Di samping menyebarkan maklumat yang membantu usaha menjayakan vaksin Covid19, SOP, PKP dan sebagainya, alangkah baik media memberi lebih penekanan, keinsafan dan pengisian minda yang positif bagi mengurangkan tekanan perasaan yang dihadapi setiap peringkat masyarakat dalam tempoh ujian besar di hadapi negara dan seluruh dunia sekarang.
Perlembagaan Malaysia meletakkan Islam adalah agama bagi Persekutuan.
Rukun Negara meletakkan Kepercayaan Kepada Tuhan pada kedudukan pertama diikuti Kesetiaan Kepada Raja dan Negara.
Alangkah baiknya diumumkan tambahan peruntukan untuk program yang menimbulkan minat rakyat khususnya umat Islam yang merupakan majoriti dan berkeluarga untuk memperkukuhkan institusi kekeluargaan, kempen solat berjemaah diimamkan ayah atau datuk.
Kempen Malaysia Bermunajat.
Para artis boleh digerakkan menjayakan selain para ustaz, agamawan yang sudah sinonim dengan forum perdana, tazkirah, soal jawab agama.
Tak semestinya mesti nasyid sahaja.
Teknologi dan inovasi dalam mengkomunikasikan mesej boleh digunakan dengan melibatkan seluruh spektrum sumber kepakaran yang ada.
Termasuk juga mereka yang pakar dalam grafik, videografi, animasi kartun, pelakon dan penyanyi.
Utamakan kualiti mesej yang disampaikan kepada rakyat kerana ia membentuk minda yang mempengaruhi sikap dan tingkah laku.
Jika disumbat pemikiran liberal kepada rakyat, tersebarlah pemikiran liberalisme yang merosakkan agama.
Mesej positif lebih dari boleh dihadirkan dalam bentuk yang menarik dan popular dikalangan rakyat yang para artis dalam pelbagai bidang boleh menjadikan sumber rezeki dan lubuk kebaikan dan pahala amal jariah.
Filem seperti Ertugrul mendapat sambutan luar biasa di dunia, teknik perfileman yang bagus, lakonan yang bagus, mesej yang bagus dan memberi kesan yang mendalam.
Itu lebih baik dari filem yang tidak ketentuan mesej apa yang disampaikan, pemikiran macam mana nak dibentuk rakyat yang menonton.
Saya fikir disaat ini, jika kita dapat mengajak rakyat menjayakan ikhtiar Vaksin Covid19, SOP, PKP dan dalam masa yang sama umat Islam memperbaiki hati dan amalan, memperbanyakkan taubat dan doa kepada Allah SWT, itulah resepi untuk berjaya.
Berusaha, berdoa dan bertawakal.
Dato’ Ahmad Amzad Hashim