Pandemik Dalam Islam – Siri 2

Pandemik Dalam Islam – Siri 2

SIASAH UMAR DALAM MENGURUS PANDEMIK

Kegembiraan umat Islam membebaskan Al Aqsa pada tahun 16H (637M) tidak lama.

Sebuah kampung kecil antara Baitul Maqdis dan Ramallah dilanda musibah.

Pada 18H, Kampung Amwas atau Imawas (عِمَواس) ditimpa penyakit pelik.

Belum pernah dikenali sebelumnya.

Lalu ia dipanggil taun Amwas.

Ia kemudian merebak ke seluruh Palestin.

Kemudian dengan cepat merentasi kawasan-kawasan yang hari ini dikenali sebagai Lubnan dan Syria di utara.

Juga sampai ke Sinai di Selatan dan sebahagian wilayah Jordan di Timur.

Ibnu Hajar dalam mentakrifkan penyakit ini berkata, “Setelah aku dapatkan pandangan ahli lughah, ahli fiqh dan ahli perubatan, aku dapati penyakit ini terhasil dari kerosakan darah dan melimpahnya ia ke dalam anggota sehingga merosakkan fungsi anggota tersebut.”

KESAN PERANG

Ada andaian bahawa wabak ini berpunca dari kesan peperangan dahsyat antara tentera Islam dan Rom.

Kekalahan Rom di bumi Syam begitu memalukan.

Tentera Rom lari meninggalkan mayat-mayat rakan mereka yang bergelimpangan.

Mayat-mayat itu terbiar dan membusuk.

Tanah, udara dan juga air tercemar.

Situasi yang mengundang penyakit.

RANCANGAN UMAR

Sebelum itu, pada penghujung tahun ke 17H, Umar bercadang untuk mengunjungi Syam kali kedua.

Kunjungan pertama ialah sewaktu pergi mengambil alih pemerintahan dari Rom setahun sebelumnya.

Setibanya di Kg Saragh, dekat Lembah Tabuk, Umar bertemu dengan pimpinan tentera Islam yang bertugas di perbatasan.

Antara mereka ialah Abu Ubaidah Al Jarrah, Khalid bin Al Walid, Amru bin Al As dan lain-lain.

Umar terkejut apabila dikhabarkan kepadanya bahawa Syam sedang dilanda wabak penyakit berbahaya.

Setelah berbincang dengan tiga kumpulan para sahabat, Umar memutuskan tidak meneruskan perjalanan ke Syam dan pulang ke Madinah.

(Peristiwa ini telah saya bincang panjang dalam posting berjudul “Kita Lari Dari Taqdir Allah Kepada Taqdir Allah”.)

MERAGUT NYAWA SAHABAT BESAR

Umar dan rombongannya pulang ke Madinah.

Dalam masa sama taun Amwas terus mengganas di bumi Syam.

Lebih 20 ribu nyawa termasuk sahabat-sahabat besar menjadi mangsa.

Antara mereka Abu Ubaidah Al Jarrah, Muaz bin Jabal, Yazid bin Abi Sufyan, Al Harith bin Hisyam (ada juga yang mengatakannya syahid di Yarmuk), Suhail bin Amru dan Utbah bin Suhail.

Mendengar khabar yang mendukacitakan ini, Umar sangat sedih.

Lebih-lebih lagi terhadap kematian Abu Ubaidah yang digelar oleh Rasulullah SAW sebagai أمين هذه الأمة (pemegang amanah umat ini).

PENYELESAIAN AMRU

Amru bin Al As dilantik menggantikan Abu Ubaidah.

Amru mengambil tindakan segera menerusi polisi barunya.

Kata-katanya yang masyhur dalam menyelesaikan isu ini, “Wahai manusia, penyakit ini apabila ia bertapak maka ia bagaikan api yang bernyala.

“Selamatkanlah diri darinya dengan berlindung di kawasan pergunungan.”

Udara di pergunungan lebih baik dari udara di kawasan rendah.

Boleh jadi usahanya itu untuk mengelak masyarakat dari menghidu udara kotor di bawah.

Orang ramai mula bergerak ke kawasan pergunungan.

Ternyata teorinya berjaya memutuskan rantaian wabak berkenaan.

Hari demi hari kluster-kluster semakin pupus.

Keadaan semakin pulih.

Dan akhirnya Syam diisytihar bebas Amwas.

ISU BERBANGKIT

Oleh kerana ramai yang meninggal dunia, timbul pula isu bagaimana hendak mengurus harta peninggalan mereka.

Umar menerima banyak surat dari pemimpin Syam bertanyakan soalan faraidh.

Sememangnya Umar dan Zaid bin Thabit antara yang paling mahir ilmu Faraidh di kalangan sahabat Rasulullah SAW.

Bahkan banyak isu rumit dalam Faraidh dapat diselesaikan oleh Umar hinggakan kaedah-kaedah dan formulanya diguna pakai hingga ke hari ini.

Isu Faraidh yang dikenali sebagai Mas’alah Umariyah adalah berasal dari satu kaedah Umar dalam menyelesaikan kes yang timbul pada zamannya.

Umar mampu berijtihad sendiri.

Namun beliau memanggil ahli Majlis Syura untuk meminta pandangan.

Setelah bermusyawarah, Umar membuat keputusan untuk berangkat ke Syam.

Ia bertujuan untuk melihat dengan lebih dekat masalah-masalah berbangkit akibat taun Amwas khususnya berkaitan isu pengurusan harta.

