Abnaul Harakah Berhati-Hati Dengan Berita Dusta

Abnaul Harakah Berhati-Hati Dengan Berita Dusta

Hari ini mengambil sedikit masa membaca sirah tentang Hadith Al-Ifk (Peristiwa Dusta) yang terkena kepada isteri Nabi, iaitu Aisyah r.a.

Fitnah dan berita dusta yang dimainkan untuk mengaibkan keluarga Nabi S.A.W.

Sehinggalah Allah Taala menurunkan ayat membersihkan nama baik Aisyah r.a dari fitnah yang telah dibuat itu.

Sebelumnya, masing-masing keliru dan berada dalam keadaan celaru.

Sama ada mahu mempercayai atau mahu memungkiri berita tersebut.

Kita sebagai ahli gerakan Islam juga, berhadapan dengan berita-berita yang hampir sama tujuannya.

Berita-berita yang mahu mengaibkan pimpinan dan memecah belahkan jemaah yang kita intima’kan ini.

Terkadang, ada abnaul harakah yang terkeliru dengan berita-berita yang datang.

Benar atau tidak.

Lebih mengejutkan jika kita membaca Surah An-Nuur ayat 11, yang menyebutkan berita berita fitnah ini disambut dan disebarkan dari kalangan kita sendiri juga.

إِنَّ الَّذينَ جاؤُو بِالْإِفْكِ عُصْبَةٌ مِنْكُمْ

“Sesungguhnya orang-orang yang datang membawa berita bohong itu adalah golongan kamu juga…”

Maka, perlulah difahami terdapat juga berita-berita dusta yang ada dalam gerakan Islam sebenarnya dibawa dan disebarkan oleh kalangan ahli gerakan itu juga.

Ahli gerakan Islamlah yang memfitnah dan mengadu domba sesama ahli gerakan.

Ada yang cuba menghakis kepercayaan ahli kepada kepimpinan.

Ada yang mengajar ahli untuk lebih bersangka buruk daripada bersangka baik kepada pimpinan.

Jelas, sebarang berita yang bercerita perihal buruk sesama ahli gerakan apatah lagi pimpinan, haruslah ditapis dan dihentikan walaupun datang daripada ‘orang kita’.

Kerana jelas dalam hadis nabi menunjukkan salah satu dugaan kepada orang beriman adalah orang beriman juga.

Iaitu dugaan orang beriman yang dengki kepada orang beriman yang lain.

Dr Fathi Yakan dalam buku Bahtera Penyelamat telah nyatakan perihal ini dengan penuh teliti.

Mereka juga mahu tegakkan Islam, mereka juga punya semangat berkobar namun nun disudut hatinya terdapat perasaan dengki.

Pelbagai asbab boleh menghasilkan dengki, antaranya adalah rasa kurang kasih sayang dan juga kurang perhatian, tiada sokongan dan mahukan jawatan, mengejar nama (populis) dan sebagainya.

Bahana dengki inilah melahirkan keghairahan mencipta berita-berita untuk meruntuhkan orang lain.

Mereka menunggang gerakan Islam bagi melunaskan dengki mereka.

“Sekian banyak tuduhan-tuduhan palsu dicipta untuk mengobarkan kebencian dan permusuhan yang didorong oleh perasaan dengki dan khianat.

“Banyak jemaah yang berpecah-belah kerana angkara manusia pendengki yang busuk hati; membawa fitnah ke sana ke mari tanpa rasa takut kepada Allah Subhanahu Wata’ala, — Tuhan alam semesta.”

Maka, jika kita bertemu dengan penulisan yang cuba membuka langkah pendustaan atas asas kedengkian ini, hendaklah sedar bahawa mereka itu batu api yang mahu membakar keteguhan jemaah yang kita sayangi.

Ahmad Fahmi Mokhtar

Isu Semasa