PANDEMIK DAN ULAMAK SILAM
Penyakit dan wabak itu suatu yang normal berlaku dalam mana-mana kelompok masyarakat dengan berbagai-bagai faktor.
Sejarah mencatatkan beberapa pandemik pernah melanda wilayah-wilayah Islam zaman silam seperti Syam, Mesir, Maghribi, Iraq, Andalus (Spanyol) dan lain-lain.
Islam menggalakkan berubat.
Sama ada kita jumpa atau tidak, ubat itu sentiasa ada di sekitar kita.
Jika ahli perubatan masih buntu mencari penyelesaian sesuatu penyakit, janganlah kata tak ada ubat.
Tapi beradablah dengan berkata, masih belum ditemui ubat atau penawarnya.
Usamah bin Syarik meriwayatkan sekumpulan A’rabi bertanya, adakah berdosa jika mereka sakit lalu tidak berubat.
Rasulullah SAW menjawab:
تداوَوا عبادَ اللَّهِ فإنَّ اللَّهَ سبحانَهُ لم يضع داءً إلَّا وضعَ معَهُ شفاءً إلَّا الْهرمَ
“Berubatlah wahai hamba Allah. Sesungguhnya Allah tidak meletakkan sesuatu penyakit melainkan meletakkan bersamanya ubat, kecuali tua.”
(Hadis sahih riwayat Ibnu Majah, Abu Daud, Tirmizi dan Ahmad)
Khalid bin Saad pula meriwayatkan beliau bermusafir bersama Ghalib bin Abjar.
Di pertengahan jalan Ghalib jatuh sakit, lalu dia diziarahi oleh Abdullah bin Muhammad bin Abd Rahman bin Abu Bakar As Siddiq radhiallahu anhu.
Abdullah berkata, rawatlah dia dengan hubaibatus sauda’ (tasghir habbatus sauda’) Tumbuklah 5 atau 7 ulas.
Titiskan minyaknya ke dalam setiap lubang hidungnya, kerana Aisyah memberitahuku bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:
إنَّ هذِه الحَبَّةَ السَّوْدَاءَ شِفَاءٌ مِن كُلِّ دَاءٍ، إلَّا مِنَ السَّامِ قُلتُ: وما السَّامُ؟ قَالَ: المَوْتُ.
“Sesungguhnya habbatus sauda’ ini adalah ubat bagi semua penyakit kecuali as-sam.”
Aku (Aisyah) bertanya, Apa itu as-sam?
Baginda menjawab, “Mati.”
Ertinya hanya tua dan mati sahaja tiada ubat untuk dihidupkan kembali atau dimudakan kembali.
PROSES RAWATAN DAN BERUBAT
Berubat bukan sekadar menelan ubat, tetapi ia boleh dilakukan dengan pelbagai kaedah yang digariskan oleh ahli-ahli perubatan.
Saidina Amru bin Al As dalam menyelesaikan pandemic taun Amwas (18H) memerintahkan rakyat supaya berpindah ke kawasan tinggi kerana udaranya lebih baik.
Ikhtiarnya menemui kejayaan apabila wabak taun Amwas berjaya dihapuskan.
Sepanjang sejarah juga menyaksikan, Allah bukan sekadar menyediakan bahan yang menjadi ubat, bahkan juga menyediakan manusia untuk membimbing orang ramai keluar dari krisis kesihatan ini.
Mereka dinamakan tabib, doktor dan sebagainya.
Zaman dahulu ramai tokoh yang berkhidmat sebagai tabib dan dalam masa yang sama mereka juga adalah faqih, hafiz dan sebagainya.
Menariknya, wujud kerjasama antara para ilmuan dan pihak pemerintah dalam menangani wabak yang melanda.
Pemerintah mengarahkan rakyat bertaubat dari segala dosa.
Para ilmuan pula mencari jalan penyelesaian secara saintifik.
AR RAZI
Pada tahun 250H (864M) lahir seorang tokoh perubatan Islam yang ulung, Abu Bakar Muhammadd bin Yahya bin Zakaria Ar Razi di Ar Ray, Iran.
Ar Razi mengarang kitab perubatan berjudul الحاوى فى الطب yang menjadi rujukan bagi ahli-ahli perubatan di Greek selama 400 tahun.
Ar Razi menulis secara terperinci tentang penyakit kusta dan kaedah rawatannya.
Beliau juga antara yang awal menulis tentang gejala campak dan cacar.