BERANGKAT KE SYAM

Saidina Ali bin Abi Talib diamanahkan memangku tugas khalifah di Madinah.

Kali ketiga Umar merentasi padang pasir dan gunung ganang menuju ke Syam untuk menyelesaikan masalah rakyat.

Penduduk Syam sangat gembira dengan kedatangan khalifah yang mereka rindui.

Mereka sama sekali tidak menyalahkan Umar kenapa pulang ke Madinah dalam keadaan penduduk Syam bergelumang dengan taun Amwas.

Misi ke Syam kali ini adalah untuk:

1. Menyelesaikan isu-isu faraidh.

2. Melantik pegawai-pegawai kerajaan mengikut kawasan. Contohnya Damsyiq diamanahkan kepada Muawiyah bin Abi Sufyan, As Sawahil diamanahkan kepada Abdullah bin Qis dan lain-lain lagi.

3. Menyusun semula pasukan tentera.

4. Kempen menunaikan solat.

Diriwayatkan ketika sibuk menyelesaikan masalah rakyat, tiba-tiba masuk waktu solat.

Umar meminta Bilal melaungkan azan.

Mendengar suara Bilal, semua sahabat Rasulullah yang ada di situ menangis.

Suara Bilal bagaikan suntikan vaksin yang menimbulkan kerinduan mereka kepada Rasulullah SAW.

Umat Islam yang menyaksikan tangisan para sahabat itu kemudiannya turut menangis.

KESAN TAUN AMWAS

Ia sangat bahaya dan menakutkan serta menyebabkan kematian.

Angka kematian melebihi 20 ribu nyawa termasuk para sahabat besar.

Pandemik ini juga menakutkan kerana umat Islam bimbang Rom mengambil kesempatan menyerang negara Islam yang baru setahun jagung didirikan.

Dari segi lojik, sekiranya Rom menyerang, umat Islam tidak mampu untuk menangkis kerana mereka sedang menghadapi masalah pandemik yang mencabar.

Namun dengan kuasa Allah yang maha melindungi hamba-hamba-Nya yang beriman, Rom yang masih trauma dengan kekalahannya, tiada idea untuk menyerang Syam.

HUKUM KELUAR DAN MASUK KE KAWASAN WABAK

Jelas di dalam hadis Rasulullah SAW:

إذَا سَمِعْتُمْ به بأَرْضٍ فلا تَقْدَمُوا عليه، وإذَا وقَعَ بأَرْضٍ وأَنْتُمْ بهَا فلا تَخْرُجُوا فِرَارًا منه

“Jika kamu dengar sesuatu wabak melanda sesebuah negeri maka janganlah kamu pergi ke negeri itu. Dan sekiranya wabak itu melanda negeri yang kamu ada di situ maka janganlah kamu keluar melarikan diri dari situ.”

Namun adakah larangan ini bersifat qat’ie?

Langsung tak boleh masuk ke negeri yang dilanda wabak dan penduduk negeri itu langsung tidak boleh keluar?

Para sahabat sendiri berbeza pendapat dalam hal ini.

Ada yang mengambil makna zahir daripada hadis ini.

Dan ada juga yang menta’wilkannya kepada maksud lain.

Ada yang menyatakan sekiranya penduduk itu keluar untuk tujuan berubat, atau tujuan penting yang lain maka ia dibolehkan.

Aliran pendapat ini dipegang oleh Abu Ubaidah Al Jarrah.

Ahli sejarah mengatakan beliau bukan bertindak derhaka kepada khalifah.

Namun keputusan yang diambilnya adalah untuk maslahah kesihatan, kemasyarakatan, politik dan keselamatan rakyat.

Khususnya dalam suasana Islam baru sahaja mengambil alih kuasa pemerintahan di Syam.

Di pihak Umar juga pendapatnya adalah betul.

Sekiranya Umar tidak bertegas untuk pulang ke Madinah, maka ia akan dijadikan alasan oleh orang ramai di Syam untuk merentas sempadan sesuka hati lalu.

Lalu mengakibatkan kemunculan kluster-kluster baru taun Amwas di luar Syam.

Dalam membuat keputusan ini, Umar tidak berwenang begitu sahaja.

Bahkan beliau mengadakan tiga peringkat perbincangan dengan tiga kumpulan para sahabat.

Lalu keputusannya diperkukuhkan dengan pernyataan Abd Rahman bin Auf yang meriwayatkan hadis larangan masuk ke negeri wabak dan larangan keluar dari negeri itu bagi penduduknya.

KEUTAMAAN SYURA DAN KETEGASAN PEMIMPIN

Umar sangat mengutamakan musyawarah dalam membuat sesuatu keputusan.

Ketika hendak membuat keputusan sama ada hendak meneruskan perjalanan ke Syam atau pulang ke Madinah, beliau bermesyuarat tiga kali.

Ketika hendak pergi ke Syam setelah tamatnya tempoh pandemik, Umar terlebih dahulu mengadakan musyawarah.

Walaupun demikian, Umar tidak hanya berperanan sebagai pengerusi majlis yang membaca keputusan yang dibuat oleh ahli mesyuarat.

Umar seorang pemimpin berkaliber, bijak dan mampu menyimpulkan pandangan-pandangan ahli mesyuarat lalu membuat keputusannya sendiri.

Sesungguhnya para sahabat itu umpama bintang-bintang yang bergemerlapan.

Kesemuanya mempunyai suluhan yang berguna buat umat ini.

رضى الله عنهم ورضوا عنه

Aris Hazlan Ismail

Siri 1

Kesihatan