Pintasan Komunikasi Adalah Dibenarkan

Pintasan Komunikasi Adalah Dibenarkan

Jelas dinyatakan dalam Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No. 2) 2012 bahawa Seksyen baru 116C Kanun Tatacara Jenayah “bertujuan untuk membenarkan pegawai polis untuk memintas komunikasi”, di mana Seksyen 116C(1) menyebut bahawa seseorang pegawai polis boleh “intercept, listen to or record any conversation by telecommunication” (memintas, mendengar atau merakam sebarang perbualan melalui telekomunikasi).

Selain daripada perlanggaran disiplin parti dan penipuan terang-terangan kepada ahli-ahli parti yang tertonjol dalam pernyataan salah satu suara, apakah terdapat apa-apa perlakuan jenayah yang terkandung dalam rakaman suara menyerupai suara dua pemimpin yang tular itu?

Saya pun tidak pasti, tetapi boleh dihujahkan bahawa kemungkinan perancangan untuk menjatuhkan sebuah kerajaan yang sah itu mungkin sahaja termasuk di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan yang berbunyi ”Barang siapa yang cuba melakukan suatu aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen atau melakukan apa-apa perbuatan sebagai persediaan hendaklah dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai 15 tahun”.

Jika laporan polis dibuat bagi menafikan adanya perbualan sebagaimana dalam rakaman suara tersebut tetapi perbualan itu pula sebenarnya ada maka pembuat laporan polis itu boleh didakwa di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara yang boleh sampai enam bulan, atau denda yang boleh sampai RM2000, atau kedua-duanya.

Kamarul Yusoff

Dalam Negeri