Nampaknya ramai betul netizen yang meluahkan kemarahan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang juga bekas Mufti, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri ni.
Ya, mungkin mereka ada ‘point’…tetapi saya cuma harap dalam apa juga perkara pun, kita jangan ‘berlebih-lebihan’.
Baru-baru ini saya masuk ke Penjara Kajang, bertemu dengan banduan-banduan akhir.
Anda tahulahkan, banduan akhir ini adalah banduan yang menunggu masa saja untuk digantung sampai mati.
Mereka ini semua dah habis merayu kat mahkamah, apa jenis mahkamah semua mereka diberi peluang untuk merayu, tetapi semuanya gagal dalam rayuan mereka, kini hanya tiba masa untuk disarungkan tali di leher dan digantung mati mandatori.
Banduan akhir ini juga adalah banduan yang diberi kawalan yang paling ketat dalam penjara.
Mereka tidak boleh bercampur dengan banduan biasa, tidak boleh keluar daripada blok mereka, tidak boleh bekerja macam banduan lain.
Pergerakan mereka dikawal oleh abang-abang Unit Kawalan dan Pencegahan (UKP) Jabatan Penjara yang berbadan sasa dan cukup dikenali sebagai wadar yang garang dan ‘keras’ itu.
Ini kerana kebanyakan banduan akhir ini adalah banduan ganas yang terlibat dalam kes-kes jenayah kekerasan seperti pembunuhan, penculikan, pengedaran dadah dan sebagainya.
Tetapi dalam pada kita dok kritik dan hentam Dr. Zulkifli ini, beliaulah, seingat saya, satu-satunya VVIP dan mungkin juga satu-satunya Menteri yang tak pernah gagal menyantuni dan menemui banduan-banduan akhir lelaki dan wanita ini – banduan yang takde mana-mana VVIP pun peduli dan teringin nak melawat!
Bukan bertujuan untuk ‘glorify’ atau ‘recognise’ perbuatan yang telah dilakukan, tetapi Dr. Zulkifli mengajak mereka untuk beribadah dan bertaubat bersungguh-sungguh di saat nyawa mereka ibarat pepatah berada’di hujung tanduk’.
Seingat saya, dah LIMA TAHUN berturut-turut beliau pergi ziarah, imamkan solat dan beri tazkirah pada banduan-banduan akhir ini.
Malah ada banduan yang beliau ziarah dah pun meninggal dunia kerana menjalani hukuman gantung.
Dr. Zulkifli kalau pergi ziarah banduan akhir ni, bukan setakat imamkan solat dan bagi tazkirah, beliau akan bawa sekali makanan yang tak mungkin dapat dinikmati oleh banduan-banduan akhir di dalam penjara.
Tempoh hari beliau bawa berpek-pek ayam goreng KFC (tanpa tulang) untuk juadah berbuka puasa mereka.
Banduan akhir memang diberi ayam atau ikan yang tidak bertulang kerana bimbang ia boleh memudaratkan kesihatan atau dijadikan senjata.
Ketika bertemu dengan beliau di penjara tempoh hari, Dr. Zulkifli selamba dengan jubah putihnya dan langsung tidak menunjukkan kegusarannya untuk menemui banduan ini dan bertanya khabar dengan banduan-banduan akhir tersebut walaupun mereka ini adalah banduan berisiko tinggi.
Malah saya juga agak terkejut kerana ramai banduan akhir ini kelihatan cukup mesra dengan beliau, seolah-olah ‘bapa mereka’ sendiri.
Di akhir pertemuan itu, Dr. Zulkifli siap ajak salah seorang banduan akhir ini duduk di sampingnya dan menghulurkan mikrofon untuk sama-sama mengalunkan takbir Raya, luar biasa!
Saya kongsikan perkara ini kerana saya merasakan kita jangan terlalu ‘taksub’ menghukum seseorang itu seperti mana kita menghukum Dr. Zulkifli.
Saya tidak ada masalah melihat kritikan dan teguran yang dilemparkan pada beliau kerana beliau juga manusia seperti kita yang tak lepas daripada salah dan silap.
Dia bukan maksum.
Cuma janganlah sampai kita mencaci dan mencerca, kita pun tak semulia mana, it just Allah menyembunyikan keaiban kita ketika dan di saat ini.
Dalam apa perkara yang kita buat, ingatlah, janganlah ‘berlebih-lebihan’.
Wallahualam.
Syahril A. Kadir



