Pemimpin veteran UMNO, Shahrir Samad mendakwa “ada elit PAS kini sudah terpisah daripada realiti sehingga tidak menyedari ahli mereka di peringkat akar umbi mahukan muafakat dengan Umno diteruskan”.
Persoalan mudah yang patut kita tanyakan kepada dia:
1. Siapa elit PAS yang dia mahu maksudkan itu?
Tuan Guru Presiden PAS ke atau siapa?
2. Siapa dia hendak mendakwa apa kehendak akar umbi PAS?
Shahrir Samad perlu sedar akan hakikat bahawa disiplin organisasi PAS tidak sama dengan UMNO.
PAS bergerak seperti sebuah jamaah yang ada imam dan makmumnya.
Hala tuju PAS dipandu oleh imam di hadapan manakala makmum taat mematuhinya.
Imam yang memimpin di hadapan, bukannya makmum mendahului imam.
Selagimana imam tidak melanggar perkara rukun, makmum tidak boleh pun mufarakah berpisah sesuka hati.
Sebab itu apabila Tuan Guru Presiden PAS menegaskan misi PAS untuk menyatukan ummah, memperkukuh MN, mempertahankan PN, ia disambut di segenap lapisan peringkat PAS.
Seiring, sekata, dan seragam di semua negeri.
Adapun UMNO, seperti yang umum dapat lihat dan nilai sendiri.
Katanya parti berasaskan akar umbi tetapi kelihatannya mereka sendiri celaru dan keliru.
Ada negeri yang mahu eratkan MN, ada negeri yang tolak keras MN.
Ada negeri yang masih mahu bersama Bersatu, ada negeri yang tolak terus Bersatu.
Utara, Selatan, Timur, Barat tidak pun seiring, sejalan sesama mereka.
Ada pemimpinnya mahu putus segera hubungan, ada pemimpinnya mahu putus apabila Parlimen bubar.
Presidennya kata A, disanggah secara terbuka pula oleh pemimpin lain.
Presidennya pun sedang sibuk merancang itu dan ini bersama Cikgunya yang merupakan Ketua Pembangkang sedangkan parti yang dia sendiri pimpin masih berada dalam Kerajaan.
Jadi, sebelum Shahrir Samad sibuk hendak menjadi jurucakap akar umbi PAS , lebih baik dia bantu selesaikan ribut taufan yang sedang melanda bahteranya sendiri.
Syed Ahmad Fadhli
