Pejabat ini merujuk kepada kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang dilaporkan oleh media sebagai berkata bahawa sekiranya Proklamasi Darurat yang kini berkuatkuasa diangkat, maka tiada apa-apa yang dapat menghalang sebarang Pilihan Raya Kecil dan Pilihan Raya Negeri yang sebelum ini tertangguh daripada diadakan.
Beliau turut dilaporkan berkata bahawa kini hanya KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang mempunyai budi bicara sama ada keadaan Darurat yang dijadualkan akan berakhir pada 1 Ogos 2021 perlu diteruskan atau tidak.
Sebagaimana dimaklumi bahawa Proklamasi Darurat yang telah diisytiharkan pada 11 Januari 2021 oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang bertindak di atas nasihat Jemaah Menteri selaras peruntukan Perlembagaan Persekutuan adalah atas asas tanggungjawab utama dan khusus Kerajaan dalam menangani wabak COVID-19 bagi memastikan kepentingan dan keselamatan rakyat di dalam negara ini dapat terus dipelihara.
Oleh yang demikian, persoalan mengenai sama ada Darurat yang akan tamat pada tarikh tersebut diteruskan atau tidak atas budi bicara KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Baginda sepertimana yang dibangkitkan tidak seharusnya timbul.
Selaras dengan tanggungjawab serta teras dasar Kerajaan untuk terus memfokuskan kepada tindakan-tindakan yang khusus dan tepat bagi mencegah, memerangi serta mengurangkan risiko kadar kebolehjangkitan virus COVID-19 di kalangan rakyat di waktu-waktu yang getir ini dengan lebih efektif, maka adalah menjadi tanggungjawab Jemaah Menteri untuk terus menasihati KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Utama Negara dalam membuat sesuatu keputusan mengenai kedudukan tempoh Darurat.
Ia setelah mengambil kira semua keadaan semasa serta faktor-faktor berkaitan termasuk keselamatan orang ramai, aspek sosial dan ekonomi negara.
Kerajaan memberi jaminan bahawa kesemua mekanisma yang wujud di dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang negara akan diikuti di dalam membuat apa-apa keputusan mengenai darurat.
DATUK SERI TAKIYUDDIN BIN HASSAN
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri
(Parlimen & Undang-Undang)
