Ada Yang Kepanasan Ke?

Ada Yang Kepanasan Ke?

Dalam Perhimpunan Agung UMNO pada hujung minggu lepas, Presiden UMNO ada menasihati PAS agar kembalilah ke pangkal jalan dan jangan bermain politik bagai lalang ditiup angin.

Pemimpin UMNO juga saban hari mendesak PAS menyatakan pilihan dan pendirian PAS.

Semalam, Tuan Guru Presiden PAS dan Timbalan Presiden PAS ada mengeluarkan artikel secara terbuka menyatakan apa pendirian semasa PAS..?

Pendirian PAS adalah jelas, tidak pernah berubah dan kekal konsisten.

PAS mahukan perpaduan ummah.

Antara yang disebut oleh Tuan Guru Presiden PAS ialah;

1. Tujuan PAS sudah terang lagi bersuluh, bukanlah sekadar berhasrat untuk menyelamatkan seseorang atau kumpulan dan kelompok yang kecil sahaja, malah tujuannya adalah untuk menyelamatkan seluruh manusia seberapa ramai yang mungkin.

Maka, jika terdapat mereka yang sempit dan terhad tujuannya itu pasti ditinggalkan.

2. PAS menolak muafakat yang berpecah dan menyeleweng daripada matlamat Muafakat Nasional yang asal.

3. PAS menolak politik yang menghabiskan masa dengan bermain politik sampingan dan jalanan yang menyusahkan rakyat, tanpa melihat kepada musim bencana alam dan wabak yang masih menular hari ini.

4. PAS menolak muafakat tanpa bersatu dan menolak kumpulan yang menunjukkan tiada kesetiaan kepada negara dengan sifat melampau yang mencabar agama dan bangsa.

5. PAS menolak agenda yang bertujuan semata-mata untuk menyelamatkan peribadi pemimpin dan kumpulannya, bukan untuk menyelamatkan negara dan semua rakyat.

Kelihatannya YB Pasir Salak agak kepanasan dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Tuan Guru Presiden dan Timbalan Presiden PAS semalam.

Dia memberi amaran kepada PAS dengan berkata;

“Saya nak ingatkan Pas, tolonglah jaga sikit kenyataan, jangan keluar kenyataan ikut sedap sahaja.”

Katanya PAS perlu berhemah agar tidak mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menyinggung hati dan perasaan pimpinan mereka.

Wah, hebat sungguh YB Pasir Salak ini.

Dia terlupa agaknya dengan apa yang dia sendiri lafazkan sebelum ini.

Pada 9 Mac 2021, dia sendiri memperlekehkan PAS dengan berkata PAS ini parti kecil dan kerdil sahaja, tidak perlu masuk campur dan menjadi pendamai antara UMNO dan BERSATU.

Soal terasa hati ini adatlah asam garam dalam dunia politik.

Semalam kita mengutuk orang, hari ini orang pula mengecam kita.

YB Pasir Salak sendiri pun memang dikenali dengan orang yang bercakap lantang dan tidak kurang kasar dalam berbicara.

Jadi, lebih baik cermin diri sendiri terlebih dahulu kan?

Bak kata pepatah, “meludah ke langit, terpalit ke muka sendiri”.

Syed Ahmad Fadhli

Isu Semasa