GIS Muncul Di Gaza Dan Plan Damai Baru

GIS Muncul Di Gaza Dan Plan Damai Baru

Pada 31 mei 2021 media-media arab memfokuskan secara ekslusif kemunculan pasukan beruniform tertera perkataan GIS yang menjaga keselamatan Ketua Pengarah Jabatan Perisikan Am Mesir yang dalam rangka lawatan ke Ramallah Palestin, Tel Aviv Israel dan Gaza.

Ingat tak sewaktu saya menjawab kenyataan wartawan TV3 sebelum ini saya telah menyanggah kenyataan beliau yang menyatakan perisikan Israel akan masuk ke Gaza dan saya telah bidas dan jawab bahawa yang akan masuk kelak ialah Perisikan Mesir.

Bermula 31 Mei, Perisikan Mesir telah dengan rasmi masuk ke dalam GAZA, dengan misi utamanya mengiring dan memastikan keselamatan Ketua Pengarahnya, Jeneral Abbas Kamil selain memastikan keselamatan kawasan rundingan bersama Mesir bersama pejuang-pejuang Palestin dan Pihak Berkuasa Palestin.

GIS adalah singkatan kepada ‘General Intelligence Service’ Perkhidmatan Perisikan Umum (Bahasa Arab: جهاز المخابرات العامة‎.

Kali pertama muncul secara umum dengan uniform lengkap adalah pada tahun 2019 ketika membawa pulang Pengganas Hisham Ashmawi dari Libya ke Kaherah.

GIS adalah salah satu kumpulan bersenjata di Mesir yang menjalankan misi HVTE (High Value Target Escort) untuk orang-orang kenamaan atau VIP Mesir selain mereka mempunyai pelbagai misi keselamatan sama ada di dalam atau di luar Mesir, antaranya membasmi dan mencegah aktiviti keganasan dan ekstrimis.

Anggota GIS adalah terdiri dari pasukan tentera elit dan komando yang cukup terlatih untuk semua situasi.

Mereka akan lengkap dengan pakaian rasmi apabila berada dalam situasi paling kritikal seperti di GAZA semalam.

Sedia maklum, kawasan GAZA kawasan kritikal yang mempunyai banyak kumpulan bersenjata, maka penampilan jelas amat perlu untuk membezakan mereka.

Dalam menjalankan misi di tempat lain, mereka tidak perlu mengenakan uniform.

GIS ditempatkan di GAZA selepas ini untuk memastikan genjatan senjata dipatuhi kedua-dua pihak.

Ketua Pengarahnya terdahulu dilaporkan ke Tel Aviv untuk berjumpa dengan Netanyahu, Perdana Menteri Israel dalam rangka memastikan genjatan senjata jangka panjang berlangsung dengan baik dan menuntut pihak Israel berhenti menjadikan pembunuhan terancang terhadap mana-mana pemimpin pejuang Palestin terutama HAMAS, Yahya Al Seniora.

HAMAS pula dikatakan berjanji akan membebaskan empat orang tentera Israel yang ditahan di GAZA.

Pengarah Ketua Jabatan Perisikan Mesir juga telah mengenal pasti kawasan pembinaan untuk BANDAR MESIR مدينة مصرية dalam GAZA untuk penempatan rakyat GAZA yang hilang tempat tinggal.

Lawatan ketiga-tiga lokasi penting dan berjumpa dengan beberapa pihak yang berkepentingan di sana adalah salah satu usaha dan pra persiapan sebelum perjanjian bertulis siap dirangka untuk genjatan jangka masa panjang GAZA.

GAZA akan kekal dibawah pemantauan Mesir dibawah genjatan senjata ini sementara Amerika Syarikat akan memantau Israel dan perjanjian bertulis genjatan senjata ini kelak akan menjadi dokumen awal ke arah proses pembentukan Palestin yang merdeka beribu negara di Baitul Maqdis Timur selain memaksa Israel tidak meneruskan penempatan haram di Tebing Barat dan Baitul Maqdis Timur sepanjang genjatan senjata jangka panjang kelak yang akan ditandatangani kedua-dua belah pihak.

Seterusnya, kita akan lihat Kaherah akan menjadi ibu negara rundingan antara pejuang Palestin.

Semua usaha damai dan pembentukan negara Palestin yang merdeka mesti bermula dari kesatuan sesama mereka sebagai kata kunci sebenar.

Kita berada dalam situasi mirip november 1989, di mana Palestin mesti menentukan pihak perunding yang diiktiraf mewakili mereka di mana akhirnya pada Januari 1990, mereka sepakat memutuskan melalui PLO, seramai empat belas ahli yang diketuai penduduk Tebing Barat, iaitu Yaser Arafat mewakili secara rasmi rundingan damai Palestin-Israel hingga termetrai Oslo 1993 dan kemudiannya Kem David 2000.

Tumpuan juga akan terarah kepada pembentukan kerajaan baru di Israel untuk era rundingan baru Palestin-Israel inisiatif Mesir.

Mohd Faizal Sabhon

Palestin