Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat menolak kenyataan Presiden Amerika Syarikat Joe Biden yang menyatakan bahawa telah berlaku pembunuhan beramai-ramai (genocide) ke atas etnik Armenia pada tahun 1915 ketika dibawah pemerintahan Khilafah Uthmaniyyah.
Ia adalah satu cubaan penyelewengan fakta sejarah yang telah cuba diwujudkan oleh pihak-pihak yang berkepentingan politik dalam usaha untuk menjatuhkan kredibiliti Kerajaan Turki ketika ini mahupun mencemarkan nama baik Khilafah Uthmaniyyah yang memerintah Turki ketika itu.
Oleh yang demikian, pertuduhan bersifat politik wajar ditolak demi untuk kepentingan pihak-pihak tertentu.
Pertuduhan tersebut juga seumpama usaha berterusan pihak-pihak berkepentingan dalam usaha mewujudkan persepsi bahawa Islam dan umatnya adalah pengganas dan bersikap kejam serta zalim sebagamana sentimen Islamofobia saat ini.
Islam adalah agama yang cintakan kedamaian, kesejahteraan dan kemakmuran dan persepsi buruk hasil manipulasi kotor yang diwujudkan ke atas Islam dan umatnya saat ini adalah usaha berterusan pihak-pihak berkepentingan yang mahu menjatuhkan maruah, kredibiliti dan nama baik Islam dimata umum mahupun dunia.
Islam memberikan keadilan kepada semua walau berlainan agama, bangsa dan kaum serta menegah mana-mana individu, kumpulan mahupun pemerintah Islam menindas, menzalimi dan berlaku tidak adil kepada mana-mana individu dan kumpulan masyarakat yang berlainan agama, kaum dan bangsa.
Islam Memperkukuh Perpaduan.
YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk.