PAS Tumbang Bersama Kegagalan Pertama Mengurus Kemenangan Dan Pemerintahan Sebuah Kerajaan Negeri

PAS Tumbang Bersama Kegagalan Pertama Mengurus Kemenangan Dan Pemerintahan Sebuah Kerajaan Negeri

Dalam konflik dalaman Kerajaan PAS Terengganu antara 1959/1961, ADUN Jeram, YB Ustaz Ahmad Azam telah mengkritik secara terbuka kegagalan MB Daud Samad mengemukakan Rang Undang-Undang Islam di sidang DUN untuk dilaksanakan di negeri Terengganu seperti yang terkandung di dalam manifesto pilihan raya PAS tahun 1959 walaupun hakikatnya PAS ketika itu tidak mempunyai 2/3 majoriti di dalam DUN dan sangat mustahil untuk mendapatkan sokongan majoriti dari ADUN UMNO DAN Parti Negara.

Akibat konflik dan konfrontasi yang tidak berkesudahan dan menjadi semakin rumit, akhirnya Ustaz Ahmad Azam tiba-tiba mengisytiharkan keluar daripada parti PAS dan mengambil sikap berkecuali ketika usul undi tidak percaya kali pertama diusul dan dijalankan oleh pihak Pembangkang dari Parti Negara iaitu Mohd Abdul Rahman ( ADUN Bukit Besar) dalam sidang DUN pada bulan November 1960 yang gagal menumbangkan kerajaan PAS buat sementara waktu.

Dalam usul itu, PAS mendapat 12 undi, UMNO dan Parti Negara 11 undi, berkecuali 1 undi.

PAS cuba mewujudkan KERAJAAN CAMPURAN dengan Parti Negara yang diketuai Dato’ Onn Jaafar namun gagal mencapai persepakatan.

YB Ustaz Mohd Taib Sabri pula telah menulis surat perletakan jawatan sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri pada April 1961 namun masih kekal dalam parti dan ahli PAS.

Beliau juga telah membuat tindakan luar jangka apabila berkempen untu Parti Negara dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada Jun 1961 berikutan kematian Dato’ Onn Jaafar.

Dalam krisis kepemimpinan ini, Ustaz Ahmad Azzam (Jeram) dan Ustaz Mohd Taib Sabri (Marang) yang masing-masing merupakan Exco Kerajaan Negeri dan Speaker DUN telah bertindak keluar PAS, manakala ADUN Parti Negara, Ismail Abbas (Langkap) pula bertindak menyertai PAS.

Pada 30 Oktober 1961, Kerajaan PAS yang diketuai oleh Daud Samad tumbang dalam usul tidak percaya kali kedua dan terpaksa melepaskan kerajaan negeri kepada Perikatan yang diketuai UMNO yang mempunyai majoriti ADUN setelah kesemua tiga ADUN Parti Negara (Wan Daud Mohamad (Ladang), Mohamad Abd Rahman (Bukit Besar) dan Haji Mutalib Salleh (Batu Buruk)) melompat masuk UMNO bersama dua orang ADUN PAS (Tuan Guru Haji Wan Said Mohd Noor (Kuala Besut) dan Tuan Guru Haji Abdul Kadir Mohamad (Kuala Terengganu Tengah) yang tidak hadir kerana dikatakan telah DICULIK oleh agen Umno dan dilaporkan telah BERTEMU dengan Tun Razak di Kuala Lumpur.

Ustaz Ahmad Azzam yang menyertai semula PAS sebelum usul undi tidak percaya tersebut telah bertindak untuk berkecuali dalam pengundian bersama Ustaz Hussin Jusoh (Ulu Besut) dan Mohamad Ismail (Besut Tengah).

Manakala Seorang lagi ADUN PAS, Omar Abdul Rahman (Ulu Terengganu Barat) diperintahkan keluar Dewan.

PAS kemudiannya telah memecat keahlian tiga ADUN yang berkecuali tersebut kerana MENGKHIANATI parti, dan dalam masa yang sama dua ADUN yang diculik telah mengisytiharkan penyertaan mereka dalam UMNO.

Tuanku Sultan Terengganu juga telah menolak tuntutan PAS untuk mengadakan pilihan raya sekali lagi dan membolehkan UMNO kembali memerintah Terengganu dengan bantuan ADUN Parti Negara dan PAS yang melompat tersebut.

Dalam hal ini, UMNO ternyata LICIK dan banyak memainkan peranan merampas kembali Terengganu apabila pentadbiran kerajaan negeri yang dipimpin oleh MB Daud Samad dilihat terlalu lemah akibat krisis dalaman parti disamping beliau sendiri uzur sehingga menganggu perjalanan dan urustadbir kerajaan serta hubungan dengan istana.

Maka akhirnya Parti Perikatan menubuhkan kerajaan baru yang diketuai oleh Tan Sri Ibrahim Fikri sebagai Menteri Besar pada November 1961.

Sejarah