4 Strategi Zionis Israel Menguatkan Cengkamannya Di Palestin Dan Asia Barat

4 Strategi Zionis Israel Menguatkan Cengkamannya Di Palestin Dan Asia Barat

Apabila bermula sahaja gencatan senjata antara Hamas yang memerintah Semenanjung Gaza dengan negara haram Israel setelah tentera regim zionis Israel melakukan pengeboman berterusan selama 11 hari ke atas Semenanjung Gaza, ramai yang tertanya-tanya apakah regim zionis Israel akan berhenti melakukan penindasan, kekejaman dan meluaskan lagi wilayah Palestin yang didudukinya.

Jawapan yang paling tepat sekali adalah tidak dan terbukti tidak sampai 24 jam berlangsungnya gencatan senjata, polis regim zionis Israel sekali lagi menceroboh Masjidil Aqsa dan menyerang serta menangkap penduduk Palestin yang berada di perkarangan Masjidil Aqsa ketika berlangsungnya solat Jumaat.

Sehari selepas itu pula, berlakunya tangkapan besar-besaran ke atas pemuda Palestin di Tebing Barat pada waktu malam yang dipercayai ada kaitan dengan sokongan terhadap Hamas ketika berlangsungnya pertempuran selama 11 hari yang mengakibatkan kemusnahan besar dan korban jiwa yang tinggi ke atas penduduk Palestin di Semenanjung Gaza.

Tidak hanya itu sahaja, pada hari Ahad berikutnya sekumpulan besar pendatang haram yahudi dengan kawalan oleh polis regim zionis Israel memasuki perkarangan Masjidil Aqsa hingga mencetuskan insiden pertembungan yang mengakibatkan beberapa penduduk Palestin cedera ditembak oleh polis regim zionis Israel termasuk menangkap penduduk Palestin yang membantah tindakan pendatang haram yahudi yang memasuki perkarangan Masjidil Aqsa.

Jelasnya, selagimana Palestin tidak dapat dijajah regim zionis Israel keseluruhannya dan mengangkat Jerusalem iaitu Baitul Maqdis sebagai ibu negara haram mereka, selagi itulah mereka tidak akan berdiam diri dan membiarkan ia begitu sahaja.

Namun cita-cita mereka bukan sekadar Palestin sahaja, tetapi hampir keseluruhan negara Arab yang mengikut kepercayaan mereka adalah negara asal Israel ketika zaman Nabi Sulaiman A.S. di mana cita-cita mereka saat ini adalah untuk menubuhkan sebuah negara Israel Raya atau “The Greater Israel” dengan Jerusalem sebagai ibu negara Israel Raya.

Sejak penubuhan negara haram Israel pada tahun 1948, regim zionis Israel secara agresif telah mula meluaskan penjajahannya ke atas wilayah Palestin termasuk juga menakluk wilayah di Lubnan, Syria dan Mesir di mana kebanyakkan daripada wilayah-wilayah ini masih berada dalam penguasaan regim zionis Israel.

Namun perluasan dan penaklukan wilayah bukan satu-satunya sahaja kaedah regim zionis Israel melunaskan cita-citanya untuk menubuhkan Israel Raya dan menguatkan cengkaman kekuasaan dan pengaruh geopolitiknya ke atas Asia Barat.

Terdapat 4 kaedah digunakan oleh regim zionis Israel untuk merealisasikan cita-citanya tetapi sebagai permulaan adalah penguasaan sepenuhnya ke atas bumi Palestin.

Namun tanpa disedari, agenda tersebut telah bermula sejak sebelum perang dunia pertama lagi iaitu sewaktu kongres pertama Pertubuhan Zionis Sedunia yang diadakan di Basel, Switzerland pada Ogos, 1897.

Dalam kongres tersebut telah diangkat dan diluluskan satu program yang dinamakan “Basel Program” yang telah memperincikan bagaimana akan direalisasikan penubuhan sebuah negara Israel di bumi Palestin dan seterusnya meluaskan lagi negara haram Israel sehingga berjaya merealisasikan Israel Raya.

