membantu golongan B40 dan memperkasa bidang pendidikan bagi meningkatkan lagi taraf hidup masyarakat India.
“Selain itu, masyarakat India juga layak menerima bantuan-bantuan yang disediakan oleh kerajaan menerusi pelbagai bantuan prihatin rakyat di bawah pakej-pakej rangsangan ekonomi yang telah diumumkan oleh kerajaan.
“Langkah kita kehadapan ini ialah memastikan matlamat mewujudkan perkongsian kemakmuran negara yang adil dan saksama menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dapat dicapai.
“Saya percaya WKB 2030 akan memberikan manfaat yang besar kepada masyarakat India di negara ini.
“No one will be left behind.
“Tidak ada sesiapa pun yang akan ketinggalan dalam menikmati hasil kemajuan dan pembangunan negara.
“Ini termasuklah masyarakat India di negara ini walau apa jua taraf hidup anda dan di mana jua anda berada.
“We will take care of you.
“This is our pledge to you.”
Dalam ucapan dasar beliau dalam Perhimpunan Agung MIC Kebangsaan Kali ke-74 ini juga, Tan Sri Vigneswaran Sanasee, Presiden MIC, menyebut perkara sama, iaitu perlantikan Datuk Seri M Saravanan sebagai Menteri dan juga perlantikan Senator-Senator dari MIC adalah dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin atas kapasiti beliau sebagai Perdana Menteri dan bukannya melalui cadangan dari kepimpinan Barisan Nasional:
“Kita hanya memegang satu kerusi Parlimen.
“Namun demikian YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah memberi kita satu jawatan Menteri secara ironik tanpa apa-apa cadangan dari kepimpinan Barisan Nasional seperti yang telah dijelaskan oleh YAB Perdana Menteri.
“Saya terpaksa menjelaskan hal ini selepas Datuk Sivarrajh telah membangkitkan isu ini dalam satu siaran akhbar baru-baru ini.
“Namun demikian secara ironik kita MIC masih dalam Barisan Nasional sehingga hari ini.”
Sebelum mengakhiri ucapan beliau, Tan Sri Vigneswaran juga memuji Tan Sri Muhyiddin:
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih juga yang tidak terhingga sekali lagi kepada YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di atas perlantikan YB Datuk Seri M Saravanan dan juga Senator-Senator dan saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada beliau kerana telah memberi ruang kepada Parti MIC, walaupun bukan dalam Perikatan Nasional, ruang untuk berjumpa dan berbincang isu-isu kaum keturunan India.”
Turut disebut oleh Tan Sri Vigneswaran adalah pendapat beliau bahawa Barisan Nasional dan Perikatan Nasional perlu digabungkan:
“Saya sesungguhnya berpendapat keyakinan rakyat hanya akan dicapai jika kita gabungkan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional berupaya menonjolkan bahawa gabungan-gabungan ini hanya mengutamakan kepentingan rakyat.
“Dengan niat murni ini, tiada sebab mengapa agenda ini tidak dapat kita capai untuk kebaikan negara yang kita cintai ini.”
Tatkala UMNO telah memutuskan bahawa Barisan Nasional akan bertanding bersendirian, tentulah tidak terlalu sukar untuk penganalisis politik membuat ramalam mengenai hala tuju MIC selepas ini kerana penegasan Tan Sri Vigneswaran bahawa Barisan Nasional dan Perikatan Nasional perlu digabungkan akan memberikan persepsi bahawa MIC tidak akan bersetuju dengan hasrat UMNO untuk bertanding bersendirian.
Kamarul Yusoff