Beliau menerangkan secara terperinci beza antara campak dan cacar.
Pada zaman belum ada peralatan canggih untuk mengesan dan mendiagnos penyakit, Ar Razi sudah bercakap tentang perlunya dibuat pemeriksaan paru-paru, jantung, tekanan darah dan pemeriksaan tahi bagi merawat penyakit campak dan cacar.
Beliau turut menyatakan bahawa kegagalan mengawal suhu badan boleh mengakibatkan merebaknya kudis pada tubuh.
Ar Razi meninggal dunia pada tahun 311H (923M).
Semoga Allah merahmatinya.
IBNU SINA
Lebih kurang 70 tahun berikutnya lahir pula seorang lagi tokoh perubatan ummah iaitu Abu Ali Al Husain bin Abdullah bin Al Hasan bin Ali bin Sina.
Masyhur dengan gelaran Ibnu Sina 370-427H (980-1037M).
Ibnu Sina menghasilkan 200 kitab pelbagai bidang.
Dalam perubatan beliau menulis القانون فى الطب.
Pada zamannya berlaku pandemik yang digelar sebagai taun الموت الأسود (kematian hitam), Ibnu Sina menyifatkan ia berpunca dari sejenis makhluk yang terlalu halus (virus), tidak dapat dilihat dengan mata.
Ia merebak dengan cepat dan singgah pada tangan, muka, rambut dan pakaian menyebabkan mangsa menjadi demam dan mengakibatkan kematian hitam (taun).
Dikatakan Ibnu Sina mencadangkan penyelesaiannya dengan kaedah mengasingkan diri (kuarantin) selama 40 hari.
Segala aktiviti perhimpunan manusia hendaklah dihentikan.
Amalan berjabat tangan juga ditangguhkan.
Semua itu bersifat sementara untuk menyekat atau memutuskan rantaian virus berkenaan.
Bukan untuk selamanya dan bukan untuk mengubah hukum Allah.
IBNU AL KHATIB
300 tahun kemudian, wabak yang hampir sama melanda Eropah.
Dikatakan 30% penduduk Eropah (20 juta) terkena wabak ini.
Sebahagian benua Eropah berada di bawah pemerintahan Islam.
Ketika itu Allah munculkan pula seorang lagi tokoh perubatan Islam iaitu Muhammad bin Abdullah bin Said bin Ali bin Ahmad As Salmani Al Khatib.
Dikenali dengan gelaran Lisanuddin Ibnu Al Khatib.
Lahir pada 713H (1313M) di Loja, Sepanyol dan kemudiannya menetap di Granada.
Sewaktu remaja, Ibnu Al Khatib merantau ke benua Afrika untuk menuntut ilmu di Universiti Al Qurawiyyin di bandar Fes, Maghribi.
Beliau seorang penyair, ahli sejarah, dolyor, ahli politik dan faqif dalam mazhab Maliki.
Di zamannya pandemik yang melanda Eropah dipanggil sebagai taun Aswad (taun hitam).
Ia berlaku antara tahun 1347 hingga 1352M.
Bagi memutuskan rantaian virus ini, Ibnu Al Khatib menulis satu panduan.
Antara lain beliau menyebut, “Sesungguhnya menerusi proses uji kaji, penyelidikan, pemeriksaan, pemerhatian dan berita-berita yang dilaporkan mendapati sesiapa yang bergaul dengan pesakit ini dia akan binasa.
“Siapa yang menjauhinya akan selamat.”
Lebih menarik, beliau hidup pada zaman vaksin belum dicipta, tetapi beliau sudah bercakap tentang keperluan imunisasi untuk perkuatkan daya ketahanan tubuh melawan penyakit.
Ibnu Al Khatib meninggal dunia pada 776H (1374M).
Berdasarkan tulisan dan kaedah rawatan tokoh-tokoh silam ini, kita dapati SOP yang diamalkan hari ini bukanlah sms dari WHO semata.
Bukan juga wasiat dari konco-konco dajal seperti yang didakwa.
Jauh sekali telegram dari zionis Israel!
Soal penjarakan sosial, penangguhan perhimpunan manusia, larangan merentas sempadan, lock down, keperluan vaksinasi dan sebagainya ini telahpun menjadi amalan perubatan Islam zaman berzaman.
Bahkan sebahagiannya telah wujud sejak zaman Saidina Umar.
Sekian.
Aris Hazlan Ismail