Terdapat 4 strategi regim zionis Israel untuk mengukuhkan kedudukan mereka di Palestin dan menguatkan lagi cengkaman mereka ke atas Asia Barat.

Strategi ini bukan hanya dirancang lebih 100 tahun yang lalu tetapi juga telah berjalan sekian lama sehingga kini yang mana di kala ini regim zionis Israel mula sedar semakin lama mereka melakukannya, umat dan dunia Islam makin sedar tindakan licik mereka yang mengakibatkan kebangkitan seperti saat ini.

  1. Penghijrahan

Sebelum bermulanya perang dunia pertama dan bermulanya Program Basel, dalam bancian yang dilakukan Kerajaan Uthmaniyyah pada tahun 1878 menyatakan bahawa terdapat 403,000 umat Islam yang bermastautin di Palestin, 44,000 orang kristian, 15,000 orang yahudi yang berasal dari Palestin dan 10,000 orang yahudi yang bukan berasal dari Palestin.

Namun selepas Deklarasi Belfour terutamanya selepas bermulanya penghijrahan beramai-ramai orang yahudi dari benua Eropah terutamanya dari Eropah Timur, pada tahun 1942, jumlah orang yahudi yang berada di Palestin berjumlah 484,000 ribu orang berbanding 127,000 orang kristian dan umat Islam di Palestin pula pada ketika itu berjumlah 995,000 orang.

Namun selepas penubuhan negara haram Israel pada tahun 1948, di antara Disember 1947 hingga Januari 1949 lebih 700,000 penduduk Palestin telah meninggalkan Palestin dan berhijrah ke Jordan, Syria, Lubnan, Mesir dan Iraq akibat daripada peperangan, rampasan tanah dan kediaman serta kezaliman yang dilakukan oleh regim zionis Israel.

Pada 5 Julai 1950, Parlimen Israel telah meluluskan undang-undang “The Law Of Return” iaitu satu undang-undang yang membenarkan pendatang yahudi dari serata dunia untuk kembali ke Israel serta dijadikan warganegara Israel.

Oleh itu pada tahun 1950, jumlah populasi orang yahudi di negara haram Israel berjumlah 1.2 juta orang berbanding campuran orang Islam dan kristian yang berjumlah 167,000 orang.

Tahun 2020 menyaksikan terdapat lebih 6.8 juta orang yahudi di negara haram Israel berbanding 2.43 juta orang daripada kalangan orang Islam dan kristian.

Ia jelas menunjukkan penghijrahan pendatang yahudi dari serata dunia memainkan peranan utama dalam perluasan wilayah yang dijajah regim zionis Israel dari Palestin.

Tidak dapat disangkal lagi dalam merealisasikan Israel Raya, dipercayai lebih ramai pendatang yahudi akan dibawa masuk yang seterusnya akan menguatkan lagi cengkaman regim zionis Israel ke atas Palestin dan Asia Barat.

2. Penempatan

Pertambahan bilangan pendatang haram yahudi yang diimport masuk ke Israel menyebabkan permintaan untuk penempatan atau kediaman untuk pendatang-pendatang haram yahudi meningkat dengan begitu drastik sekali.

Insiden pengusiran penduduk Palestin di Syeikh Jarrah, Timur Baitul Maqdis adalah di antara puluhan insiden pengusiran penduduk Palestin yang dilakukan oleh regim zionis Israel pada tahun ini sahaja dan banyak yang tidak mendapat liputan media antarabangsa akibat “censorship” yang dilakukan oleh regim zionis Israel.

Pada Januari 2021, Perdana Menteri negara haram Israel Benjamin Netanyahu mengumumkan pembinaan penempatan baharu untuk pendatang haram yahudi berjumlah 800 unit di Tebing Barat di beberapa kawasan.

Pada Februari 2020, Benjamin Netanyahu turut mengumumkan pembinaan 3,000 unit kediaman untuk pendatang haram yahudi di timur Baitul Maqdis yang pastinya ramai yang akan tahu bagaimana insiden pengusiran penduduk Syeikh Jarrah bermula.

The Jewish Agency for Israel, sebuah NGO yang bernaung di bawah Pertubuhan Zionis Sedunia di antara NGO terbesar yahudi yang membawa masuk pendatang yahudi dari serata dunia ke negara haram Israel.

Selain dari membawa masuk pendatang haram yahudi, ia juga turut menyediakan pelbagai kemudahan seperti permohonan kerakyatan Israel, penyediaan rumah transit kepada para pendatang haram yahudi dan menaja pelbagai program untuk mendekatkan orang yahudi kepada Israel.

Program seperi Aliyah di bawah The Jewish Agency for Israel dengan motto “All Jews, no matter where they were born, are Israel citizen by right” sudah tentu menyemarakkan kedatangan orang yahudi ke Israel.

Tentunya dengan kedatangan ramai pendatang haram yahudi ke Israel, ia memerlukan lebih banyak penempatan yang mana sudah tentu lebih banyak kediaman, perkampungan dan kejiranan penduduk Palestin seperti Syeikh Jarrah akan dirampas oleh regim zionis Israel.

Di bawah program Aliyah pada tahun 2020, seramai 20,000 pendatang yahudi dari seluruh dunia telah dibawa masuk ke negara haram Israel untuk bermastautin.

Tahun 2020 merupakan tahun di mana wabak Covid-19 melanda dunia yang menyaksikan sekatan perjalanan daripada banyak negara.

Bagaimana pula dengan tahun sebelum-sebelumnya yang tidak langsung ada sekatan, tentunya lebih ramai yang berhijrah.

Jadi tidak hairanlah semakin banyak tanah dan kediaman penduduk Palestin dirampas regim zionis Israel.

3. Normalisasi

Tujuan utama normalisasi adalah untuk menjaga keselamatan selain menjamin kewujudan negara haram Israel.

Normalisasi antara negara haram Israel dan negara-negara Asia Barat seperti UAE, Bahrian, Maghribi selain Sudan dari Afrika adalah sebagai jaminan keselamatan dan kewujudan Israel.

Normalisasi hubungan dengan negara haram Israel yang ditaja oleh Amerika Syarikat ketika era Donald Trump menjadi Presiden Amerika Syarikat adalah pelan tindakan jangka panjang regim zionis Israel untuk menghindari ancaman keselamatan ke atas kewujudannya di samping untuk mengukuhkan cengkaman ke atas geopolitik Asia Barat.

Walaupun tidak mendapat sejumlah besar negara-negara Asia Barat untuk menjalinkan hubungan dua hala melalui normalisasi, ia adalah langkah permulaan regim zionis Israel untuk menpengaruhi geopolitik Asia Barat sekaligus dapat mengawal tindakan negara-negara Asia Barat ke atasnya jika berlaku perkara luar jangka seperti pertembungan dengan Hamas yang mentadbir Semenanjung Gaza baru-baru ini.

Jika kita lihat dengan lebih mendalam pertempuran di Semenanjung Gaza baru-baru ini, kita dapati negara-negara yang menjalinkan normalisasi dengan regim zionis Israel langsung tidak mengkritik mahupun mengecam tindakan regim zionis Israel mengebom secara berterusan Semenanjung Gaza malah langsung tidak bersuara dalam insiden pencerobohan Masjidil Aqsa mahupun pengusiran penduduk Palestin di Syeikh Jarrah.

Bayangkan jika lebih separuh daripada negara-negara Asia Barat menjalinkan normalisasi hubungan dengan regim zionis Israel, apakah yang akan terjadi kepada Palestin dan nasib warganya?

