Sebelum saya menulis lebih lanjut, suka saya mengajak semua pembaca untuk memanjatkan syukur ke hadrat Ilahi kerana Presiden kita berada dalam keadaan lebih bagus sekarang ini, menurut anakandanya YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.
InsyaAllah Allah menerima doa kita untuk melihat Presiden terus memimpin jemaah ini.
Meneliti tulisan-tulisan Presiden dalam media sosial, ia secara jelas mahu membawa kita semua sebagai ahli PAS kepada kesatuan pemikiran.
Dalam lembaran-lembaran nukilannya, yang selalu beliau tekankan ialah berkenaan sejarah bagaimana Islam mencapai kegemilangan dan juga asbab kekalahan dan kejatuhan dalam pemerintahan, siapa kawan, siapa musuh.
Disulami dengan dalil-dalil al-Quran dan hadis yang menjadikan tulisan beliau lebih bermakna bagi yang mahu memahaminya.
Sebahagiannya diulang-ulang kerana penting.
Penting bagi kita menghadamkan segala butiran tulisan beliau bagi kita bergerak bersama-sama dalam melawan arus politik yang semakin mengganas ini.
Sebagaimana yang sering dilaungkan dan kita sedari, pandangan beliau selalunya tepat kepada situasi semasa dan jauh ke hadapan, menyelamatkan jemaah daripada diperkotak katikkan oleh musuh dan rakan yang cuba menikam kita.
Ia sudah dibuktikan banyak kali.
Saya bertanya kepada YB Ustaz Khalil, adakah semua ini tulisan Presiden.
Dengan ringkas beliau menjawab ‘Sudah pasti’.
Ya, saya pada mulanya agak keliru kerana ada dakwaan bahawa ini semua bukan tulisan beliau.
Saya jadi hairan kerana kita semua maklum, Presiden dalam keadaan beliau di wad, masih berjaya menyiapkan buku.
Apa sangat bandingan dengan artikel yang hanya setebal sehelai atau sehelai setengah kertas A4 ini?
Maka atas sebab itu, saya bertanya sendiri kepada anakanda Presiden, mendapatkan kepastian.
Minda Presiden ini samalah seperti kolum ‘Lidah Pengarang’ dalam sesebuah akhbar.
Jika anda mahu mengetahui isu-isu semasa yang mahu dibentuk corak pemikiran pembaca oleh pengarang dalam sesebuah akhbar, maka bacalah kolum itu.
Mereka akan membawa fakta-fakta isu yang berlaku, mungkin ada bandingan dengan isu-isu yang hampir sama, cara menangani dan juga kesimpulan.
Begitulah kurang lebih tujuan ia ditulis.
Tulisan-tulisan Presiden, tidaklah terlalu tinggi bahasanya.
Sama sebagaimana ketika beliau berkuliah, bahasa penyampaian yang diguna beliau adalah sederhana bagi berlaku adil kepada semua golongan untuk mudah difahami.
Tulisan beliau mungkin tidak sesuai bagi golongan genius, yang terlampau genius.
Tulisan itu boleh menjadi hambar kerana pembaca itu terlalu genius.
Tetapi beliau tahu, sasaran beliau ialah kepada golongan pertengahan dan bawahan, iaitu golongan terbesar dalam jemaah.
Oleh kerana mudahnya bahasa beliau, maka pimpinan PH menyerang beliau bagi artikel beliau bertajuk “Jangan mudah lupa sehingga ditipu berulang kali”.
Menggelupur mereka terutama DAP, kerana peringatan Presiden itu difahami semua lapisan masyarakat bahawa PH menipu rakyat.
Sudah menjadi kelaziman apabila menyasarkan golongan terbanyak, maka rentak tari itu mesti seirama dengan kehendak majoriti.
Artikel mesti realistik dengan situasi.
Ia berlainan dengan pembentangan kertas kerja.
Kertas kerja memerlukan penelitian yang mendalam bagi dipersembahkan kepada golongan cerdik pandai.
Dan Presiden kita, sudah mungkin ribuan kertas kerja beliau dibentangkan pada seminar antarabangsa, apatah lagi dalam negeri.
Tidak sedikit cendikiawan yang memujinya.
Apa maknanya?
Cukuplah dengan segala pembuktian itu menjelaskan bahawa Presiden kita tahu di mana pentas dan siapa hadirinnya.
Kita pula dengan merendah diri, sedar akan kebijaksanaan Presiden kita.
Tidak dinafikan, akan ada juga buah fikiran yang hebat daripada ahli, tetapi tidak mengapa, asalkan Presiden tidak melakukan dosa besar, kita sepatutnya lebih terbuka samada Presiden menerima atau menolak pandangan orang lain.
Menjadi masalah juga jika selalu pandangan kumpulan lain sering dilihat tersasar.
Dan sehingga kini, sudah dibuktikan banyak kali yang Presiden telah berjaya menyelamatkan jemaah ini dengan buah fikiran pasukan beliau.
Yang penting, apa yang Presiden kehendaki dalam tulisan-tulisan beliau ini, kita sama-sama hadam dan cuba mempraktikannya.
Inilah sebenar-benar kehebatan kita dalam menterjemahkan pembacaan buah fikiran Presiden kepada praktikal.
Bukankah ia akan menyenangkan Presiden kita?
Fikiran saya ketika menulis ini, teringat kepada dua jenis buah.
Satu buah tin yang hanya kecil dan mempunyai biji yang banyak di dalam isinya.
Dengan bijinya yang banyak dan kecil itu, pasti akan ditelan sekali apabila dimakan.
Buah tin ini juga ada disebut dalam al-Quran, menunjukkan ada keutamaannya.
Manakala buah gajus mempunyai hanya satu biji.
Tetapi bijinya yang satu itulah dikeluarkannya dan ditunjuk-tunjuk kepada orang.
Maksud saya, biarlah kita larut dalam situasi kononnya kurang bijak beramai-ramai, tetapi tetap berada dalam jemaah, daripada kelihatan cerdik, tetapi berseorangan, di luar jemaah.
Semua orang tak betul, tak kena.
Salah orang, segera dikejinya, bila betul, tidak pula dipuji.
Saya bukanlah orang yang cerdik pandai.
Tulisan saya hanya ditulis mengikut naluri.
Saya persembahkan kepada sesiapa yang sudi membacanya.
Ia mungkin tidak sesuai bagi orang yang cerdik, tetapi saya berharap ia menyamai kehendak pimpinan.
Oleh itu, apa sahaja tulisan saya berkait dengan Presiden, saya akan cuba bertanya dahulu kepada orang yang rapat dengan beliau, bagi mendapatkan persamaan maksud dalam menulis kerana terkadang saya juga terkhilaf.
Takut juga nanti kelihatan saya mereka cipta tulisan, konon dikata, inilah kehendak Presiden.
Itu menghina diri sendiri namanya.
Minda Presiden PAS boleh dibaca di sini: https://mediaislam.net/berita/category/islam/minda-tok-guru/
Mohd Nasir Abdullah
