Hikayat Tan Sri Hamid Bador

Hikayat Tan Sri Hamid Bador

Sidang media terakhir Tan Sri Abdul Hamid Bador sebagai Ketua Polis Negara (KPN) penuh kontroversi dan mungkin dilihat oleh sebahagian orang sebagai bersikap membalas dendam kerana kontrak tidak diperbaharui.

Abdul Hamid ‘membelasah’ campur tangan politik dalam rombakan para pegawai kanan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Beliau kecewa apabila Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) yang dipengerusi oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, menolak rombakan pasukan polis yang dikemuka beberapa minggu sebelum kontrak beliau sebagai Ketua Polis Negara berakhir.

Abdul Hamid seperti biasa bermain emosi dan kata-kata yang cuba meyakinkan khalayak bahawa beliau cuba membawa pasukan ke arah lebih baik dengan rombakan tersebut.

Kita tidak pasti siapa benar dalam ‘perang’ Abdul Hamid dan Hamzah berkaitan cubaan beliau merombak pasukan polis sebelum persaraan.

Namun tindakan SPP menolak rombakan yang dicadangkan oleh Abdul Hamid sangat tepat.

Dalam keadaan beliau menuju persaraan, adalah wajar tanggungjawab membuat perubahan dalam pasukan polis dibuat oleh Ketua Polis Negara yang baharu.

Mengapa Abdul Hamid begitu beria-ria membuat rombakan pasukan Polis walaupun mengetahui beliau bakal diganti oleh orang lain dalam masa beberapa minggu sahaja sangat misteri.

Jika ada orang yang bermain politik dalam pelantikan ini, tidak lain dan tidak bukan ia adalah Abdul Hamid sendiri.

Lantikan Politik

Jika ada orang yang tidak layak bercakap berkenaan campur tangan politik, orang itu adalah Abdul Hamid sendiri.

Campur tangan politiklah yang mengangkat beliau sebagai KPN.

Pada 2015, Abdul Hamid, yang ketika itu hanya Timbalan Pengarah Cawangan Khas, telah membuat kenyataan penuh kontroversi dan mengelirukan dengan menuduh ada pihak tertentu menyembunyikan saksi utama dalam siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Abdul Hamid bukan pasukan penyiasat kes 1MDB tetapi memilih untuk membuat kenyataan politik tanpa asas.

Kita tahu tanpa asas kerana selepas menjadi KPN, tiada sesiapa pun yang disiasat dan didakwa menyembunyikan saksi utama.

Pada 2016, Abdul Hamid membuat pilihan bersara awal atas alasan kerajaan cuba menutup mulutnya dari bercakap isu siasatan 1MDB.

Percaturan politik beliau menjadi laba apabila Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum 2018. 

Abdul Hamid yang bekerja keras meyakinkan rakyat wujud campur tangan politik dalam siasatan 1MDB, dibawa masuk semula ke dalam pasukan polis.

Pada 23 Mei 2018, Abdul Hamid dlantik sebagai Pengarah Cawangan Khas mengambil alih tugas daripada Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff. Mokhtar bersara awal berbanding kontrak yang akan berakhir September 2018.

Pada Mac 2019, Abdul Hamid Bador dilantik sebagai pemangku Timbalan Ketua Polis Negara.

Dua bulan kemudian belum sempat menjadi Timbalan secara rasmi, beliau dilantik sebagai Ketua Polis Negara.

Kontroversi kenaikan pangkat Abdul Hamid berterusan apabila Sinar Harian 1 Mei 2019 memetik Dr Mahathir sebagai berkata, “Ya, saya fikir dialah jadi Ketua Polis Negara. (Adakah surat lantikan sudah diberi?) Saya fikir Yang di-Pertuan Agong sudah menandatanganinya.”

Kenyataan seperti ini dilihat oleh sesetengah pemerhati politik bahawa Perdana Menteri cuba menghentikan sebarang usaha untuk menggagalkan pelantikan Abdul Hamid.

Abdul Hamid bukanlah buruk segala-galanya.

Banyak pembaharuan dibuatnya termasuk menyusun semula pasukan elit polis.

Namun sepanjang hampir tiga tahun dibawa kembali ke dalam pasukan polis, beliau akan diingati dengan kegagalan membawa pulang ‘perompak negara’ Jho Low.

Beliau juga akan diingati dengan kenyataan media bahawa ada negara asing memberitahu bahawa Jho Low sudah membuat pembedahan wajah dan kini ‘menyerupai beruang dan berjalan seperti seladang’.

Sukar kita hendak percaya negara asing mana yang membuat laporan sedemikian.

Realitinya, seperti mana beliau datang, begitu juga beliau pergi – penuh kontroversi, emosi dan sedikit hipokrasi.

Selamat Bersara Tan Sri!

Selamat bertugas juga buat KPN yang baharu Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Pengalaman sebagai Pengarah di beberapa Jabatan PDRM sebelum diangkat sebagai Timbalan KPN menunjukkan beliau beliau naik dengan tertib dan teruji kebolehan.

Selamat bertugas Datuk Seri!

Suara.TV

Dalam Negeri