Berkemungkinan jika itu berlaku, pastinya Tebing Barat mahupun Semenanjung Gaza ataupun Palestin sendiri sudah lenyap dari ingatan penduduk negara Asia Barat kerana tentunya regim zionis Israel bermaharjalela menjarah bumi Palestin.

Normalisasi bukan hanya sekadar menjalinkan hubungan dengan regim zionis Israel tetapi sebenarnya menjual maruah dan jatidiri sebagai umat Islam kepada satu-satunya musuh paling utama umat Islam di akhir zaman ini.

4. Perluasan

Perluasan samada kuasa atau wilayah adalah intipati atau agenda terakhir regim zionis Israel.

Setelah negara haram Israel terjamin keselamatan dan kewujudannya, maka perluasan kuasa atau wilayah yang telah dirancang sejak sekian lama terutamanya untuk merealisasikan Israel Raya akan dijalankan demi untuk menguasai sepenuhnya penguasaan mahupun geopolitik Asia Barat.

Jika diperhatikan turutan empat agenda yang berturutan di atas, agenda ke empat ini adalah tangga terakhir untuk mencapai matlamat paling besar mereka iaitu Israel Raya.

Namun maksud perluasan bagi tujuan dan maksud yang sama adalah luas seperti menguasai minda dan mentaliti orang-orang Arab di Asia Barat.

Sebagaimana pengaruh normalisasi mula berjaya mempengaruhi sebilangan kecil penduduk Asia Barat, kita mula mendengar sebilangan kecil orang Arab di Asia Barat terutamanya penduduk dari negara Asia Barat yang menjalinkan normalisasi dengan negara haram Israel menyatakan simpati kepada Israel akibat diserang pejuang Palestin.

Malah ada di kalangan mereka tidak segan silu mula berkata bahawa orang yahudi berhak untuk mempunyai negara dan bersimpati dengan nasib pendatang haram yahudi di negara haram Israel yang dipandang serong oleh umat Islam akibat kewujudan negara haram Israel.

Selain berjaya meluaskan penjajahannya ke atas wilayah Palestin, regim zionis Israel juga berjaya meluaskan simpati ke atas mereka dari kalangan orang Islam sendiri terutamanya dari Asia Barat.

Dalam skop ini, perluasan bukan sahaja bermaksud perluasan wilayah dan penjajahan tetapi perluasan penjajahan minda dan mentaliti orang Islam supaya simpati terhadap negara haram Israel dan pendatang haram yahudi.

Secara ringkasnya itulah antara empat agenda atau strategi utama regim zionis Israel untuk menguatkan cengkaman ke atas Palestin mahupun geopolitik Asia Barat.

Bayangkan jika regim zionis Israel berjaya melaksanakan kesemua agenda tersebut, bukan hanya nasib Palestin dan Masjidil Aqsa menjadi persoalan tetapi nasib Masjidil Haram dan tanah suci Madinah juga berkemungkinan menjadi taruhan.

Untuk kita mengelakkan daripada kesemua ini berlaku, perkara asas yang perlu diberikan perhatian utama ialah menyatupadukan umat Islam baik di Asia Barat mahupun di seluruh dunia.

Sejarah telah membuktikan setiap kali umat Islam bersatu, musuh-musuh Islam akan huru hara dan binasa.

Umat dan dunia Islam akan bertambah kuat dan Islam keseluruhannya akan mencapai kegemilangan.

Selagimana umat dan dunia Islam berpecah belah, bukan sahaja kita tidak akan mampu menyelamatkan Palestin dan Masjidil Aqsa, bahkan berkemungkinan Masjidil Haram dan tanah suci Madinah menjadi taruhan.

Oleh itu sebagai langkah permulaan, marilah kita sama-sama bersatu menyelamatkan Palestin dan Masjidil Aqsa, mudah-mudahan ia menjadi pemangkin kepada perpaduan ummah dan kebangkitan Islam di seluruh dunia insyallah.

Islam Memimpin Perpaduan.

YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.

ADUN Batu Buruk.

Dunia Islam